Total Pageviews

Tuesday, April 5, 2011

Cuaca yang sekejap manis, sekejap masam



Gadis jelita di kaca TV menyebut dengan ayat yang dilenggokkan, "perubahan monsun dan fenomena El Niño (sebutan espanyolnya ialah el ninyo) menyebabkan cuaca jadi tidak menentu. Orang ramai dinasihatkan minum air dengan kadar yang banyak dan berhati-hati dengan virus yang berkait dengan influenza"

Semalam cuaca panas pijar. Masuk ke rumah seperti masuk ke dalam oven. Sudah dibukakan pintu dan dilebarkan jendela, dikuatkan juga kipas namun panasnya tetap menjerat. Rumah jiran sebelah ada pendingin hawa, jadi seksanya hanya separuh. Rumah yang hanya bergantung kepada kipas yang berputar di lelangit rumah, sukar untuk didefinisikan kepanasannya. Padahal pagi, hujan turun menyembah bumi. Tengah hari, petang dan malamnya, aduhai...

Malam, ibu bukakan pintu gelongsor luas-luas. Air di kamar mandi juga panas. Ibu tidak minum ais, tiada ais pun dalam peti sejuk. Sejak anak-anak kecil, mereka sudah biasa tiada ais di rumah. Jadi waktu-waktu panas begitu, mahu rasanya mencari ais dan baring di atasnya.

Ibu segera terkenang lagu Ebiet G Ade. Kita memusuhi bumi, maka sudah tiba masanya bumi membalas dengan amarahnya. Tsunami, gempa bumi, kemarau panjang, musim yang bercelaru, semuanya itu petanda. Allah yang sangat pengasih dan penyayang memberikan kita segala-galanya tetapi kita tidak menghargai. Kita merosakkan yang cantik, kita mengotorkan yang bersih.

Dan sekarang, kita terimalah akibatnya. Seperti teori fizik, bola yang kita lontar ke dinding, akan melantun semula ke arah kita. Jika kuat lontarannya, maka kuatlah lantunannya.

Fikir-fikirkanlah...