Total Pageviews

Sunday, September 11, 2011

Hebatnya Doa Emak


Saya rasa lebaran kali ini lebaran paling menggembirakan emak.

Sebab semua anaknya dapat balik beraya. Saya tanya emak, bagaimana pula kali ini keenam-enam orang anak emak boleh berkumpul untuk lebaran? Selalunya pasti hilang seorang, atau kadang-kadang dua orang; kerana tugas. Atau atas sebab-sebab lain.

"Emak doa sepanjang Ramadan," kata emak.

Pasti saja emak berdoa sungguh-sungguh. Sebab bukan mudah mahu mengumpulkan semua anak emak khususnya yang duduk di hujung tanah air berdekatan Singapura itu. Cuma kata emak, ada dua cucu bersama dua cicit sahaja yang gagal balik beraya.

"Tapi tak apa. Emak bersyukur sangat. Sepanjang Ramadan, emak selalu mimpi ayah balik dengan senyuman. Dan malam tadi, paling manis senyum ayah..." Begitu emak bercerita. Dan waktu pulang menziarahi pusara ayah, emak bawa balik bunga-bunga santalia yang hidup subur menaungi pusara ayah. Entah bagaimana rindu emak pada ayah, barangkali seputih dan sewangi santalia.

Meskipun 2 Ramadan, tiga daripadanya terpaksa bergerak pulang kerana tuntutan kerja; tetapi saya nampak muka emak tetap puas. Emak memang kepenatan. Siang dan malam dalam seminggu itu, rumah emak seperti ada kenduri. Orang datang tidak berhenti. Paling menyedihkan kerana melihat emak kelelahan dan emak tidak membenarkan saya membantu.

Saya hanya disuruh menjaga duit raya untuk diberikan kepada kanak-kanak yang datang. Emak bimbang jika saya curi-curi makan. Meskipun saya bukan jenis "pemakan", tetapi kadang-kadang kalau benda yang disuruh berpantang itulah yang paling kita suka untuk menjamahnya. Ramai pula yang jadi "spy" emak; daripada anak saya sampailah ke anak saudara yang kecil-kecil.

Ada satu ketika saya lama di bilik air. Bilik air emak ada dua. Kedua-duanya sangat besar, rasanya separuh ruang tamu rumah sewaan saya. Saya memang suka kerja-kerja mencuci baju atau memberus bilik air. Saya memberus perlahan-lahan.

Tapi...

"Opah, makyang berus bilik air!" Alamak, akhirnya kantoi juga.

Maka jadilah cuti lebaran seminggu itu, cuti "termenung". Makan ubat, kemudian termenung sahaja. Mahu angkat bayi pun tidak boleh sebab bayi-bayi sekarang gemuk belaka. Sepanjang cuti saya ke pasar membeli ikan yang banyak, sebenarnya untuk tidak membimbangkan emak kalau-kalau saya kelaparan. Tapi itu pun emak tidak membenarkan saya bawa ikan-ikan, hanya bawa sayur yang ringan-ringan.

Begitulah kasih emak. Saya yang sepatutnya menjaga emak, tetapi dalam lima bulan ini sudah jadi terbalik. Saya selalu beritahu, saya tidak apa-apa walaupun badan saya sudah susut. Saya cuba menjadi saya yang secergas dahulu; tapi hati emak siapalah yang tahu. Sekilas pandang, emak sudah mengerti.

Saya memang tidak boleh menipu mata dan hati emak yang memang ajaib.

Seperti emak berdoa supaya semua anaknya pulang, saya tahu emak banyak berdoa untuk saya juga.

Saya selalu mengingatkan emak, "Yang sudah tua, sudah hampir 46 tahun..."

Kata-kata saya itu selalu memeranjatkan emak. Sebabnya emak tidak pernah merasakan anak-anaknya sudah setua itu.

Paling menyentuh hati apabila emak berkata, "mak gembira betul sekali ini. Tapi hanya ada satu perkara yang emak susah hati. Kadang-kadang emak tidak dapat tidur memikirkan Yang..."

Mendengarkan itu, saya akan beritahunya sekali lagi, "Yang sudah tua, mak. Jangan bimbang. Lagipun Yang kan ada suami yang sangat ambil berat."

Tapi emak tetap bimbang kerana suami dijadualkan ke Surabaya selama dua minggu.

Saya memberi jaminan. Kata saya, di tempat baru saya ada teman-teman yang sangat baik. Teman-teman di tempat lama sama ada di matrix atau sekolah juga, bila-bila masa sahaja sanggup turun jika saya memerlukan mereka.

Mudah-mudahan hati emak sedikit lega.

Saya tidak mahu kegembiraan emak kerana doa Ramadannya itu termakbul, terganggu kerana keadaan saya.