Total Pageviews

Sunday, May 1, 2011

Satu Lagi Kelahiran...



Jumaat itu saya bercuti. Telefon bimbit berbunyi  membawa khabar bahawa seorang teman akrab saya telah berjaya menjadi ibu. Dia teman saya yang paling memahami. Saat mahu disunting beberapa tahun lalu, dia menjadikan saya berasa sangat dihargai. Dia datang menemui saya (dan naluri saya dapat mengagak bahawa teman saya itu, hatinya sudah ada taman...). Teman saya itu menginap sehari di rumah saya, malamnya dia memberitahu mengenai lelaki yang mahu memperisterikannya, dan rupa-rupanya dia belum memaklumkan kepada keluarganya mengenai hasrat lelaki tersebut yang mahu datang ke Terengganu (daerah kelahirannya) untuk menjalankan urusan peminangan. Saya berasa sayu saat itu kerana akhirnya Allah telah memberikannya jodoh yang baik. Dia benar-benar menjadikan saya sebagai "kakak" tempat dia mengadu masalah. Saya sayangkan dia, sementelahan saya sendiri tak punya adik perempuan.

"Susahnya nak jadi ibu rupa-rupanya ya..." katanya dalam mesej. Dia menceritakan bagaimana dia menggigil ketakutan selepas selesai menjalani pembedahan. Saya tersenyum membaca mesejnya itu. Teman akrab saya itu sebetulnya telah hilang satu "nikmat" kesakitan menjadi ibu apabila terpaksa bersalin dengan cara pembedahan, bukan kelahiran secara normal. Apa pun saya sangat gembira kerana dia dan bayi perempuannya selamat dan sihat.

Saya berpesan supaya membaca doa khusus tatkala mahu menyusukan si bayi. Mudah2an anak itu akan jadi anak solehah, yang jika pun tersasar, pasti kembali semula ke pangkal jalan. Saya amat yakin dengan aturan dan janji Allah ini. Sejauh mana seluang melaut...

Membesarkan anak pada zaman ini sangat mencabar. Jauh bezanya dengan ibu bapa kita dulu. Saya enam beradik. Ayah asalnya seorang SC, yang kemudiannya bekerja di sawah dan kebun getah. Emak juga bekerja di sawah dan menoreh. Rumah kami tiada elektrik. Bilik air juga tidak ada. Sungai di sisi rumah digunakan semaksimum mungkin. Tiada TV, yang ada hanya radio transistor usang. Kami membesar tanpa pengaruh "kejahatan" internet atau "kemungkaran" media TV.

Apa pun cabarannya, kita kena hadapi dengan segenap kekuatan mental dan fizikal. Mudah2an Allah mengurniakan kekuatan kepada kita selaku ibu bapa untuk mendepani segala cabaran.