Total Pageviews

Sunday, September 25, 2011

Hidup Ini Umpama Dua Permukaan Syiling

Hujan pagi Ahad.

Selepas ke Darussyiffa, langsung ke Dataran Senawang. Sekadar meraikan jamuan hari raya Dun Paroi di bawah YB Taufek.

Tiada protokol, tiada meja khas. Tiada artis seksi. Yang ada hanya lagu-lagu nasyid dendangan Allahyarham Ustaz Asri Rabbani. YB Mahfuz Omar Pokok Sena pun sempat singgah.

Saya gemar memerhati orang Melayu Malaysia di majlis-majlis seperti ini. Hebatnya orang kita, puasanya belum tentu penuh tapi semangat rayanya sampai sebulan! Entah apa nikmatnya tak jemu-jemu makan lemang dan rendang selama sebulan itu...

Saya tidak makan apa-apa pun. Cuma bertegur sapa dengan isterinya YB.

Saya tidak gemar duduk di Seremban cuti-cuti begini tetapi atas sebab-sebab tertentu, terpaksa menginap juga. Untuk menjadikan saya berpeluh, saya berjalan kaki dari satu kedai ke satu kedai. Jubah saya sudah basah dengan peluh. Mudah-mudahan sihat saya hari ini.

Lama di kedai buku dan seperti biasa, pasti ada yang saya beli. Tajuknya pun hebat, "Bila Allah Menduga Kita" oleh Syed Alwi Alatas, terbitan Mustread tahun 2010.

Dan ada tajuk yang cepat menyapa mata saya iaitu "Hidup Ini Umpama Dua Permukaan Syiling". Apabila dilambung ke udara, kita tidak tahu sama ada akan mendapat ekor atau muka. Kita tidak pernah tahu apa yang bakal terjadi kepada kita pada masa hadapan.

Kupasannya menakjubkan, dan pastinya buku itu bakal mencuri malam saya.