Seorang anak kecil, barangkali masih tadika atau tahun satu sekolah rendah cepat mendatangi saya.
"Mahu ambil gambar? Boleh letak di cawan, di baju. Macam ini, macam itu..." Fasih dia menerang dan menunjukkan contoh barangan yang ada di situ, lincah pula segera berlari ke arah ayahnya yang sedang menghadap komputer,
"Pandainya..." saya memuji. Ikhlas. Budak comel yang mahu membantu ayahnya berniaga.
"Fasih berbahasa Melayu ya. English boleh?"
"Memang dia suka tengok kartun bahasa Melayu. Kapten apa itu? Saya pun sudah lupa. English tak berapa pandai sangat," ayahnya menerangkan.
Kecil-kecil sudah diajar berniaga. Itu mentaliti kaum Tionghua yang saya kagumi. Jika didapati anak itu tidak cemerlang dalam akademik, ibu bapa tidak memaksa. Anak-anak akan segera dialih minatnya kepada berniaga atau dalam kemahiran-kemahiran lain,hatta bertani secara komersil.
Anak-anak kita?
Ini pendapat saya. Pendapat peribadi. Mana-mana orang pun, jika sudah terlalu lama disuap, mereka tidak akan pandai untuk makan sendiri. Jika diberi pancing pun, pancing itu akan dijadikan perhiasan di sudut rumah.
Saya ambil contoh lain, bukan berasaskan kaum. Nanti sensitif pula.
Saya ambil contoh jantina.
Kaum perempuan sejak dahulu, khususnya dalam masyarakat kita; sudah biasa hidup dalam serba "jangan" dan "sedia berkhidmat".
Dahulu, lelaki akan dikahwinkan kerana "sekurang-kurangnya ada orang yang akan jaga makan pakai" mereka.
Demikian, tanggapan biasa golongan ibu bapa yang mahu segera mengahwinkan anak lelaki mereka.
Jadi, perempuan atau isteri yang dikahwini itu sebagai apa? Babu?
Kemudian kita juga selalu dengar dialog begini, "jangan malas ke dapur, awak tu perempuan. Abang/adik tu tak apa. Mereka lelaki..."
Berdosa besarkah jika lelaki diajar memotong bawang di dapur?
Nampak? Dari awal-awal lagi sudah ditanamkan dalam minda bahawa slogan "jangan" dan "sedia berkhidmat" itu memang milik perempuan yang abadi.
Sedangkan Allah telah meletakkan wanita itu untuk disayangi dan dihargai.
Lama-kelamaan golongan yang selalu "ditindas" ini berusaha sedaya upaya untuk bangun. Akhirnya berlakulah fenomena lambakan graduan wanita di institusi pengajian tinggi, dan lelaki yang dimanjakan memenuhi pusat serenti!
Di sekolah-sekolah, kelas yang berstatus cemerlang, dipenuhi pelajar perempuan. Sementara kelas-kelas corot, dipenuhi pelajar lelaki.
Terpaksalah dikenakan kuota agar ada juga pelajar lelaki yang dapat memasuki sekolah berasrama penuh atau bidang-bidang tertentu di universiti.
Tetapi lelaki memang tetap punya tempat di mana-mana, kerana kekuatan fizikal mereka. Meskipun bilangan "yang cerdik" itu sedikit, tetapi mereka tetap diberi tempat sebagai ketua.
Sesiapa pun yang diberikan sekatan, sedikit ditindas; akan bangun perlahan-lahan memperjuangkan nasibnya.
Saya tidak mahu mengulas dari sudut kaum, tetapi fikir-fikirkanlah!
Jika kita masih leka disuap, sampai bila-bila pun kita tidak mahu bangun mencuci tangan dan belajar makan sendiri!