Biskut ais jem |
Dulu-dulu waktu zaman kanak-kanak, ada biskut yang diberi nama "roti tahi kucing" dan "roti tahi tikus".
Saya lebih gemar makan roti tahi kucing kerana biskut itu bersalut gula. Bentuknya lebih besar, bergulung-gulung, berwarna-warni.
Roti tahi tikus pula berwarna putih, tidak bergulung-gulung, bersaiz lebih kecil dan rasanya tidak manis.
Enaknya kalau dapat beli dengan harga lima sen, mengunyah-ngunyah di atas dahan pokok yang berjuntai di tebing sungai atau sambil mendengar lagu rancak "Speedy Gonzales" nyanyian Pat Boone dari radio transistor buruk.
Saya memberitahu nama biskut atau "roti" tersebut seperti yang lazim disebut orang-orang kampung kepada anak.
Dia memberi reaksi kurang senang. "Kenapa bagi nama macam itu?".
Mana saya tahu kenapa nama najis binatang itu diberikan kepada biskut tersebut. Barangkali kerana biskut itu menyamai bentuk tahi kucing dan tahi tikus!
Saya berazam akan mencari biskut tersebut jika sekali lagi saya pulang ke kampung. Tidak tahu sama ada masih wujud atau tidak biskut-biskut itu.
Ada sejenis biskut lagi yang kalau dilihat namanya disebut "ais jem". Biskut itu bulat dan di atasnya ada diletakkan gula berbentuk aiskrim.
Kata anak saya, "itu biskut mayat!"
Waktu mereka kecil dahulu, mereka selalu dihadiahkan sebiji gelas dengan beberapa biji biskut tersebut di dalamnya. Gelas itu pula dibalut dengan sapu tangan. Benda-benda itu diberikan jika ada kenduri kematian.
"Masa tu adik suka kalau ada orang mati." Ya Allah! Sabar sajalah.
Zaman saya kecil dahulu juga, ada ais kepal. Ais itu disiram dengan air gula pelbagai warna. Kadang-kadang untuk mengelakkan sejuk, penjual mengambil daun keladi atau daun bersaiz besar berhampiran gerai sebagai tempat meletakkan ais kepal.
Kalau sudah habis air gulanya disedut, baki ais yang tinggal itu adalah senjata paling bagus untuk menyerang lawan. Apabila saya melihat komik LAT, memang betul-betul begitulah gambaran medan peperangan ais kepal di kampung saya.
Meskipun tinggal di kampung yang langsung buta kemajuan, saya tetap suka mendengar lagu-lagu Inggeris.
Lagu-lagu rancak seperti Itsy Bitsy Teenie Weenie Yellow Polka Dot Bikini" dendangan Bryan Hyland, Rock Around The Clock nyanyian Bill Haley atau lagu jiwang seperti Tell Laura I Love Her oleh Ray Peterson, dan sudah semestinya lagu Only You nyanyian The Platters menjadi kegemaran saya. Saya akan menyanyikannya perlahan-lahan supaya tidak didengari ayah. Kadang-kadang memikirkan ayah masih di bendang atau di surau, saya menyanyi kuat. Tetapi dehem ayah dengan cepat pula menutup "suis" suara saya.
Itu peraturan. Tidak boleh menyanyi kuat, perlahankan radio atau TV sebagai tanda menyantuni ayah atau orang yang lebih tua.
Meskipun ayah seorang yang tradisonal dan agak tertutup berbanding emak, jiwanya tetap jiwa seni. Ayah mencipta seni kata lagu ketuhanan untuk kumpulan hadrah yang dimilikinya.
Jadi, kalau sudah gian mahu menyanyi, saya akan menyanyi kuat semasa menepuk hadrah.
Cuma ada satu masalah besar, saya tidak boleh menyanyi dengan betul jika dalam masa yang sama saya bermain hadrah!
Oleh sebab itu, kalau saya menyanyi saya tidak akan menepuk hadrah. Kalau saya menepuk hadrah, saya hanya akan diam sambil mengunyah roti tahi kucing kegemaran saya!