Total Pageviews

Saturday, August 20, 2011

Perginya "Seorang Tua Di Kaki Gunung" (1942-2011)

Wajahnya menyamai wajah almarhum ayah

Pagi ini saya terkedu.

"Saya dan kawan-kawan dalam perjalanan ke rumah Azizi" begitu SMS ringkas daripada Budayawan Negara Pak Dinsman kepada saya. Maknanya mereka dalam perjalanan ke Kulim.

Rupa-rupanya...

Anak kelahiran Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda itu telah pergi.

Saya tidak mampu menahan esakan. Sepanjang 21 Ramadan, mata saya bengkak. Rancangan mahu mencari juadah di bazar terpaksa dibatalkan, sebab muka sudah sembab. Saya hanya mampu mendoakan dari jauh agar almarhum ditempatkan bersama golongan yang beriman.

Pemergiannya di bulan seribu rahmat. Saya selalu menjenguk blog beliau yang tidak lagi di update sejak April iaitu sejak beliau dimasukkan ke hospital kerana sakit yang dideritainya.

Sejak di sekolah rendah, saya memang meminati cerpen beliau. Selalu saya dapat mengintai betapa prihatinnya beliau selaku guru dalam menyelami rasa hati pelajarnya yang miskin dan melarat lewat cerpen-cerpennya.

Kemudian sewaktu beliau bertugas di sebuah akhbar sebagai pengelola ruangan sastera/pembimbing, saya mengutus surat kepada beliau. Sangat gembira, kerana beliau membalas. Saya menghantar cerpen dan beliau akan memberi komen. Saya tinggal di asrama saat itu. Betapa bangganya saya menunjuk-nunjukkan kepada kawan, setiap kali mendapat balasan bersama komen beliau tentang kekuatan dan kelemahan karya saya.

Sejak itu saya adalah pengumpul novel beliau. Saya sangat sukakan gaya bahasanya. Saya tahu beliau sangat banyak menyelidik sebelum menulis novel. Novel terakhir almarhum yang saya beli di Kinokuniya KL pada tahun 2008 iaitu Harga Sebuah Maruah terbitan DBP  yang diterbitkan pada tahun 2007.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, saya bekerja di penerbitan Amir Enterprise, bahagian majalah SARINA. Di sinilah kami akhirnya bertemu kerana Ustaz Azizi menulis siri novelnya untuk majalah tersebut. Beliau selalu datang ke pejabat, tetapi oleh kerana didera perasaan rendah diri, saya tidak pernah memperkenalkan diri kepada beliau.  Beliau hanya mengenali saya sebagai wartawan sahaja.

Kali terakhir saya menerima komen beliau mengenai sebuah cerpen saya yang diterbitkan oleh sebuah media alternatif islami pada awal tahun ini sebelum beliau dirawat di hospital April lalu. Saya akan menyimpan SMS itu sebagai kenangan daripada seorang sasterawan hebat yang memperjuangkan agama dengan caranya yang tersendiri. Tetapi saya yakin, beliau tidak mengetahui dan tidak perasan bahawa sayalah budak sekolah yang pernah dibimbingnya puluhan tahun lalu.

Saya hanya memaklumkan kepada budayawan Dinsman bahawa Ustaz Azizi pernah menjadi "guru" saya menulis cerpen. Jadi, setiap pandangannya amat saya hargai meskipun agak negatif.

"Sampai akhir dia tidak tahu saya budak sekolah awal 80-an yang dia betulkan cerpen dengan pen merah tu...Saya sedih sangat, tuan, Macam hilang ayah!" Saya mengirim SMS kembali kepada Pak Dinsman.

"Tuk Ya", kami akan selalui merinduimu.

Saya capai novelnya di rak dan terbaca catatannya yang begitu dalam pengertian...

"Rakyat itu selalu diam
tapi ia pencatat tidak pernah lupa
rakyat itu seperti naga
melingkar dengan berat badan dan
diam dalam keheningan sendiri
pancainderanya tajam
kuat intuisinya dengan akal budi
lalu jangan sekali-kali melukainya
jangan melukakannya berkali-kali
kerana sekali ia bangkit
rosaklah segala apa-apa..."

Beliau, begitu dikatakan ramai orang barangkali layak menerima anugerah sasterawan negara. Tetapi kerana beliau memilih haluan perjuangan yang berbeza dengan pemerintah; namanya tiada dalam senarai. Namun di negara luar, beliau amat dihormati. Pada tahun 1986, beliau menerima anugerah S.E.A Write Award. Seorang Tua Di Kaki Gunung diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa Jepun.

Belasungkawa Ustaz Azizi. Selamat berangkat.

Mendung Ramadan ini mengiringi keberangkatanmu ke sisi-Nya.