Total Pageviews

Wednesday, June 15, 2011

Berat Di Kaki dan Hati...


Seperti ada tusukan tajam di jantung hati.

Membaca luahan hati mereka di blog masing-masing, di laman FB; hati saya luluh. Mereka anak-anak luhur, sesuatu yang istimewa apabila kita mengajar di sekolah. Saya tidak merasai kepedihan sebegini kala saban tahun berpisah dengan pelajar-pelajar di kolej selama hampir sepuluh tahun itu.

Berbanding mereka yang gagal menyembunyikan bengkak mata dan wajah murung, "ketuaan" saya mampu melindungi pedih hati saya.

Ketidakmampuan mereka untuk berpura-pura itulah yang saya hargai. Hati mereka tulus, air mata yang mengalir juga bukan lakonan. Luahan hati mereka juga sangat jujur dan mengharukan.

Hampir dua setengah tahun saya bersama mereka. Membetulkan apa yang salah, mengulang semua apa yang mereka lupa (sebenarnya kerap lupa, barangkali kerana faktor junk food yang menjadi santapan saban hari), mendenda mereka membuat pembetulan, mendengar masalah mereka, menyaksikan kenakalan remaja yang tidak pandai makna diam, menahan geli hati melihat mimik muka mereka yang memohon simpati, melihat kekreatifan mereka mencipta istilah, belajar memahami loghat mereka yang pekat; semua itu menjadikan mereka akrab di hati saya.

Jangan sesekali menyebut perkataan "tampal" di dalam kelas. Sebab nanti akan ada suara-suara nakal yang tiba-tiba ketawa dan mengaitkan perkataan tersebut dengan pelajar tertentu yang nama bapa atau atuknya ialah "Mustapa atau Zaimustafa". Terpaksalah saya mengubah perkataan tersebut kepada, "lekatkan keratan ini ke dalam buku" atau "lekatkan nota itu ke dinding".

Terpaksa menjadi kreatif, bukan?

Saya percaya, apabila mereka berada di tingkatan yang lebih tinggi, tabiat gelar-menggelar itu akan padam dengan sendirinya. Dan semua itu bakal menjadi nostalgia buat mereka. Meninggalkan kenangan manis dan melucukan.

Bagi pelajar-pelajar yang berusia 18 dan 19 tahun pula, mereka lebih matang dalam meluahkan rasa hati. Saya memang mengenali sebahagian daripada mereka kerana mereka adalah rakan-rakan anak saya. Menangani mereka tidak menjadi masalah buat saya kerana persis saya menangani karenah anak-anak saya juga.Mereka sebaya puteri bongsu saya. Sangat mudah kerana saya merupakan "kawan" kepada anak saya, meskipun saya selalu mengingatkan "pagar" yang membezakan kami. Begitu juga dengan anak-anak remaja itu, saya adalah "kawan" mereka dalam "pagar" masing-masing.

Seperti yang saya katakan, apa-apa yang baharu berlaku memang sukar diterima. Tetapi masa akan mengubati kita. Anak-anak itu pasti akan terbiasa dengan kehilangan secara perlahan-lahan. Masa akan mengubati kesedihan mereka.

Saya memang menantikan saat melihat mereka menjadi manusia dewasa.

Meskipun berat di kaki dan hati, hidup mesti diteruskan kerana perjuangan kita yang belum selesai...