Total Pageviews

Tuesday, October 25, 2011

Hujan petang di Ipoh


Sungai di sisi rumah emak

Hujan petang di Ipoh.

Sudah dua hari berada di ibu negeri Perak ini. Petang-petang buminya disiram hujan lebat.

Memang bulan-bulan di hujung tahun, musim hujan. Penoreh pasti kosong saku. Barangkali musim-musim seperti ini, mereka perlu memikirkan sumber lain untuk mencari sesuap rezeki.

Jika dahulu, musim hujan begini, emak dan ayah akan melupakan kebun dan membenamkan kaki ke selut sawah. Sawah kecil yang membekalkan beras kepada kami sekeluarga. Gambaran kawasan bendang yang luas mata memandang, bersambung petak dengan bendang milik keluarga lain begitu jelas mengheret rindu.

Lumpurnya pekat. Sekali dibasuh dengan air sungai, kesannya masih ada jika kaki tangan sudah kering. Jadi, perlu ditonyoh dengan sabun, kadang-kadang hanya dengan sabun cap kapak yang dibeli di kedai runcit kampung kami. Ditonyoh pula dengan sabut kelapa. Pedih tapi mampu menghilangkan daki.

Kadang-kadang dalam hujan kami masih di dada sungai. Sejak dahulu saya gemarkan hujan. Melihat titiknya yang jatuh jauh dari langit sangat menggembirakan hati. Apalagi melihat titik itu berjatuhan ke air. Cantik sekali. Ajaibnya kuasa Allah yang memberikan perjalanan sebegitu jauh kepada titik air itu.

Ingin sekali saya membawa anak meninjau sekolah lama saya di tengah bandar Ipoh. Juga Asrama Kinta tempat saya tinggal selama lima tahun. Tetapi hujan lebat mengurung keinginan itu. Satu hari nanti, saya mahu anak melihat bangunan sekolah lama kebanggaan saya, Methodist Girls School.

Hujan yang melebat saya kira datang bersama angin sebab saya mendengar derunya yang lain macam di atap. Jika dahulu, pasti kami adik beradik berkumpul di sudut rumah. Emak akan minta kami bacakan ayat Quran sementara ayah akan azan dengan suara yang gemersik dan sayu. Rumah kampung beratap zink memang mengundang kebisingan tatkala hujan. Kadangkala angin kuat akan menolak-nolak zink yang tertanggal menimbulkan bunyi bising yang menakutkan.

Hujan-hujan begini, saya rindukan emak. Kopi panas dengan "tempek" (lempeng) tawar yang dicicah bersama gula, menjadi ubat kesejukan dalam hujan lebat.