Total Pageviews

Saturday, September 24, 2011

Perjalanan, Persinggahan dan Teladan...


Norlailah dan Antar

Dua-dua demam. Batuk-batuk sepanjang jalan. Kalau diikutkan memang tidak terdaya.

Tapi kena ke Melaka juga. Lama dahulu saya pernah berjanji kepada Laila untuk datang jika jodohnya telah bersuara.

Hari besar Laila sudah datang. Laila, pernah menjadi pensyarah di bawah unit saya di kolej dahulu. Setelah sesat sampai terpaksa bertanya kepada pengawal UTeM, akhirnya sampai juga. Laila meluru dengan pakaian pengantin yang cantik.

"Akhirnya sampai juga kakak aku ni..." dia melonjak riang. Saya takut-takut memeluknya. Ya lah, dia sudah berdandan cantik. Saya pula berpeluh-peluh (dalam demam) mencari alamatnya, padahal pernah datang beberapa tahun sebelum itu. Bimbang berjangkit, saya membalas pelukan dengan longgar.

Sudah jadi suri akhirnya "budak" ini, fikir saya.

Tidak boleh menanti lama untuk lihat Laila di pelaminan. Tapi teringin pula melihat wajah suaminya. Jadi, kami menunggu sebentar di tepi longkang, meninjau-ninjau kalau rombongan sudah tiba. Tapi tiada tanda, maka kami pun pulang.

Tiada lagi kesesatan yang nyata, sebab masa datang tadi kami sudah belajar dari sesat.

Awal pagi, jam sembilan Sabtu itu, sempat saya coretkan puisi buat Laila

Surat Untuk Laila
(sempena perkahwinanmu 24 September 2011)

Alir dari dua daerah berbeza
menjadi satu

Pastinya beberapa musim untuk alir itu menjadi serasi
sehingga tak mungkin dapat membezakan
antara rasa masin dan tawar

Maka kalian harus menanam sabar
di setiap penjuru tebing
di segenap sudut tersembunyi
kerana ujian perkahwinan bukan seperti menghitamkan ABC

Gelodak yang berapungan di dasar
jangan sampai menjadi ombak
yang boleh menghakis percaya dan cinta

Laila,
Selamat menjadi suri
untuk seorang Antar
selamanya
selamanya
dalam restu Tuhan...


Kemudian, dalam pening-pening lalat, singgah pula di apartmen guru Kuala Pilah. Menumpang solat di rumah guru yang lapang. Rasa mahu baring saja kalau tidak mengingatkan jamuan raya yang diadakan di parkir. Macam-macam ada, tapi apa yang boleh saya jamah?

Wajah kawan-kawan yang keriangan menyambut, memberikan semangat luar biasa. Banyak cerita yang mereka kongsikan, sudah pasti akhirnya mengundang tawa. Tapi semuanya memberi komen, saya sudah kurus sedikit.

Semua bertanya-tanya kondisi saya. Saya menjawab semuanya ok.

Tapi seorang junior, rakan akrab saya, guru bahasa Jepun itu menyampuk, "KY tak ada rakan sebaya"

Mereka yang faham, memang ketawalah. Tapi yang kurang faham terpinga-pinga.

Tapi akhirnya mengertilah saya, mereka kawan-kawan bujang dan muda yang boleh saya kongsikan segalanya tetapi mereka tidak pernah ikut masuk dalam hidup berkeluarga saya. Mereka mengambil berat tetapi tidak menjadikan saya rasa "berat" untuk menerima mereka dalam prinsip hidup yang mudah, langgas dan santai. Mereka seperti saya, tidak mengejar nama atau pangkat. Dan fahamlah saya, atas sebab itulah kami serasi.

Rupa-rupanya cerita-cerita kecil pun boleh meriangkan hati.

Walaupun saya sangat berat hati mahu pulang, tetapi saya gagahkan juga dengan berbekalkan cerita yang pernah saya beritahu mereka lama dahulu...

"Dua orang banduan sedang melihat dari celah jendela. Seorang memandang lumpur, tetapi seorang lagi memandang bintang..."