Himawari no okasan! |
"Sedang bahagia ya?" Suara di talian mengusik pula dengan tawa. Segera saya mengenal siapa yang menelefon kerana loghat utaranya yang pekat. Waktu menyambut panggilan, saya tak sempat melihat siapa yang memanggil.
"Kenapa kak cakap begitu?" tanya saya, sengaja.
"Dah lama tak nampak karya di akhbar, di majalah. Tu penyakit lama dah mai. Kita ni sama. Kalu tengah berbahagia, memang lagu tu. Idea duk pi mana pun tak tau..." merungut-rungut dia di telefon.
Saya ketawa. Ingat lagi dia dengan rungutan saya lama dahulu. Kalau tanpa kesedihan, payah betul mahu menulis.
Kawan saya itu senior setahun di UM, bidang yang sama. Bapa saudaranya seorang penulis yang hebat dan punya nama. Kami pernah bertugas sebagai editor di Fajar Bakti Petaling Jaya selama beberapa bulan. Beliau juga menulis. Sekarang bertugas sebagai pensyarah di matrix Perlis. Juga mengajar subjek yang sama waktu saya mengajar di kolej matrix dahulu.
Seperti yang pernah saya katakan dalam bengkel penulisan, kadang-kadang kita boleh hadir beratus bengkel tetapi biasanya kita akan menulis mengikut gaya kita sendiri. Setiap kita ada cara tertentu untuk mendapatkan idea. Saya sendiri, tahun-tahun 1990-an, adalah tempoh paling aktif berkarya. Tahun penuh ujian dan kepayahan. Begitu juga pada tahun 2000 saat ayah pergi meninggalkan dunia yang fana. Allah menggantikan kesedihan dengan kemenangan demi kemenangan, sehinggakan ada pengkritik yang memasukkan nama saya dalam senarai "penulis sayembara".
Apa pun, jangan menulis hanya kerana mahukan wang yang banyak sehingga mengetepikan nilai-nilai baik. Wang itu satu keperluan. Tetapi menggadaikan nilai-nilai baik hanya untuk memburu wang akan merosakkan kerjaya kita sebagai penulis. Nanti bagaimana mahu menjawab soalan-soalan Allah di akhirat kelak?
Ada orang menulis untuk kepuasan. Dia gembira dan puas melihat karyanya di dada akhbar atau majalah. Atau melihat karyanya dinaskahkan. Atau sajaknya dideklamasikan di radio. Atau juga gembira mendengar sajaknya dideklamasikan saban tahun menjelang sambutan merdeka.
Saya dalam kategori itulah. Sebab saya akan segera menunjukkan kepada emak. Saya mahu emak berasa gembira dan bangga. Jika dahulu, saya selalu mengirimkan salinannya kepada ayah dan emak. Sekarang ayah sudah tidak ada lagi untuk membacakan hasil tulisan saya kepada emak. Tetapi emak akan berusaha membaca sehingga habis.
Pernah juga emak tidak tidur semalaman kerana mahu mendengar sajak yang saya tulis khas untuknya dideklamasikan di kaca TV. Tajuknya "Kerana Namanya Mariam" dideklamasikan oleh orang lain (kerana saya tidak sihat untuk hadir) dalam majlis dua puluh empat jam tanpa henti untuk mendapatkan pengikhtirafan Rekod Guiness Malaysia.
Saya hanya mahu emak gembira. Emak bukan jenis menceceh berita kejayaan anaknya kepada masyarakat kampung. Itu yang saya suka dengan sikap emak. Meskipun emak sangat peramah dan sporting, hal-hal sedemikian bukan menjadi topik bualannya.
Buat apa pun kena betul tujuannya. Menulis bukan sebab mahu popular seperti artis.
Untuk saya, semuanya kerana emak! Allah telah memberikan saya seorang emak yang hebat!