Total Pageviews

Tuesday, May 10, 2011

Bunga Matahariku...sudah 19 tahun usiamu

11 Mei 1992...jam 7.50 pagi...Hospital Universiti Malaya, KL.


Mudahnya melahirkan dia. Saiznya lebih besar daripada si kakak. Dia sihat dan montel. Apabila diletakkan bersebelahan bayi lain, dia kelihatan berbeza. Sudah tentu kerana "debabnya" dia. Seperti si kakak, kulitnya putih. Ini kerana meskipun sangat tidak menggemari soya, tetapi sepanjang kehamilan, saya memaksa diri meminum soya demi mendapatkan kulit yang cantik buat bayi2 saya.

Tahun 1990, di hospital yang sama, saya melahirkan si kakak. Saya hampir dibedah kerana bayi menghadapi masalah.Selepas dilahirkan, dia dikejarkan ke ICU. Ibu2 lain sudah mula menyusu anak, katil comel di sebelah saya masih kosong. Kasihan dia. Hati saya tak henti berdoa, kembalikan bayi saya. Tuhan, kembalikan bayi saya. Akhirnya bayi saya selamat meskipun membesarkannya sedikit payah. Meskipun dengan "kebodohan" tanpa ilmu seorang ibu, Allah memberikan saya anak-anak yang baik.

Si bunga matahari dilahirkan dengan warna ceria meskipun ada cerita duka yang melatari hidup kami. Tapi Allah maha agung. Memiliki dua anak perempuan, tidak sesukar seperti yang digambarkan. Meskipun ada dentam dentumnya di sana sini, saya sangat mensyukuri nikmat Allah yang tidak terhingga. Anak2 tahu bagaimana mahu menggembirakan hati saya. Saya selalu lupa bahawa anak2 saya sudah melepasi usia anak-anak kecil...saya selalu lupa...

Sewaktu kehamilan, saya selalu membawa si kakak dan adik yang masih janin ke Balai Seni Lukis Negara yang pada waktu itu terletak berhampiran Masjid Negara. Hati saya meminta, Tuhan...kurniakanlah bakat melukis keindahan alam ini kepada janin saya ini dan kurniakanlah juga bakat menulis untuk anak sulung saya. Allah mendengar dan Dia memakbulkan doa saya. Begitu juga tatkala saya berdoa agar dikurniakan seorang lagi anak perempuan, Dia memakbulkan doa saya.

Semasa kecil, si adik selalu disangkakan lelaki. Di mana2 pun dia akan disapa "abang" atau "handsomenya..." sehinggalah semasa di tahun 4, dia mengambil keputusan mengenakan tudung kerana rimas dengan sangkaan orang ramai.

Begitulah bunga matahari dan bunga melur saya. Bunga matahari yang tetap ceria dan bunga melur yang lembut putih. Terima kasih kerana menjadi anak-anak saya yang manis dan manja. Terima kasih Allah...terima kasih.