Total Pageviews

Friday, October 14, 2011

Selamat Jalan Puan Tumerah Rosmin

MSc Management Kohort 7 Nov 1997-Nov 1998
Sabtu, 15 hb Oktober.

Hari ini Kak Tumerah sudah rasmi duduk di kerusi pengarah IPGKTB dalam majlis perasmian IPG kebitaraan sukan yang diadakan di IPGKRM.

Sebenarnya saya mengelak-elak mahu bertemunya hari ini. Tetapi ada urusan kebajikan masyarakat yang dimintanya saya membantu. Saya sudah menyelesaikannya malam tadi dan hari ini saya perlu menyerahkan dokumen berkaitan kepadanya.

Dia pun sudah maklumkan hari ini dia dan suami bakal berangkat ke utara dan sebelum berangkat dia mahu ketemu si adik, anak saya. Sejak malam adik mengemas-ngemas rumah mahu menerima ketibaan Auntie Tumerah. Tetapi masa singkat dan dia tidak sempat bertemu adik. Yang dikirimnya kepada adik sejumlah titipan dengan sejumlah pesanan juga.

Saya tidak mahu bertemunya kerana hujan pasti turun. Paling saya tak sanggup melihat Kak Tumerah menangis. Hujan saya pula, kalau sudah turun payah mahu berhenti.

Apa yang dijangka memang berlaku. Dia memeluk saya, menangis. Saya pula kalau menangis, memang langsung tidak boleh bercakap. Jadi, saya menepuk-nepuk bahunya perlahan. Saya mahu katakan, "saya juga sayang akak," tapi saya hanya mampu bercakap di dalam hati.

Saya melambainya pergi dengan mata bengkak.

Di rumah, saya menerima pesanan ringkasnya dengan ayat yang menyebabkan hujan turun lagi. Memanglah berbelas tahun kami berpisah. Kohort kami dahulunya memang sangat rapat. Pertemuan yang sekejap cukup menggembirakan.

Tetapi setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Itu ayat yang klise. 

Dulu kami bertemu, kemudian berpisah. Bertemu lagi dan berpisah. 

Saya membalas pesanan ringkas itu dengan lelucon, "akak jangan sedih. Nanti tak nampak jalan. Mata Jawa kan sepet, kalau menangis lagi la sepet..."

Dia membalas dengan lelucon juga. Dan saya pasti dia sudah boleh ketawa lagi.

Selamat jalan Kak Tumerah. Ada umur ketemu lagi.

Terima kasih kerana sangat mengasihi saya dan adik. Mesej itu akan saya simpan dalam kantung ingatan.

Persahabatan adalah cenderamata termahal dalam hidup.

Hargailah!