Total Pageviews

Monday, October 10, 2011

Jika semuanya serba ada...

Ekoran belanjawan 2012, banyak sekali perbezaan pandangan. Yang sudah mahu pencen, saling bertanya pendapat, mahu sambung atau tidak?

Ada yang bertanyakan pandangan saya. Wah, sukar  sekali saya mahu memberikan pendapat kerana setiap orang ada keperluan berbeza.

Kalau saya sekarang ini ditanya mahu pencen pada usia enam puluh atau lima puluh delapan, sejujurnya jawapan saya ialah, "saya mahu pencen sekarang!"

Tetapi itu memang tidak memungkinkan sama sekali. Saya punya banyak keperluan. Anak-anak perlu biaya, penyakit saya perlukan wang untuk membeli ubat, ibu juga masih perlukan wang saraan bulanan, hutang juga masih banyak.

Kalau yang sudah tiba saat bersara, fikir-fikirkanlah keperluan masing-masing. Jika anak semuanya sudah lepas, hutang juga sudah kosong, maka mungkin sesuai untuk kita mengundur diri. Beri peluang kepada anak-anak muda yang banyak menganggur. Beri waktu kepada diri untuk melengkapkan ibadah. Banyakkan solat sunat, gantikan mana-mana yang tertinggal, baiki yang tidak sempurna. Bukankah itu lebih baik untuk persediaan ke dunia abadi?

Tapi kalau bersara itu akan lebih memburukkan keadaan, teruskan saja untuk memberi khidmat! Sekurang-kurangnya dapat membimbing yang muda, menurunkan ilmu dan kepakaran.

Tetapi, itulah...

Dunia ini makin dikejar makin kuat dia berlari.

Kepada diri, saya berpesan. Bersahabatlah dengan mereka yang hidup sederhana, maka kita akan jadi lebih tenang menempuh kehidupan. Saya  telah melihat kesederhanaan itu dalam kalangan rakan-rakan yang akrab. Jika kita berkawan dengan mereka yang meletakkan dunia sebagai matlamat, maka hidup akan jadi serba tidak kena. Mekanisme seperti status, nama, wang, kekayaan akan merosakkan nilai-nilai putih dalam jiwa kita.

Jika semuanya serba ada, fikirkanlah untuk mencukupkan keperluan rohani kita pula.