Cerita ini saya ambil daripada majalah Variasi terbitan Oktober 1996.
Damien Havik telah diserang sejenis virus empat puluh tahun lalu sehingga pendengarannya terjejas. Pada tahun 1967, dia bertemu Amanda dan mengahwini wanita itu. Oleh sebab Damien daripada keluarga kaya, dia melakukan pembedahan mengembalikan deria dengarnya dengan belanja US 50,000.
Damien ingin mendengar muzik, menonton filem, mendengar suara burung dan sebagainya sebelum dia meninggal dunia.
Tetapi baru 17 bulan pendengarannya pulih, dia kembali menemui doktor bedah dan meminta dia ditulikan semula kerana tidak tahan mendengar bebelan isterinya setiap hari.
Sekali lagi dia terpaksa mengeluarkan jumlah belanja yang sama untuk kembali tuli.
"Kalau saya biarkan pendengaran saya terus berfungsi, saya boleh jadi gila!" demikian dia berkata.
Jika dia menutup telinga, isterinya akan menguatkan suara untuk berleter atau menceritakan sesuatu yang membosankannya. Memikirkan dengan cara menutup telinga tidak menyelesaikan masalah, dia mahu kembali tuli.
"Sekarang saya kembali ke dunia yang sunyi dan tenang tanpa suara-suara meninggi dan menengking. Saya dapat hidup normal semula," kata Damien.
Hidup normal bagi Damien ialah hidup dalam dunia tanpa bebelan si isteri. Pelik bukan? Tetapi selagi kita bernama manusia kita tidak akan puas dengan apa yang kita ada.
Cerita ini saya kira sangat menarik untuk dijadikan iktibar.
Bagaimana kita melihat dunia dengan persepsi berbeza, adalah keistimewaan kita sebagai manusia.