Total Pageviews

Saturday, August 20, 2011

Sibuk-sibuk Menjelang Lebaran

Jalan sesak dalam hujan Ramadan
Jam 3 dalam hujan lebat dan deru angin, saya meredahnya juga.

Jalan jem dan sebuah kereta mahu juga berasak masuk ke laluan saya. Dia melanggar cermin sisi kanan sampai tertutup cermin itu. Saya membunyikan hon tanda amarah dan amaran!

Tak reti makna sabar hari-hari akhir Ramadan ini. Mahu cepat sahaja sampaikan membahayakan diri dan orang lain.

Akhirnya setelah berpusing-pusing, saya melafaz doa. Ya Tuhan, berikan saya ruang parkir sekali ini, saya sudah penat tawaf beberapa kali. Dalam keadaan sesak seperti ini, mustahil untuk saya mendapat parkir. Tetapi Allah mendengar juga doa kecil daripada orang kecil yang banyak dosa. Doa kecil yang sangat diperlukan saat hujan lebat dan sesak iaitu memohon ruang parkir. Alhamdulillah.

Sebetulnya saya mahu mengambil kanta mata multifokal yang saya tempah seminggu lepas. Kena pakai jenis itu sebab saya sudah memiliki kedua-dua jenis kerabunan. Dekat dan jauh. Pakai kanta mata tapi ketika membaca, letak kanta mata di hujung hidung. Atau kadang-kadang membukanya terus. Bukankah kelihatan pelik?

Semua orang pun sibuk membeli belah untuk menyambut lebaran. Saya sekeluarga belum bersiap-siap apa pun. Saya hanya mahu gembirakan emak, dengan menyediakan keperluan yang emak perlukan. Itu pun bukan untuk dirinya tetapi untuk gembirakan anak cucunya juga.

Anak-anak sudah dewasa. Tiada keperluan apa-apa untuk lebaran. Cuti seminggu, mereka mahu gembira ria pun tidak boleh. Tugasan penuh dalam senarai. Menjadi mahasiswa menuntut seribu pengorbanan.

Saat menjelang lebaran itulah yang mengujakan, bukan hari lebaran itu sendiri. Saya hanya gemarkan nostalgia pulang kampung. Kereta yang membanjiri lebuh raya, bergerak seinci-seinci. Mengintai muka-muka ceria penumpang-penumpang kereta sebelah-menyebelah. Meskipun penat berpuasa tetapi tetap gembira mahu pulang.

Rumah emak, sejak gemulah ayah masih ada; memang sejak malam selepas Ramadan pamit, sudah mula didatangi tetamu. Kadang-kadang membawa ke pagi. Mereka gemar duduk-duduk menikmati lemang dan masakan istimewa keluarga iaitu ayam masak taucu. Sambil melihat cucu-cicit emak bermain bunga api.

Sejak ayah tiada, memang agak terasa. Selalunya ayah akan bertakbir dari dalam biliknya. Takbir kemenangan mengharungi Ramadan. Sambil berdoa agar sempat bertemu lagi dengan Ramadan seterusnya.

Akhir Ramadan, saya harap saya sempat menziarahi pusara ayah. Mahu melihat dahan santalia yang ditanam emak, masihkah tumbuh memanjang menaungi pusara ayah. Batu gunung yang menjadi nisan ayah memang diambil dari batu gunung, batu asli dari air terjun. Ayah yang mahukan begitu. Kata ayah dahulu, jangan tempahkan nisan daripada simen kalau dia dijemput pergi. Cukuplah hanya batu gunung. Saya mahu doakan ayah sebagai tanda kasih sayang saya.

Sedih Ramadan bakal berakhir. Ada rasa luka dan hiba yang entah bagaimana mahu dilakar. Mata bergenang air. Sunyi dan sayu. Seperti hujan di luar yang melebat, mendinginkan Ramadan tahun ini.