Total Pageviews

Friday, October 7, 2011

Seperti ada anak 20 orang

Kuala Lumpur 1992 saat diuji masih ada dua permata hati
Sudah beberapa hari sejak Rabu tidak menulis. Sibuk sangat agaknya?

Kebetulan ada audit ISO, tugasan pelajar yang bertimbun belum habis disemak, kemudian lima hari bermula 9 Oktober akan ke IPG  di Kuala Lipis, kelas-kelas yang masih ada belum berganti, paling penting Rabu malam 6 Oktober mahu mengambil anak yang bercuti panjang.

Yang paling akhir itu sebenarnya yang paling penting!

Sebabnya sudah letih menjawab panggilan dan sms, "jangan lupa ambil adik".

Dalam sibuk-sibuk menghadapi kertas peperiksaan dan assessment dia masih teruja berfikir-fikir mahu balik ke rumah.

Jawabnya tengah malam sebelum 6 Oktober itu, kami menempuh malam yang panjang di dada lebuh raya.

Melihat wajahnya yang gembira, hilang semua masalah di jiwa. Tetapi pipi kami pedih-pedih sepanjang hari, kerana tabiat suka mencubit pipinya tidak hilang-hilang walaupun tahun hadapan usianya akan menjadi dua puluh. Dengan siapa lagi dia mahu bermain-main, adik beradiknya hanya dua. Si kakak sudah bekerja di Kuala Lumpur sambil menunggu tawaran menyambung pengajian, hanya dia sahaja "seketul". Itu pun nasib baik dia obses dengan komik. Paling penting ada kertas, dia akan melukis dan melukis.

Cuma apabila menyewa rumah baharu, balik saja dia kebingungan. Sebab keluasan sebuah rumah sewa ini sama luasnya dengan ruang tamu rumah lama. Dahulu dia ada bilik komik, tempat mereka melukis, tempat dia menyimpan ribuan koleksi komik. Sekarang semuanya terpaksa disumbat dalam bilik tidurnya.

Tetapi oleh sebab sudah dididik dengan rasa bersyukur, dia tidak merungut. Perlahan-lahan dia mengemas, walaupun ada setimbunan kotak curi-curi ditumpangnya di bilik si kakak.

Macam ada anak dua puluh orang, saya kembali sibuk. Pagi-pagi sudah berfikir-fikir mahu berinya sarapan apa, tengah hari pun sudah pandai keluar membeli lauk si adik, petang-petang lepas pejabat segera pula mahu ke kedai mencari ikan. Malam-malam menonton cerita Korea atau anime dan kadangkala mendengar mereka bercerita tentang teknologi komputer, lukisan atau kamera (topik yang saya selalu diam sebab langsung tidak mengerti).

Bagaimana agaknya kalau orang yang punya anak sepuluh? Wah, pasti meriah sekali. 

Seperti yang disebut mak cik nasi lemak yang selalu saya pergi, walau berapa pun anak, bersyukurlah. Ada orang yang langsung tidak punya anak. Atau ada juga yang ketiga-tiga anaknya diambil Tuhan sekaligus. Ada juga yang puluhan tahun menanti, dapat seorang tetapi diuji dengan kecacatan.

Ya, apa pun yang diberi Allah, kenalah kita bersyukur. Anak itu pun dipinjam-Nya sahaja. Macam kita juga. Syukurlah kerana anak ini masih mahu memegang tangan saat melintas jalan, masih mahu tidur di sisi (walaupun sakit perut kena hempap sebab tidurnya yang lasak), masih mahu melambai-lambai saat kita mahu ke pejabat, masih menunggu di pintu saat kita pulang (walaupun kadang-kadang terlatah-latah sebab sempat lagi dia bersembunyi dan mengejutkan kita).

Bergembiralah kerana Allah memberi ruang dan peluang untuk menikmati semuanya ini dalam kehidupan yang singkat. Wang perlu tapi bukan segalanya. Anak-anak itu lebih penting, kerana doa mereka yang kita perlukan suatu saat nanti.

Hidup yang sekejap ini, latihlah diri dengan rasa syukur. Tidak perlu rumah besar, kereta agam, pakaian mewah, nama yang gah. Cukuplah dengan rasa gembira yang menjadi milik kita, dengan rahmat-Nya.