Total Pageviews

Wednesday, October 12, 2011

Kedai Sama Jalannya Lain

"Hari ini akak bawa Yang dan ustazah ke kedai makan di xxx, sedap-sedap makanannya dan banyak pilihan," kata Kak Tumerah.

"Ok, tapi akak tunjukkan jalan. Akak pun tahu saya lemah subjek geografi," jawab saya. Kedua-duanya tidak bawa kereta. Manja, usik saya. Sebab kedua-duanya datang dan balik dihantar serta dijemput suami.

Kak Tumerah super-senior. Dia takkan lama bersama saya kerana akan ke IPG Tuanku Bainun sebagai Pengarah. Dia seperti yang pernah saya sebut sebelum ini adalah rakan kuliah sarjana semasa mengambil Sarjana Sains Pengurusan di utara. Dia juga ketua "chef" untuk kohort kami, maklumlah kepakaran dan kerajinannya ialah memasak. Kenyanglah ahli keluarga kohort kerana setiap minggu ada acara makan-makan di rumah kelamin yang disediakan untuk pelajar sarjana seperti kami. Dia juga akrab dengan anak saya, khususnya si adik. Adik satu-satunya anak kecil yang selalu ikut kuliah kalau sudah tamat kelas tadikanya di dalam kampus.

Ustazah Mukarramah pula kawan saya semasa di kolej matrik. Saya yang dahulu masuk ke kolej, pioneer , kata orang. Waktu itu, mesyuarat pun atas lantai kerana perabot belum sampai. Ustazah masuk beberapa tahun kemudian, mengajar agama. Kedua-duanya bercakap lembut, tulus dan keibu-ibuan. Sesuai amat dengan saya. Kalau saya bermasalah, mereka akan cepat menenangkan. Maklumlah sudah lama kenal, tahu sifat luar dalam.

Berbalik kepada cerita mahu ke kedai makan tadi. Pada awalnya saya dan ustazah memang merancang mahu ke sebuah kedai makan yang biasa kami pergi. Saya mahu membeli air penawar pondok yang selalu ada di situ. Tetapi apabila mengenangkan keinginan Kak Tumerah yang mahu membawa kami ke kedai lain, kami ikut sahaja.

"Ikut kiri dan terus..." Kak Tumerah memberi arahan. Wah, jauh ni, fikir saya. Sebabnya kami sudah masuk ke jalan besar. Kemudian membelok lagi dan lagi. Saya terperasan sesuatu tetapi saya masih diam.

Akhirnya, "berhenti di sini Yang..."

Eh?

"Tengok ni Kak Mah. Kak Tumerah ni betullah. Rupa-rupanya kat sini akak nak bawak kita makan..." kata saya memendam rasa geli hati.

"Tak apa, dapat pahala bawa orang pergi makan walaupun jauh..." jawab ustazah lurus dan tulus seperti selalu.

Masuk ke kedai makan, Ustazah Mukarramah kekaguman.

"Yang, sama je lauk dia macam kedai yang kita selalu pergi..." dia memberi komen.

Dengan ramahnya, dia bertanya kepada tuan kedai. "Encik, ini kedai cawangan ke dengan kedai yang lagi satu? Saya tengok sama je pilihan makanannya..."

Penuh bersemangat ustazah, tanpa sempat tuan kedai itu menjawab apa-apa.

Kemudian dia menoleh kepada saya, "hebat betul orang yang jual air penawar pondok tu kan Yang. Sampai ke kedai yang jauh macam ni pun ada diletakkan..." Saya menoleh ke meja-meja yang ditunjukkan ustazah. Memang ada banyak botol air penawar pondok di situ.

"Kak...," kata saya perlahan," akak perasan tak, inilah kedai yang selalu kita makan tu. Mana ada cawangannya. Cuma rasa jauh sebab Kak Tumerah bawa kita ikut lebuh raya, berpusing-pusing kiri dan kanan..."

"Tadi kan saya dah cakap kat akak. Saya fikirkan akak dah perasan..." sambung saya lagi.

Rupa-rupanya sepanjang masa itu, ustazah langsung tak perasan bahawa itulah kedai yang selalu kami makan. Patutlah dia sempat memberi "tazkirah" kepada saya tentang pahala membawa orang makan walaupun jauh itu tadi!


Ustazah ketawa sampai keluar air mata. Kak Tumerah juga begitu. Hari itu kami kenyang kerana ketawa.

Rupa-rupanya semasa Kak Tumerah mahu membawa kami ke kedai "baru yang sedap makanannya" itu, saya dan ustazah berfikiran sama. Dalam hati kami memikirkan bahawa tidak ada rezeki kami hari ini mahu membeli air penawar pondok kerana kami akan dibawa ke kedai lain.

Itulah kenangan yang akan dibawa Kak Tumerah nanti ke utara. Kenangan lucu yang membuatkan saya tersenyum sendiri, terutama apabila mengenangkan muka ustazah yang serius dan penuh kekaguman melihat pelbagai jenis makanan yang sama dengan "kedai yang lagi satu".

Kedai yang sama tetapi mengikut jalan yang lain, jalan yang lebih jauh dan berbelit-belit.

Seperti kemudiannya yang ditafsir oleh Kak Tumerah; walau bagaimanapun pilihan kita, jauh atau dekat, objektif kita mesti sama, matlamatnya mesti sampai.

Macam jalan menuju kedai itu. Ikut jalan jauh atau dekat, matlamatnya ialah makan makanan yang sedap.

Dan akhirnya setiap seorang membawa pulang sebotol air penawar pondok!