Total Pageviews

Saturday, October 8, 2011

Pak Din, bertahanlah!

Lewat petang Sabtu 8 Oktober, ada sms daripada rakan Kuala Pilah. "Pak Din sedang kritikal di ICU. Sama-sama doakan agar dia sembuh..."

Segera saya berhentikan kereta di tepian jalan. Saya menelefon si pemberi maklumat. Rupa-rupanya Pak Din sudah masuk ICU petang Jumaat. Menurutnya, Pak Din selalu tidak sihat akhir-akhir ini. Ada masalah buah pinggang, juga jantung.

Pak Din pekerja pejabat di sekolah. Dia selalu ditugaskan di bahagian percetakan, sebuah bilik yang luas di aras bawah. Seorang yang baik dan ringan tulang, saya secara peribadi sangat menyenangi beliau. Tidak pernah sekali pun beliau menolak jika saya meminta beliau mencetak kertas ujian atau dokumen, meskipun pada saat yang sangat sibuk.

Saya sangat menghormati pekerja ini, kerana usianya juga kerana komitmen kerja. Beliau juga sentiasa tersenyum, malahan saat saya mahu berpindah, saya menunggu lama di pejabat mahu juga bertemu dan memohon maaf. Juga mengucapkan terima kasih atas segala bantuan yang amat menyenangkan saya. Katanya, "singgah-singgahlah selalu ke sini kalau cikgu ada masa". Saya angguk-angguk sahaja, takut untuk berjanji.

Usai solat maghrib, satu lagi panggilan telefon. "Maaf Kak Yang, mengganggu. Saya takut akak tak tahu yang Pak Din sekarang di ICU. Saya baru ziarah, tapi dari luar saja. Doktor bergilir-gilir mengawasi dua puluh empat jam. Paru-parunya berair. Paru-paru macam span, jadi macam obsorb air..." kata Lell, guru Kimia yang kedengaran tercungap-cungap, barangkali menelefon sambil berjalan.

Saya mengambil surah Yassin dan membaca untuk Pak Din. Mudah-mudahan Allah meringankan deritanya.

Apa yang saya rasa di dada adalah kepedihan. Musibah seperti ini, kehadiran rakan taulan adalah perlu. Jika kenduri atau jamuan, saya tidak pergi pun tidak mengapa. Tetapi bagaimana? Esok pagi saya akan bertolak ke Pahang.

Pak Din, bertahanlah!

****NOTA: terima kasih kepada adik-adik yang mengirim berita perkembangan kesihatan Pak Din. Terima kasih Hasni, Nazrin, Lell, Daus, Syima-san, Azah pejabat.