Total Pageviews

Saturday, May 14, 2011

MGS IPOH: Our Utmost For The Highest


1979-1983 Bandar Ipoh. Our Utmost For The Highest: Motto sekolah saya.

Saya percaya, keperibadian kita dibentuk oleh persekitaran. Cara didikan keluarga, juga institusi-institusi pendidikan yang kita berada di dalamnya.

Saya bangga menjadi warga MGS selama lima tahun, Clifford School (The Ship Is More Than The Crew:Motto Clifford School) dua tahun, Uni Malaya, universiti idaman saya sejak kecil, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (dulunya IB) dan UUM yang sejuk di tepi hutan. Sudah pasti juga saya bangga bersekolah tadika di kampung saya dan sekolah rendah luar bandar yang muridnya miskin-miskin seperti saya.

Moga Allah merahmati guru-guru saya. Dan menempatkan mereka dalam golongan orang-orang beriman. Mereka berpenat-lelah mengajar saya membaca, menulis dan mengira. Ada seorang ustazah sekolah rendah yang gemar membawa kami ke bawah pokok untuk belajar, sambil menerangkan sambil menepuk-nepuk kepala saya! peliknya apabila saya di sekolah menengah pun, ada seorang ustazah yang suka berkelakuan seperti itu. Barangkali kerana itulah, saya bagus dalam subjek Pendidikan Islam yang bertulisan jawi itu...Alhamdulillah....atau mungkinkah kepala saya terasa sedap untuk ditepuk seperti hadrah ayah?

Sekolah banyak membentuk pemikiran dan keperibadian saya. Bersekolah di sekolah missionaries, memberikan saya kekuatan dalaman menghadapi serangan akidah. Bayangkan setiap pagi, ada chapel yang betul-betul berada di belakang kelas saya.Reverand membacakan doa di perhimpunan pagi. Tetapi persatuan agama islam sangat aktif. Setiap kali ada ceramah, dewan pasti penuh. Walaupun yang memakai tudung hanya ada satu dua orang, itu pun skaf yang diikat ke belakang!

Waktu itu keluar arahan daripada Kementerian Pelajaran yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamed. Pelajar tidak digalakkan memakai tudung. Yang memakai tudung menerima desakan bertalu-talu untuk membuka tudung. Masalahnya, bukan setakat pengurusan sekolah, ustazah2 pun meminta pelajar bertudung membuka tudung!

Apa pun, peristiwa-peristiwa itu, seperti yang saya katakan telah banyak mematangkan kami. Tentu ada sebab semua itu berlaku.

Di sekolah saya ada 4 rumah sukan. Saya tanyakan kepada kawan nama rumah biru kerana saya sudah lupa (tq Ikin, kawan saya itu sekampung dgn Datuk Lat dan Mamat Khalid). Crosby untuk biru, Nightingale untuk kuning, Cavell untuk merah dan Victoria untuk hijau. Saya dan Ikin rumah Cavell. Tapi saya bukan berkaki atlet. Jadi, tugas saya hanyalah menjerit-jerit di tepi padang tatkala sukan. Sukan di MGS sangat meriah, macam-macam ada...

Saya masih ingat nama kawan-kawan saya. Bib, Yati Brand, Yati Slim, Uji, Ikin, Rosni, Idah, Zarina, Zamrud (yang rambutnya ala David Armugam), Mid,dan ramai lagi.

Kami selalu berkumpul di bawah pokok besar di hujung padang dan membuat bulatan. Lagu yang kami nyanyikan barangkali daripada bahasa Afrika kerana bunyinya lebih kurang begini...massa billi billi billi, massa billi ukamba..."

Saya bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah bersekolah dan belajar di institusi yang baik. Saya juga berterima kasih kepada pensyarah-pensyarah saya di Jabatan Penulisan Kreatuf dan Deskriptif kerana memungkinkan saya muncul pelajar terbaik jabatan yang menerima Hadiah Buku Universiti pada tahun 1989.

Juga untuk pensyarah2 saya di Sekolah Siswazah UUM, Dr Dawood dari India (kami selalu keliru apabila beliau menyebut perkataan "garment" atau "government" sebab bunyinya sama sahaja), ada yang dari Labenon (lupa namanya) dan pensyarah2 tempatan. Dengan latar sastera, saya bermati-matian belajar finance, accounting dan managerial economics yang sangat asing. Akhirnya dapat juga meraih sarjana dengan pointer 3.33 pada tahun 1998.

Sangat besar jasa mereka, Ya Allah. Ampunilah dosa guru-guru saya, sama ada guru secara rasmi atau tidak rasmi, guru di sekolah atau di jalanan, yang mengajar saya erti kehidupan.

Allah sahaja yang mampu membalasnya...selamat hari guru buat guru-guru saya yang masih hidup dan al-Fatehah untuk mereka yang telah menuju Allah.