Total Pageviews

Friday, September 2, 2011

Udara Desa Yang Manis

Dua ekor anak kambing yang nakal
Tenang sekali di kampung.

Angin petang yang menyejukkan tubuh meluru dari bendang terbiar yang sekarang dihuni oleh kawanan lembu milik seorang haji muda.  Juga dirajai oleh kambing-kambing belaan abang sulung saya. Dua ekor anak kecilnya yang sama saiz dan warna gemar sekali bermain berlari-larian di halaman rumah emak yang luas. Sebelah petang, dua ekor anak kambing putih itu akan dilepaskan bersama seekor lagi kambing yang bersaiz sedikit besar. Juga berwarna putih.

Petang tadi, saya memerhati gelagat anak-anak kambing yang comel itu. Mereka mengusik dan mengejar kucing jantan yang menumpang tidur di rumah emak. Kucing yang dinamakan "Anjang" oleh tuannya itu mula-mula berlari ketakutan tetapi lama-kelamaan, dia pun tidak tertahan lagi dibuli. Anjang pula "menyerang" anak-anak kambing nakal yang berlari terlompat-lompat.

"Padan muka..." kata saya sambil ketawa seorang diri. Emak menjenguk, "bercakap dengan siapa?" tanya emak. Saya tersengih.

Saya selalu mengawasi kambing-kambing nakal yang gemar pula melompat-lompat naik ke atas pelantar depan yang dibina emak. Kali ini, pelantar luas tak berdinding tapi dilengkapi kipas angin dan lampu, menjadi tempat untuk tetamu menjamu selera menjelang lebaran.

Semuanya gemar dengan pelantar ini. Ruang terbuka yang santai dan berangin. Di tepinya ada kolam tempat ikan-ikan talapia emak berenang di sebalik daunan kiambang.

Gemar termenung di muka pintu belakang memerhati bendang terbiar, membangunkan nostalgia. Di tempat itulah taman permainan zaman kanak-kanak saya. Meredah lumpur separuh paha, mencari ikan puyu dan ikan laga atau mencari belalang untuk direndang; adalah antara puluhan kenangan yang sangat manis.

Musim menuai usai, tanah bendang kering, menjanjikan permainan baharu. Layang-layang menakluk langit desa. Tua muda lelaki perempuan masing-masing cuba menaikkan layang-layang pelbagai rupa.

Saya masih rindukan bau asap jerami yang dibakar. Saat itu kamilah raja bendang. Lapang sekali bendang yang meluas dari utara ke selatan, timur ke barat. Kami berlarian di tengah panas pijar matahari. Tanpa risaukan demam atau kulit hitam.

Tetapi sekarang, bendang itu sudah menjadi belukar. Kadang-kadang ada babi yang datang merosakkan tanaman. Malahan kata emak, ada yang berani mati datang menyondol-nyondol hingga ke sisi rumah.

Kampung hanya menjadi bernyawa ketika lebaran. Jika meriah pun, hanya kerana di rumah emak diadakan latihan hadrah. Bunyi tepukan hadrah dan nyanyian, mampu menghalau babi-babi daripada mendekati kampung.

Anak-anak kambing yang menyondol-nyondol belakang saya memadamkan nostalgia.

Nakal betul!

Saya mengejar ketiga-tiganya keliling halaman...