Total Pageviews

Sunday, October 16, 2011

Kita yang memulakan...

Ular tedung cacat, berkepala lima. Subhanallah!
Baru jam lima rupa-rupanya.

Saya fikirkan siang sudah mahu menutup kedai.

Leka di meja tulis menyebabkan syaitan mengambil kesempatan. Barangkali duduk bernyanyi-nyanyi lagu Aishiteru atau Rindu Bayangan di cuping, menyebabkan saya lalai mengerjakan Asar.

Memikirkan Asar di hujung, saya buru-buru ke bilik air.

Rupa-rupanya baru jam lima.

Cuaca di luar memperdayakan mata saya. Hanya sesekali saya membuka pintu hadapan kerana rumah sewaan baharu ini, pagarnya dekat amat. Kalau orang menjenguk, boleh nampak saya yang tidak bertudung.

Lagipun kata jiran, si Tuti, ada seekor ular tedung sedang "bersiar-siar" di kawasan kejiranan, gagal dikesan pihak berwajib yang datang mahu menangkap.

Jadi, resolusinya...pintu atau jendela wajib ditutup. Mana tahu, tiba-tiba si tedung datang bertandang!

Nasib baik pagi, cuaca pijar sedikit. Kering juga baju di sidaian. Menjelang Zuhur, matahari seperti tertidur awal. Murung sahaja hari. Angin kuat menolak-nolak langsir jendela yang terbuka sedikit.

Oleh sebab Allah memberikan anugerah dinginnya sepetang ini, pendingin hawa tidak perlu dibuka, kipas diperlahankan putarannya; maka penjimatan pun berlaku.

Alhamdulillah atas nikmat dingin ini.

Panas atau dingin, hujan atau kemarau, kita wajib mensyukuri. Itulah warna-warni alam yang dicipta Tuhan.  Hidup seperti lakaran yang meriah di kanvas.

Jangan marahkan tedung juga. Barangkali tempat ini dahulu koloninya. Apabila dibangunkan menjadi rumah-rumah manusia, dia kehilangan habitat.

Apa yang perlu kita buat ialah lebihkan awas, sementara menunggu dia ditangkap. Kalau mahu keluar ke belakang untuk mencuci baju, perhatikan di bawah mesin. Mana tahu dia sedang enak berehat-rehat di situ.

Juga pastikan halaman depan dan belakang jangan semak dengan rumput atau barangan.

Itu lebih baik daripada memarahi tedung yang tidak punya otak untuk berfikir tentang managerial economics atau kesan rumah hijau.

Saya teringat kisah Sekolah Siswazah UUM seperti yang diceritakan Dekan. Kawasan Sekolah Sisiwazah itu dahulunya memang koloni ular. Maka sebelum pembinaan, urusan pemindahan keluarga ular itu dilakukan, tetapi adalah seekor dua yang tertinggal.

Saya pula selalu meninggalkan si adik di kelas sebelah sementara menunggu saya selesai kuliah. Kuliah pula tiga jam. Berhenti rehat setengah jam untuk mencicip hidangan yang memang kohort sediakan. Si adik selalu saya tinggalkan dengan kertas lukisan, peralatan melukis, juga anak patung mainan. Dia akan leka melukis, sampai kadang-kadang saya melihatnya tertidur di atas kerusi yang disusunnya sendiri. Kadang-kadang rakan lain yang mahu ke tandas akan menjenguk dia sebentar secara bergilir-gilir.

Mujur saja ular-ular yang tersesat itu tidak "melawat" si adik. Allah memelihara anak-anak saya. Sebab menurut orang pejabat, kadangkala ada juga yang melintas, seakan memaklumkan bahawa ada saki baki kaum mereka di situ!

Haiwan-haiwan seperti ini, mereka tidak akan mengganggu kalau kita yang tidak memulakan! Konfrantasi berlaku kerana adanya provokasi!

Kita yang merampas kawasan kediaman mereka, kehidupan menjadi sempit; jadi apa sahaja yang melintas, itulah habuannya.

Saya cakap sahaja. Kalau saya yang terserempak dengan si ular, barangkali Usain Bolt, pelari pecut dari Jamaica yang telah memecahkan rekod dunia pun boleh kalah!