Total Pageviews

Tuesday, September 6, 2011

Ditipu Buku Sejarah



Rosli Dhobi (1933-1950)
 Kita banyak ditipu oleh buku sejarah...

Dulu guru subjek sejarah saya pernah beritahu saya begitu.

Beliau guru sejarah yang hebat. Akhirnya saya menjadi pelajar yang sangat meminati subjek itu. Subjek yang selalu dikata orang sebagai membosankan.

Beliau selalu beritahu kami berkaitan "the unsung heroes...".

Ramai, katanya. Tetapi yang disebut-sebut dan wajib dihafal oleh pelajar, hanya orang-orang yang sama. Yang sampai terkorban di tangan penjajah British tak pernah pula diwar-warkan.

"Awak tahu tentang Rosli Dhobi? Baru berumur tujuh belas tahun saat dihukum gantung oleh British. Bayangkan, dia masih remaja tetapi semangat juangnya sangat hebat. Juga Tok Janggut. Mayatnya digantung dengan kepala ke bawah. Setelah tiga hari barulah dikebumikan. British menggunakan sultan untuk menitahkan bahawa Tok Janggut itu penderhaka. Sebab itulah British ambil peluang untuk membunuhnya..."

Rosli Dhobi membunuh Sir Duncan George Stewart, gabenor Sarawak pada tahun 1948 dan pada tahun 1950 Rosli dihukum bunuh dan dikebumikan di perkarangan penjara. Pada tahun 1996, barulah kerajaan Sarawak memberikan penghormatan mengebumikannya semula di Makam Pahlawan.

Teringat pula saya dengan seorang rakan saya yang begitu lama tinggal di Sarawak. Baru-baru ini dia membisikkan ke telinga saya, "tahu tak, waktu Rosli dihukum gantung, dia sudah bertunang. Tunangnya sampai sekarang masih ada, tidak kahwin-kahwin..."

Kata cikgu saya, pemimpin-pemimpin yang disebut nama berulang-ulang di buku sejarah itu memang bagus tetapi alirannya sama dengan aliran penjajah. Penjajah tidak akan sama sekali membenarkan pemimpin tanah jajahannya berpendidikan Islam. Mesti sekular juga.

Maka jadilah kita ini sekular selama-lamanya. Jika Islam mahu bangkit, akan cepat pula dibenamkan kembali ke dasarnya.

Tidak tahu di mana cikgu itu sekarang. Tapi isu-isu yang melanda tanah air waktu ini kembali menyorot ingatan saya kepadanya. Cikgu yang hebat, banyak sekali ilmunya.

Mahu saja saya menemuinya dan mengungkapkan...terima kasih cikgu!

Kadang-kadang kita memang telah dibutakan oleh sejarah...