Total Pageviews

Tuesday, October 4, 2011

Mencari Jawapan

Kalau ada orang yang sangat kita percaya, tiba-tiba berkata kepada kita, "carilah peluang untuk keluar dari sini. Kadang-kadang ada juga orang yang kelihatan baik di depan kita, tetapi di belakang, sebenarnya tidak begitu..."

Apa agaknya perasaan kita?

Adakah kita harus percaya dengan kata-kata itu atau mengabaikannya?

Atau kerana dia mahu membantu kitakah, maka dia berkata begitu, dengan beralas-alas supaya kita tidak berasa apa-apa yang aneh?

Barangkali dia mengetahui sesuatu yang kita sendiri tidak tahu?

Apabila berada dalam situasi seperti ini, biasanya kita akan diselimuti prasangka. Kita akan lebih berhati-hati, cuba menjarakkan diri dengan orang atau superior yang disebut secara tidak langsung itu. Kita akan cuba mengintai peluang lain meskipun kelihatan amat sukar!

Ya, sebetulnya kita memang susah mahu mencari kelompok yang benar-benar sejiwa. Kita juga memakai topeng kepura-puraan yang banyak sehingga menenggelamkan rupa sebenar kita.

Jadi, apabila kita pernah mendapat amaran daripada kalimah-kalimah sedemikian itu, kita kembali mencari diri. Seperti dikata orang, kalau kita datang ke tempat yang orangnya berlari, maka kita akan ketinggalan jika kita masih lagi berjalan.

Tapi bagaimana jika tiba-tiba kita tidak mampu untuk berlari, sedangkan sebelum ini kita memang berlari?

Kita terpaksa berjalan bukan kerana kita enggan berlari tetapi tiba-tiba ada sesuatu yang mengganggu di jalanan atau kaki sudah tidak mampu lagi memijak kerikil.

Apakah kita perlu mohon untuk pamit supaya kita tidak mencacatkan larian?

Jika kita pernah melalui situasi ini atau baru sahaja terpaksa mendepaninya, kita perlu sekali lagi memandang cermin, lantas mencari jawapannya!