Total Pageviews

Sunday, November 20, 2011

Anak...berlarilah!


Sabtu 19 November.

Ada kursus yang wajib dihadiri bermula jam delapan setengah pagi hingga jam empat petang.

Tapi kami perlu tiba ke kampus Seri Iskandar sebelum pejabat tutup.

Bermakna cantiknya, jam sebelas setengah pagi mesti bergerak dari Seremban. 

Bermakna juga saya hanya dapat mendengar taklimat yang sangat informatif itu sehingga jam sebelas. Rugi rasanya sebab maklumat yang diberi memang sangat berguna.

Tetapi anak lebih penting.

Hari ini anak perlu pulang ke kampus untuk kes rayuan penginapan. Dia gagal mendapat tempat di kolej kediaman. Stickernya cukup, pointernya melepasi syarat. Tiada masalah.

Jam empat dua puluh minit kami sampai. Anak mengisi borang rayuan, beratur paling akhir.

Dua puluh minit kemudian dia keluar. Wajahnya tampak kecewa.

"Pak cik tu kata gaji macam ni pun mahu minta duduk dalam..." Dia mengadu.

"Tak apalah. Jangan susah hati, kita cari rumah sewa. Minta kawan adik yang tak dapat rumah, menyewa bersama adik. Lagipun tinggal dua semester saja lagi."

Anak merungut.

" Dulu ada dengar cerita, ada orang tak layak dapat asrama tapi guna orang dalam..." dia melampiaskan rasa.

Saya memujuk.

"Biarkan kalau mereka mahu guna siapa pun. Kalau kita cantas hak orang lain yang kurang bernasib baik daripada kita, keberkatannya akan jadi kurang. Ibu dulu dari sekolah sampai universiti, sampailah bekerja; tidak pernah sekali pun guna orang dalam untuk capai impian. Kita usaha sendiri. Gagal atau tidak, ada sesuatu yang Allah mahu beritahu kepada kita," demikian saya berkata.

Kami mencari ke sana sini. Akhirnya berjaya mendapat tempat untuk adik. Tuan rumah memiliki restoran di tingkat bawah. Tingkat atas megikut cadangannya mahu menempatkan pelajar-pelajar wanita menjelang Januari 2012. Ada enam bilik dengan kapasiti dua orang sebilik, RM100 sekepala.

Masalahnya rumah atas restoran itu belum siap sepenuhnya. Lantainya penuh debu, tiada sebarang kelengkapan apa pun. Kipas siling pun belum berpasang.

Tetapi dek kasihankan adik, mereka mengizinkan adik menyewa bilik paling hadapan. Kami mula mencari tikar dan peralatan lain. Tuan rumah mencuci bilik, meminjamkan kipas meja dan toto. Suami mencuci tandas, menyapu sawang dan debu.

Kata tuan rumah, mereka akan melengkapkan bilik itu secara beransur-ansur.

Oleh kerana adik bersendirian, sewaan mula RM200. Ada juga seorang bibik, pekerja restoran yang duduk di bilik belakang. Jadilah untuk meneman adik.

Maka beribu-ribulah pesanan saya. Sampaikan ke perkara melintas jalan, menyendal pintu, hal-hal keselamatan dan makan.

Saya beritahu anak, jangan bimbang mengenai apa pun. Tugas mereka hanya belajar. Biar kami berkereta buruk dan kecil atau langsung tidak berpeluang berdarmawisata, biar tidak berganti baju baharu. Kami akan berusaha menambah rezeki asalkan dapat membiayai pengajian mereka sepenuhnya.

"Kalau ibu tidak sempat menikmati kesenangan macam orang lain sebab asyik membiayai anak?"

Pada saya, itu pun tidak mengapa. Melunaskan tanggungjawab itu prioriti. Nanti akan ditanya oleh Allah. Kalau sempat, sempatlah. Kalau tidak pun, penting sangatkah kesenangan dunia itu jika kita sudah berada di barzakh?

"Harap-harap ibu sempat menikmati kesenangan macam orang lain juga, kan ibu?"

Itu namanya takdir. Itu juga namanya rezeki. Jangan terlalu mengejar dunia yang makin dikejar makin kuat dia berlari. Kalau kita sudah tiada di dunia, hanya doa anak yang kita damba. Ladang itik, duit banyak, rumah besar atau kemegahan apa pun bukan dambaan kita lagi.

Pejuang-pejuang agama, para pendakwah yang bertebaran mengajak manusia ke jalan Allah; rugikah mereka?

Di mata manusia, mungkin kita melihat mereka dengan penuh rasa rugi. Tapi di mata-Nya, mereka sangat beruntung.

Samalah saat saya berada di restoran milik tuan rumah adik. Saya melihat dengan mata berkaca, sebuah keluarga yang punya anak istimewa. Barangkali anak itu menghidap autisme atau spastik. Sudah remaja anak itu.

Saya katakan kepada anak saya.

"Mahu lihat siapa penghuni syurga? Itu penghuni syurga. Berbahagialah ibu bapa kepada penghuni syurga itu jika mereka redho..."

Sabar sekali si bapa menyantuni si anak, menyuap makanan ke mulut si anak yang barangkali sudah berusia belasan tahun.

Allah memilih ibu bapa itu dengan ujian seorang anak istimewa. Kalau kita berasa bahawa betapa ruginya menjadi ibu bapa kepada seorang anak istimewa; maka kitalah orang yang rugi itu.

Bersedia berlapang dada dengan kehidupan kita adalah ubat paling baik.

Adik belajar banyak perkara dua hari ini. Dia juga akan mula berdikari.

Saya pun kena berlapang dada. Menyerahkan adik di bawah lindungan Allah.

Lewat petang Ahad, kami pulang ke Seremban dalam hujan yang lebat, di luar dan di hati.

Di Seri Iskandar, hujan juga lebat. Adik terkurung di kamar barunya.