Total Pageviews

Saturday, October 15, 2011

Omongan Pagi Ahad

Seperti emas
Hari ini, awal subuh sudah bangun. Terima kasih kepada perut kerana mengejutkan saya untuk bangun seawal ini.

Semalam saya masak laksa kuah pekat kegemaran adik. Asam gelugur memudahkan pencernaan, sebab itulah saya dapat bangun awal.

Alhamdulillah.

Awal pagi yang tenang memudahkan otak saya tenteram mengatur ayat. Menekuni tugas yang diberikan iaitu persediaan untuk memberi bengkel penulisan cerpen Rabu nanti.

Teringat mahu memasak nasi lemak sambal manis untuk adik. Langsung ke kedai mini untuk membeli bahan. Sementara dia cuti ini, dan saya pun cuti hujung minggu; biarlah dia rasa air tangan ibu!

Menyelak helaian beberapa akhbar hari ini, saya melihat ada berita remaja berusia empat belas tahun maut dihempap pokok di Hutan Lipur Gunung Datuk, Rembau. Teman lelakinya cedera.

Masya Allah.

Saya diam sendiri, dipagut bimbang.

Adakah Allah mahu menunjukkan sesuatu?

Peringatan buat kita yang masih bernyawa?

Apa pun, berita-berita sedemikian, meskipun mungkin ada unsur-unsur mengaibkan; perlu kita jadikan teladan. Maka, mengawasi anak-anak itu biarpun dianggap kolot pada zaman canggih manggih ini, adalah mandatori!

Ibu bapa perlu melantik diri menjadi penyiasat. Sekurang-kurangnya mengenali siapa yang berpergian bersama anak-anak. Bekalkan dengan sekarung pesanan. Juga iring dengan seberkas doa.

Kalau sudah mahu jadi, itu di luar perkiraan kita sebagai manusia.

Usia empat belas, amat muda untuk dibiarkan lepas bebas. Saya mengakui "kekolotan" selaku seorang ibu. Seperti yang selalu disebut suami, saya menjaga anak seperti "ada emas melekat" di tubuh anak itu.

Memang betul, anak saya perempuan. Ibarat emas, semua orang pun mahu mencurinya meskipun kita baru berpaling sekejap.

Saya berkawan dengan anak dan rakan-rakannya. Tetapi dia dan mereka wajib tahu ada pagar yang memisahkan status "perkawanan" kami. Saya menyelami muzik dan filem kegemaran mereka, malahan ikut tahu menyanyi. Ikut juga berbicara tentang K-pop, J-pop, atau meneliti anime terkini.

Tetapi dengan ingatan-ingatan selepas itu bahawa solatnya jangan sesekali dibuat main-main!

Maruah dan harga diri adalah harta peribadi!

Namun seperti yang saya katakan, kita mesti berusaha untuk mencegah; jika tetap mahu jadi maka itu baru dinamakan takdir!