Total Pageviews

Thursday, October 13, 2011

Dari Jendela Tingkat Tujuh

Dari jendela apartment tingkat tujuh itu, saya melontar pandangan ke luar.

Keretapi baru tiba di landasan, sirennya memekik kuat memenuhi ruang udara pekan kecil yang pernah satu ketika dahulu menjadi ibu negeri Inderapura ini. Gerabak dan landasan membentuk landskap penuh estatik, membelah tengah pekan kecil yang berwarna kusam.

Penumpang saling berganti naik dan turun gerabak. Berhentinya pun tidak lama, kerana perjalanan perlu diteruskan sehingga ke stesen Gua Musang. Gerabak panjang seperti ular menjalar itu sesekali menghidupkan pekan kecil yang hampir tiada apa pun ini. Raungan sirennya pernah mengejutkan saya malam pertama saya menghuni apartment lusuh dan sedikit berbau.

Burung-burung kecil memang menghingarkan, malahan ruang balkoninya penuh dengan tompokan najis unggas kecil comel itu. Di tengah-tengah bumbung bangunan di hadapan apartment, dipenuhi sisa-sisa buangan segala macam. Ada mangkuk tandas buruk, sinki yang sudah pecah, kerusi yang tinggal tiga kakinya dan bermacam-macam benda yang tidak diperlukan. Tetapi hati saya bertanya, mengapa dibuang di situ?

Jam lima atau enam petang, bunyi peniaga kedai menarik pemidang untuk menutup kedai terdengar jelas ke tingkat tujuh. Kedai-kedai itu membentuk laman empat segi di tengah-tengah, tembus pula ke pasar raya kecil yang sentiasa sesak dengan pelanggan. Di hadapan pasar raya itu pula, ada bulatan yang dikepungi pagar besi. Replika seekor ikan, barangkali ikan patin yang menjadi lambang daerah ini, dibina seakan-akan berdiri dengan pancutan air di sekelilingnya.

Dari jendela ini saya terus mengintai makna hidup. Pekan yang muram, tetapi tidak memberi tekanan kepada warganya. Mereka duduk santai dan langgas sambil makan pisang goreng atau menghirup manis teh tarik sambil berteriak kepada rakan di meja sebelah. Bunyi ketawa berjangkit-jangkit dari satu meja ke satu meja.

Malam memang penuh kesunyian. Kelip-kelip lampu yang memagari replika ikan sedikit mencantikkan. Mujurlah ada gerabak yang lalu atau singgah. Jika malam pertama itu pekikan sirennya mengganggu, saya menanti-nantikan dia menjerit malam-malam berikutnya. Sekurang-kurangnya pekikan itu mengingatkan saya bahawa wujud persinggahan dalam sebuah perjalanan. Ada hati yang sedang sabar menanti gerabak berhenti di destinasi. Ada seberkas  rindu yang bakal terubat.

Dari jendela tingkat tujuh, saya tidak sempat merenung langit.

Kerana di bumi itu, banyak cerita sedang menggamit.