Jika kita tidak mampu menghentikan terjahan hujan, bergembiralah dengan mandi-manda di dalam lebatnya...bukan bahagia yang menjadikan kita bersyukur tetapi dengan bersyukur menjadikan kita bahagia.
Total Pageviews
Sunday, July 10, 2011
Setulus hati Kogulan
Dulu saya ada seorang pelajar, namanya Kogulan.
Dia pelajar kelas tercorot yang didominasi seratus peratusnya lelaki.
Tahun pertama saya ditugaskan ke sekolah itu, saya mengajar Pendidikan Seni Visual kepada pelajar-pelajar kelas tersebut.
Untuk memberi arahan sahaja, memerlukan kudrat yang bukan sedikit. Jumlah mereka barangkali dalam 43-45 orang, seingat saya itulah lebih kurang jumlahnya. Selesai memberi ucap selamat, saya biasanya akan menyuruh mereka berdiri untuk memberi arahan.
Kalau tidak, jangan haraplah mereka akan mendengar. Riuh rendah dan hiruk pikuk kelas itu. Oleh yang demikian, saya suka membawa mereka melukis di tepi padang. Kadangkala tidak mampu mengikut sukatan pun, kerana jika di kelas lain, saya berani menyuruh pelajar membawa gunting atau gam; di kelas itu saya tidak mahu mengambil risiko.
Kogulan antara pelajar yang buta huruf. Tapi dia suka bercerita, dalam loghat Negeri Sembilan bercampur aduk dengan bahasa Melayu yang agak tunggang terbalik.
Kawan-kawannya yang berketurunan India suka juga menyakatnya. Kata mereka, "Cikgu, itu hari, tahun lepas, Kogulan buat sambut hari lahir. Tiba-tiba lampu padam. Nampak gigi je cikgu. Golap tak nampak dia. Tapi nampak gigi dia..."
Semua pun ketawa berdekah-dekah, termasuk Kogulan. Tiada yang mengambil hati dengan usikan sedemikian. Nampak sensitif, tapi mereka menerimanya dengan hati luhur. Walhal yang menyakatnya pun lagi gelap kulitnya daripada si Kogulan.
Kemudian, tahun selepas itu, Kogulan kematian ibu. Dia tiga beradik. Kogulan anak kedua. Kakaknya masih bersekolah di sekolah berdekatan. Ayahnya buruh. Saya mahu bertanya khabar Kogulan. Bagaimana dia menguruskan diri tanpa kehadiran ibu.
"Mak saya dah mati, cikgu. Masuk hospital..." selamba sahaja dia bercerita. Katanya, ayahnya yang akan memasak untuk dia bertiga beradik. Riangnya masih seperti itu. Barangkali dia sedih tapi pelajar bertubuh kecil itu cepat sahaja melupakan kesedihannya ketika di sekolah.
Saya pernah ditugaskan mengajar pelajar-pelajar yang buta huruf ini. Sistem pendidikan gagal mencelikkan pelajar ini sehinggalah mereka ke sekolah menengah. Bagaimana mereka mahu belajar Sejarah, Sains dan sebagainya jika mereka tidak tahu membaca?
Dua waktu untuk mengajar kadangkala membosankan mereka. Saya ke kedai-kedai buku mencari buku untuk pelajar tadika yang penuh dengan gambar-gambar. Saya juga membuat kad-kad daripada kad manila dan menulis perkataan-perkataan di situ. Saya tidak pernah langsung ada pengalaman mengajar sekolah rendah, jadi agak sukar untuk saya mempraktikkan kaedah 3M ini kepada mereka.
Kadangkala saya membawa kuih-muih, buat kudapan mereka kerana saya tahu ada di antaranya yang tidak mampu dari segi kewangan. Yang seronoknya ialah ketika saya memberikan mereka rehat sebentar, untuk mengelakkan kebosanan.
Mereka akan bercerita, sekali lagi dengan ayat dalam bahasa Melayu yang tunggang-langgang tapi berloghat Negeri Sembilan.
"Bapak saya mati gantung diri, cikgu. Dio mabuk, minum-minum, lopeh tu gantung diri..." kata kawan si Kogulan.
"Macam mana ibu kamu cari wang?" tanya saya.
"Saya jual kuih. Semua tempat saya pergi, jalan kaki"
Saya teringat tiba-tiba. Rupa-rupanya pelajar inilah yang pernah saya temui menjaja kuih dalam bakul masuk ke kedai-kedai Cina, waktu itu saya berada di salah sebuah kedai. Tauke kedai tersebut sempat bercerita mengenai pelajar ini. Kata tauke, pelajar itu sangat berkeinginan memiliki peti TV, sebab itulah dia menjual kuih untuk mengumpul wang membeli TV. "Bapanya mati gantung diri..." kata tauke itu.
Hati saya disuntik rasa belas. Menjadi guru, menyebabkan kita menganggap semua pelajar tidak kira siapa pun dia, sebagai anak-anak kita.
Sama ada dia berketurunan Tionghua, India atau bangsa-bangsa lain; dia dilayan sama rata.
Sehinggalah saat saya mahu meninggalkan sekolah, saya terjumpa Kogulan.
"Dah pandai baca?"
"Dah cikgu!" Dia menjawab penuh yakin.
"Cuba tulis..." Duga saya.
Memang dia sudah pandai mengeja. Saya berpesan, mesti pandai membaca dan menulis. Kalau tidak, nanti awak jadi macam orang buta. Tak tahu baca papan tanda, tak dapat kerja kerana tak tahu membaca.
Tapi Kogulan sangat yakin dengan keupayaannya membaca.
Mungkin tahun ini Kogulan tidak dapat menyambut hari lahirnya. Ibunya sudah tiada. Tapi cerita lucu kawannya itu sentiasa menjentik ingatan saya kepada pelajar saya itu.
Mereka bukan pelajar pintar. Kelas tercorot yang selalu menjadi igauan ngeri guru-guru perempuan. Kebisingannya mengalahkan suasana pasar pagi. Aktifnya juga melampau-lampau. Itu sebabnya juga saya melarang mereka makan gula-gula, minum pun air kosong sahaja. Supaya keaktifan mereka berkurang sedikit.
Entah bila saya akan jumpa Kogulan lagi. Tapi saya mendoakan pelajar kecil ini dapat menguruskan hidupnya sendiri, menghabiskan sekolah, dapat mencari kerja untuk menyara kehidupan.
Gaji kecil pun tidak mengapa, bersesuaian dengan keadaan dirinya. Asalkan jangan merompak, jangan menipu dan berbuat onar.