Andainya aku pergi dulu sebelummu... |
Saya terjumpa semula majalah sekolah saya (MGS dan Clifford School), menyelak halaman yang sudah kusam, tergelak-gelak melihat gambar lama zaman sekolah. Juga karya-karya saya di dalamnya.
Terjumpa juga dengan tugasan subjek Penulisan Cereka dan Puisi, juga untuk subjek Penulisan Rencana waktu menuntut di UM tahun 1986.
Juga majalah SARINA dengan tulisan saya sebagai wartawannya!
"Ambillah. Takut banjir lagi, nanti habis buku-buku tu," kata emak.
Kebetulan saat menonton berita televisyen, telah disebut ramalan banjir akan melanda enam negeri menjelang November depan. Perak antara yang bakal terlibat akibat hujan berterusan disebabkan fenomena el-nino (sebutannya el-ninyo, makna dalam bahasa Sepanyol ialah "anak lelaki").
Wah, gembiranya hati saya seperti mendapat emas! Dengan cepat pula saya mengumpul, termasuklah bahan-bahan bacaan milik kakak dan adik; langsung meminta anak memasukkan semuanya ke dalam kereta.
Melihat semua itu seperti menyelak semula kenangan lama. Zaman rambut ala afro dan cermin mata besar yang menguasai hampir seluruh muka! Tudung pun berupa skaf sahaja yang diikat ke belakang. Kadang-kadang di hujung dahi ada jambul pula yang tersembul di situ!
Muka pun nampak kelakar.
Apabila meminta anak meneka, tergelak besar dia melihat ibunya pada zaman remaja.
Meskipun sekadar memakai skaf berjambul, tetapi kalau ada perjumpaan atau ceramah yang dianjurkan persatuan agama; dewan pasti penuh. Kesedaran untuk menampakkan kesatuan ummah begitu kuat. Apalagi kerana kami menuntut di sekolah kristian!
Cuma zaman itu dakwah berkaitan aurat tidak begitu meluas. Kalau orang itu hanya sekadar memakai skaf pun, sudah dianggap alim. Pakai "dakwah", begitu istilah masyarakat pada zaman itu jika melihat orang bertudung.
Berbanding sekarang, sekolah mewajibkan pelajar memakai tudung tapi tanpa jiwa. Selesai sekolah, tudung akan dicampak ke tepi. Di sebalik tudung itu apa? Macam-macam ada!
Menyelak nostalgia, membangkitkan rasa rindu untuk ketemu. Ada yang kembali bertemu di maya, ada yang sudah kembali bertemu Allah, ada yang masih meriah dengan pelbagai cerita.