Total Pageviews

Saturday, May 14, 2011

Mendinginkan Amarah



Ketika Qais bin Ashim ditanya, "apakah sifat santun itu?". Beliau menjawab, "engkau hubungi orang yang memutuskanmu, kauberi orang yang tidak memberi kepadamu, dan kaumaafkan orang yang telah menganiayamu..."

Susah, bukan?

Saya pernah mengalami penganiyaan paling dahsyat dalam kehidupan. Oleh kerana saya jenis yang mudah percayakan orang, saya tidak memahami kenapa ada orang yang cuba mengkhianati saya. Saya tidak pernah faham sehingga sekarang, apa yang mereka dapat dengan melakukan penganiyaan terhadap orang lain.

Saya mempunyai kelemahan tidak pandai bertelagah, tidak mempunyai kemahiran bergaduh. Saya terdidik dalam keluarga yang sangat mementingkan adab terutama kepada orang yang lebih tua. Saya membesar dalam suasana tanpa pertengkaran adik-beradik, tiada perkataan-perkataan buruk yang mewarnai dunia kanak-kanak saya. Ibu bapa saya baik dengan sesiapa sahaja. Jika ada yang cuba memfitnah, kata emak...tidak mengapa...nanti balasan dari Allah pasti tiba...

Kerana orang yang dianiaya, doanya tiada hijab. Itu janji Allah.

Mulanya saya agak marah. Rasanya kalau dapat dilihat, asapnya berkepul-kepul keluar dari kepala saya. Saya cuba mendapatkan bantuan guaman. Meskipun harganya mahal, saya sanggup. Semua orang menyokong.Dari peringkat bawahan sampailah hampir atasan, semuanya membantu saya. Saya terharu apabila ada yang sanggup melakukan solat hajat berjemaah tiga Jumaat berturut2 di beberapa masjid sekitar. Ada juga yang membekalkan saya dengan sejumlah doa. Ada juga yang sanggup berjumpa pengamal perubatan, untuk meminta bantuan melindungi saya (kerana kononnya orang-orang yang memfitnah itu telah berbomoh!...untuk yang ini saya tidak setuju 100 peratus). Kalau pun betul mereka berkawan dengan iblis, kenapa pula kita juga mahu berkawan dengan iblis?

Meskipun tidak setuju, saya ucapkan juga terima kasih, sebagai tanda berbasa-basi!

Kemudiannya, saya sudah tidak jadi marah. Saya baca buku-buku motivasi, saya banyakkan membaca Quran. Saya banyak mengamalkan ayat-ayat pelindung.Saya yakin Allah akan membalas. Allah tidak akan mengambil sesuatu daripada saya kecuali Dia menggantikannya dengan yang lebih baik. Saya ke tempat kerja dengan berlapang hati. Saya cuba untuk mengubah sikap terlalu mempercayai orang. Tetapi saya tidak mampu mengubah perangai tidak pandai bertengkar itu. Saya juga tidak mampu mengubah sikap saya yang menganggap semua orang tidak ada hati yang bengkang-bengkok.

Benarlah janji Allah. Mereka gembirakah? Tidak. Mereka seperti berpuas hati tetapi hakikatnya hati mereka gundah.

Ada seorang yang memfitnah saya itu akhirnya ditangkap oleh suaminya (suami ketiganya) di dalam kereta di tepi hutan getah. Dia sedang berdua-duaan dengan suami orang, suami rakan sekerjanya sendiri. Akibatnya, dia bercerai dan berkahwin dengan suami kawannya itu, merobohkan perkahwinan kawan yang sudah pun punya anak kecil. Dia mendapat suami ke-4 tetapi rakannya menjadi ibu tunggal. Dia juga telah dipanggil kerana ada surat aduan daripada pelajar-pelajar berkaitan kelakuannya yang memeluk pelajar lelaki di khalayak. Gembirakah dia? Tidak!

Master-mind yang lagi satu? dan yang lagi satu? Semuanya dilanda masalah. Apa yang mereka dapat? Orang akan selalu mengingat perbuatan mereka. Orang akan selalu bercerita dan mengambil iktibar.

Jadi, tidak guna marah-marah. Tidak guna bertengkar dengan suara terjerit-jerit. Akhirnya dada kita yang sakit, apinya menjalar naik ke kepala dan kita mati sebelum waktunya.

Kita ada senjata yang ampuh iaitu doa. Maka berdoalah dengan istiqamah. Muhasabah diri kita. Barangkali Allah mahu kita sedar diri. Ada sesuatu yang kita lakukan yang menyalahi ajaran-Nya. Barangkali kita riak dengan kasih sayang dan penghargaan orang. Allah sayangi kita, Dia mahu kita menjadi insan baik.

Kita selalu kalah bukan kerana kita tidak gagah, tetapi kita kalah kerana kita marah. Marah itu daripada syaitan. Syaitan itu daripada api. Maka padamkan api itu dengan air wuduk. Dinginkan amarah dengan keyakinan bahawa Allah sangat adil.

Api-api kemarahan dan penghinaan itu akan kembali kepada orang yang melemparkannya sebelum sampai kepada yang dilempar...