Total Pageviews

Wednesday, September 21, 2011

Apabila Dia Menguji...




Sudah lama diam, barangkali sudah berbelas hari.

Bukankah sudah dikatakan, hidup ada hujan dan panas. Sesekali Allah menguji dengan musim kemarau yang kontang dan pijar, mematikan hidupan dan pokok. Sesekali pula Allah menurunkan hujan tanpa jeda; menenggelamkan kediaman dan daratan.

Maka bersabarlah wahai manusia, Dia menguji kerana sangat menyayangi.

Awal pagi cuti Hari Malaysia, saya gagahkan juga pulang ke kampung halaman meskipun malamnya suhu badan mendadak naik sehingga mengejutkan suami yang pulang lewat kerana mesyuaratnya yang terlanjur waktu. Bukan dia tidak melarang, tapi hajat orang-orang Lembaga Pembangun Sastera Perak dan DBP Wilayah Utara yang menanti di Kuala Kangsar sukar saya abaikan begitu sahaja.

(Tetapi akhirnya mereka terabai juga oleh kondisi saya yang tiba-tiba rebah, tiga hari terbaring lesu dirawati emak dan kakak. Kali ini saya tidak berdaya berlakon "sihat" di depan mata emak. Kudrat saya tinggal nihil)

Seperti lazimnya, saya tidak tahu pun saya demam panas. Rupa-rupanya rasa lemah badan dan pandangan yang berpinar-pinar siang Khamis menjelang Hari Malaysia itu petanda saya demam.

Saya makan ubat siap-siap, memberikan jaminan kepada suami bahawa saya ok untuk memandu sejauh itu. Dalam perjalanan memang saya berasa sangat penat dan kantuk. Kurang tidur malamnya akibat gigilan demam dan batuk kuat menyebabkan saya kepeningan.

Rupa-rupanya demam dan batuk saya itu berlarut-larutan. Sudah semput-semput pula. Entah dari kutub mana pula datangnya semput-semput ini saya pun tidak tahu. Jenuh saya menelan berpikul-pikul ubat dari yang tradisional sampailah ke ubat yang harganya ribuan ringgit. Saya berdoa, janganlah Kau uji saya dengan ujian yang tak mampu untuk saya menanggungnya. Saya hanya mahu sihat dan kembali meneruskan usaha untuk melahirkan rasa gembira yang sudah perlahan-lahan pudar sejak Jun lalu.

Rasa bersalah kepada rakan-rakan pensyarah yang terpaksa mengambil alih tugas slot kursus yang sepatutnya saya beri, begitu menekan saya. Meskipun saya sudah letih dengan kerja-kerja luar semasa di matrix, tetapi ini tugasan baru yang memang saya mahu rasai sendiri pengalamannya. Tapi dengan batuk yang menggila tanpa kawalan dan angin semput yang tiba-tiba bertandang, mampukah saya?

Kasihan rakan-rakan saya.

Doktor yang sudah agak lama tidak merawat terkejut dengan perubahan saya. Dia meminta saya naik ke mesin penimbang.

"Sudah turun 6 kilo," dia merungut.

"Cari kerja yang awak suka, janji happy. Jangan over-expectation"

Dalam hati, saya mengakui. Ini jalan yang saya pilih. Tiada siapa yang paksa saya. Saya bukan tidak biasa berada dalam kondisi dan fasiliti yang serba kurang atau aturan-aturan dunia yang kompleks. Saya juga memang tahu benar, bidang yang saya ceburi dua puluh satu tahun ini bukan bidang pilihan saya. Tapi takkanlah kerana itu, saya demam panas!

Musim sekarang cuacanya tidak begitu sihat, maka orang-orang yang kurang senaman macam saya cenderunglah untuk dijangkiti virus.Itu sahaja sebabnya Doc!

Di kampung juga saya dibawa kakak berubat tradisional. Demi melegakan hati emak, bukankah melegakan hati seorang ibu itu imbuhannya pahala? Mudah-mudahan "penyakit maut" saya yang lagi satu itu akan pulih dengan doa emak yang putih.

Sebabnya, dalam pendiamnya saya, sempat lagi bercelupar menanya emak, "mak takut Yang mati dulu ya?" Kemudian saya ketawa-ketawa seperti tidak mempedulikan hati emak yang barangkali tersiat sedikit dengan jenaka yang langsung tak kelakar itu.

Akhirnya padan muka saya kerana berjam-jam menahan telinga mendengar tazkirah panjang emak malam itu; siap dengan firman Allahnya sekali.