Total Pageviews

Saturday, May 14, 2011

Sisi Hitam Atau Putih: Pilihan Di Tanganmu



Semua orang ada sisi baik dan buruk, sisi positif dan negatif, sisi hitam dan putih dalam diri kita. Terpulang kepada kita untuk menonjolkan sisi yang mana satu.

Suatu malam baru-baru ini, wajah anak saya murung. Pasti ada sesuatu yang sangat mengganggu mindanya. Dia enggan memberitahu, tetapi saya yakin ia berkaitan dengan sesuatu. Di luar pengetahuannya, saya cuba mencari punca. Rupa2nya rakan sebiliknya pada semester lepas telah menulis sesuatu yang buruk tentang dirinya di sebuah laman sosial. Kawan2 yang lain juga turut mengutuk. Saya mencari laman sosial kawannya itu. Saya membacanya dan memberikan kesimpulan bahawa kutukan itu bersifat kurang matang, hanya sekadar mahu mencari pengaruh dalam kalangan kawan2 sebaya.

Paling teruk, bahasa yang digunakan. Penuh dengan kata-kata buruk dan menghina peribadi, sedangkan puncanya sangat remeh! Hanya kerana "buang nama dalam list FB", cercaan turut melibatkan individu yang tidak bersalah.

Itulah masalahnya siswa-siswi lepasan SPM (maaf jika agak provokatif: tapi anak2 saya pun masuk universiti dengan sijil SPM). Itu sebabnya ada universiti di negara ini yang agak menjaga reputasi mereka dengan hanya membuka peluang kepada lepasan STPM atau diploma untuk mengikuti kursus tertentu di universiti berkaitan. Saya kurang arif dengan polisi UM sekarang. Zaman saya dahulu, majoriti fakulti hanya menerima pelajar lulusan STPM. Soal kematangan yang diberi penekanan. Agar perkara-perkara remeh seperti “turpentine tumpah” atau “buang nama dalam list FB” menjadi bahan umpatan yang bertebaran di maya. Jika di peringkat sekolah, hal yang tersebut masih tidak mengapa. Di peringkat yang lebih tinggi, hal sedemikian menggambarkan ketidakmatangan pemikiran.

Saya memujuk anak saya. Saya katakan, lautan yang luas tidak akan terusik dengan lontaran batu-batu kecil. Buktikan, kata saya, bahawa universiti anda bukan “universiti sampah” seperti yang pernah dilontarkan orang. Anda mempunyai kelulusan yang baik dalam SPM, anda berhak mendapat kecemerlangan daripada rakan-rakan anda yang ditawarkan masuk ke universiti tersebut hanya kerana di surat lahirnya tertera “bumiputera”, meskipun kelulusan hanya cukup makan. Saya katakan lagi, anda ke situ kerana universiti itu terbaik dalam jurusan yang anda pohon. Tiada universiti awam lain yang menawarkan kursus tersebut, itu saja pilihan yang ada.

Kepada anak-anak, bergaullah dengan rakan-rakan yang positif. Anda akan dikelilingi oleh aura positif. Aura baik akan membantu anda mencapai kecemerlangan dalam hidup dan menyuburkan sifat terpuji. Kata murabbi kesukaan saya dalam bukunya yang mahsyur (La Tahzan), Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni, sifat terpuji dan baik itu sangat meletihkan. Mengapa? Sebab sifat-sifat seperti itu mengangkat darjat. Sebaliknya sifat-sifat yang buruk dan tabiat kasar sangat mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja. Sebab tabiatnya membawa turun darjat. Logiknya, naik itu sukar dan turun itu pula satu kerja yang lebih mudah.

Nah!...berfikirlah mana satu pilihan anda!

Taklukilah diri anda sendiri kerana barangsiapa yang dapat menakluki dirinya sendiri, dia lebih perkasa daripada mereka yang menakluki sebuah kota. Saya pernah menulis sebuah cerpen yang diantologikan pada tahun 1989. Tajuknya “Kubunuh Sepi Ibu” dan di awal ayat, saya mengungkapkan, “pahlawan agung adalah seorang yang berdaya menundukkan emosinya sendiri”. Ini mengingatkan saya pada seorang pemimpin di negara kita. Beliau barangkali telah berjaya menakluki dirinya sendiri sehingga apa pun panahan tajam yang datang kelihatan langsung tidak melukakan kulit dan hatinya. Kalau orang lain barangkali akan mengambil seutas tali dan menggantung diri.

Maka, tonjolkanlah sisi baik kita. Agar sisi baik itu akan memberi aura baik kepada orang-orang di sekitar kita.