Total Pageviews

Saturday, May 14, 2011

Lagi-lagi Beckham: Cubaan yang gagal




Ada cerita melucukan tentang percubaan fasa pertama pembebasan Beckham...

Petang kelmarin, kata emak, dia mendukung si Beckham ke tengah bendang terbiar yang menempatkan kandang kambing emak yang sudah tidak digunakan. Emak membawanya ke bendang yang hujungnya bertemu hutan kecil, jelas terdengar air di lata (air terjun) hutan kecil itu.

"Dia renung muka emak. Emak pesan pada dia macam-macam” Cerita emak di hujung talian.

Pesanan emak?

a) Beckham dah kenyang tadi kan? Tapi kalau masih lapar, Beckham pergilah cari ulat-ulat atau pucuk muda dalam hutan. (Dia menyahut...ukk)

b) Kalau hujan, Beckham datang berlindung di kandang. Tempat ni luas. (Dia menyahut lagi...ukk)

c) Ada air yang opah sediakan di sini. Kalau dahaga dan tak dapat cari air, datang ke kandang dan minum... (ukkk...sambil mata memandang emak)

Selesai berpesan, emak letakkan dia di tanah. Pergilah cari ayah dan mak Beckham, kata emak. Sebaik sahaja emak meletakkan ke tanah, Beckham berpusing, susup-sasap berlari meredah semak-semak kecil.

Emak pun melangkah ke rumah. Tapi Beckham di mana?

Dia sudah ada duduk tercatuk di atas meja simen yang memang sedia ada di halaman rumah. Dia lebih dahulu sampai ke halaman rumah daripada emak.

Beberapa orang yang ada di halaman rumah memanggil emak. Mereka fikirkan si Beckham terlepas. Mereka bertanyakan emak kenapa si Beckham tercungap-cungap berlari dengan kelajuan maksima.

Dia masih selamba duduk di atas meja simen dengan bermuka kasihan dan kepenatan!

Apabila emak memberitahu hal sebenar, semua orang ketawa. Dan kata emak, sejak kelmarin, Beckham sudah angkat bendera putih dengan emak. Dia sudah berbaik-baik dengan emak dan tidak lagi melarikan diri seperti biasa apabila melihat kelibat emak.

Barangkali dia mengerti sekali lagi dia mahu “dibuang”. Sudahlah pernah dibuang ibu bapanya, opah pun mahu membuangnya juga.

Kisahnya bayi yang dibuang ini agak menarik. Beberapa lama selepas penemuan Beckham di pangkal pokok pisang di hujung kampung, Beckham selalu dikunjungi kakak angkatnya, Boy. Boy adalah seekor monyet betina (namanya Boy itu pun ada ceritanya juga...) yang dipelihara anak angkat emak dari kampung yang jauh berhampiran Kuala Kangsar. Beckham seolah-olah menganggap Boy adalah emaknya. Seperti Jejak Kasih di TV, mereka akan berlarian dan berpelukan jika bertemu, meskipun saya agak spesis mereka sedikit berbeza. Barangkali jika manusia, suku kaum jawa dengan bugis, begitulah...

Kadangkala kedua-duanya dibiarkan bebas. Mereka seperti belangkas ke sana sini. Riang gembira memanjat pokok atau mengusik kucing yang turut menumpang di rumah emak. Atau mengejar anak-anak kambing yang berlompat-lompatan di sekitar rumah.

Satu hari kelibat kedua-duanya tidak kelihatan. Puas emak mencari. Kemudiannya seorang jiran di hujung kampung menelefon emak. Rupa-rupanya Boy menggendong Beckham di belakang dan membawanya ke pangkal pokok pisang tempat Beckham ditemui ketika masih bayi. Saiz Boy besar sedikit daripada Beckham. Hujung kampung itu agak jauh. Beberapa jiran memang nampak ada seekor monyet yang sedang menggendong monyet yang lebih kecil berlari di belakang rumah mereka.

Emak pun segera ke sana. Sepanjang perjalanan membawa mereka pulang, emak meleteri si Boy kerana membawa “adik” sampai ke hujung kampung. Akibatnya setiap kali datang, si Boy akan diikat supaya peristiwa membawa adik “bersiar-siar” itu tidak berulang lagi. Beckham masih kecil ketika itu, bimbang jika digigit binatang-binatang lain.

Peristiwa itu menimbulkan persoalan kepada kami. Bagaimana Boy yang bukan berasal dari kampung emak, boleh membawa si Beckham ke pangkal pokok pisang tempat dia dibuang ibu bapanya?

Adakah wujud komunikasi yang hanya mereka sahaja memahami? Agaknya, kata emak, si Beckham mahu menunjukkan tempat dia dibuang. Meskipun kelihatan lucu, tapi barangkali ada betulnya. Hanya Allah yang maha tahu.

Si Boy ini pula, resamnya betina, memang kaki merajuk. Mulanya saya tidak percaya kata2 emak. Satu hari saya membuat eksperimen. Saya berikan Beckham lepat pisang, biasanya Beckham akan membawa lepat itu untuk dikongsi bersama kakaknya. Tapi hari itu, Beckham terus makan. Saya mengambil lagi satu dan memberikannya kepada Boy. Dia enggan mengambil, malah memprotes dengan bergayut berpusing2 sehingga tali yang mengikat juga berpintal-pintal. Sejak itu saya akan mendahulukan dia jika dia datang ke rumah.

Beckham juga memang kuat merajuk. Dia marahkan saya kerana enggan membenarkan dia tidur di sisi. Oleh kerana dia jantan, dia agak berbau walaupun sudah dimandikan. Masalahnya dia gemar tidur di muka saya, betul2 di hidung saya yang besar itu. Anak saya pula alahan. Jadi, satu hari dia menangis sambil duduk membatu di sofa, berhampiran daun pintu. Walaupun dipanggil dan dipujuk berkali-kali, dia masih berkeras di situ. Setelah beberapa lama, emak kepeningan mendengar dia menangis. Emak pun mengambil dan mendukung, lalu memberinya kepada saya. Barulah malam menjadi aman.

Begitu juga jika dia tahu saya pulang ke kampung, subuh2 dia sudah berbunyi. Kandangnya terpaksa ditutup dengan kain supaya dia tidak nampak kelibat saya. Bercakap pun kena perlahan, kalau terdengar, dia dapat mengecam saya. Kalau emak memberikannya makanan, dia akan mencampakkan ke luar atau menterbalikkan bekas makanan sebagai tanda protes. Dia hanya akan makan kalau saya mengeluarkan dia dari kandang. Tapi masalahnya ialah dia enggan berenggang dan mula memarahi sesiapa yang mahu “mengambil” “ibunya”.

Ogos ini Beckham genap setahun. Tidak tahulah sama ada setahun bagi seekor monyet menandakan yang dia sudah dewasa. “Nak kahwinkan dengan si Boy pun, Boy dah tua...” kata kakak, mengundang tawa saya. Tapi bukankah trend sekarang, perempuan tua berkahwin dengan pasangan yang lebih muda?

Entahlah apa nasib Beckham selepas ini. Bolehkah dia “survive” jika dilepaskan? Bolehkah komuniti monyet menerima spesis yang sudah seperti separuh manusia ini?

Terkini: tadi menelefon emak. Kata emak, ada orang kampung yang akan ambil Beckham sebentar lagi. Masalahnya orang itu penagih dadah sejak muda. Saya kenal orang itu. Memang emak baik dengan semua orang, tidak kira siapa pun. Tapi hati saya bimbang...takut Beckham pun terjebak dalam gejala sosial...