Total Pageviews

Wednesday, December 21, 2016

Sesi Bersama Saya





17 Disember 2016, Sabtu. Saya mengambil Nurin, anak gadis Ila, teman sekerja dari jabatan berbeza. Kemudian langsung ke Kajang mengambil si sulung dan cucu menuju ke PWTC berpandukan GPS kereta. Agak lama saya tidak memandu ke kota raya. Biasanya si bongsu yang memandu. Setelah dia bekerja dan tinggal jauh, saya kena ke mana-mana sendirian.

Ini barangkali kali pertama, si sulung ikut dalam acara sastera. Selalunya memang si bongsu sahaja yang biasa dikenali rakan-rakan sebab dia yang rajin menemani saya. Saya diundang oleh UUM Press dalam Sesi Bersama Penulis yang diadakan di Bilik Kelantan PWTC sempena Ekspo Buku Malaysia 2016.

Parkir penuh. Saya nekad sahaja parkir di tepi. Itu pun barangkali memang rezeki saya. Berdoa saya ketika solat zuhur di surau PWTC agar tiada yang menyaman. Kuala Lumpur kebasahan oleh hujan yang turun. Manusia sesak, segerombolan demi segerombolan pemuda pemudi berpakaian cosplay, seperti watak-watak dalam komik/filem animasi berebut ruang jalan dengan pengunjung ke ekspo. Saya biasa melihat semua itu sebab saya ikut membaca komik dan sesekali menonton juga filem animasi daripada komputer si bongsu.

Staf UUM Press menyambut mesra. Sungguh berbudi sekali. Saya membawa bersama dua puluh ole-ole yang saya akan beri kepada yang membeli kumpulan puisi Benarlah Katamu atau yang sudi membacakan puisi daripada buku tersebut. Sebagsi tanda menghargai. Begitu.

Saudara Amran, suami Dr Faiziah mengulas sajak-sajak dalam kumpulan puisi tersebut. Kemudian saya menjemput Abangcik Zainal Abas (Kasajiza A.S), juruhebah popular RTM suatu ketika dahulu untuk memulakan acara baca puisi. Saya juga membacakan puisi untuk Kayyisa (Selamat Datang Cucuku) dan untuk si sulung sempena hari lahirnya yang ke-26 keesokan hari (Atika Laila, Saat Kusebut Namamu). Seorang demi seorang ikut membaca. Salah seorang daripadanya, Dr Zamiyah (?) saya lupa namanya, mengesat air mata selepas selesai membaca Namanya Mariam. “Saya sebak…” ujarnya.

Memang saya tujukan kumpulan puisi ini untuk mak, Hajah Mariam @ Absah. Ada lima sajak untuk mak, tiga untuk allahyarham ayah, dua untuk anak dan satu buat cucu. Tema lain merangkumi isu alam sekitar, kemanusiaan, Palestina, Rohingya, perjuangan hidup, perpaduan dan sebagainya. Saya kira kumpulan yang ini lebih baik daripada kumpulan puisi yang pertama. Sebabnya lapan daripadanya memenangi hadiah sastera sama ada di peringkat nasional atau negeri. Sebahagian daripadanya juga merupakan sajak-sajak yang pernah tersiar di media.

Usai majlis yang berlangsung dari jam 3-5 petang, saya mencari-cari Kayyisa. Cemas. “Di dalam”, kata mamanya. Saya masuk ke Bilik Kelantan. Ya ampun…Kayyisa sedang dikerumuni staf UUM Press, berganti dari satu tangan ke satu tangan. Dia kurang sihat tetapi masih ramah tamah tersenyum melayani uncle dan auntie. Sebenarnya dari dalam surau lagi, ada yang bergambar dengannya. Ada seorang ibu hamil yang berkata, mahu anaknya “kenan” Kayyisa…Aduh!

Saya gelisah sebab jam sudah 6.15 dan kami belum asar. Saya perlu cepat keluar dari KL untuk mengelakkan kesesakan dan cuaca buruk yang boleh menjejaskan capaian GPS. Akhirnya dengan Bismillah, saya memandu keluar kota. Tuhan membantu saya. Mungkin sebab saya membawa Kayyisa. Alhamdulillah. Kami sempat asar yang terlalu hujung, di surau KFC Semenyih. Semua orang sudah lapar. Tiada pilihan melainkan berhenti sahaja di tempat yang saya biasa pergi.

Dan esoknya saya tidak tahu bahawa ada sesuatu yang akan berlaku.

Sehinggalah di sebuah restoran di PD, saat mahu menyambut hari lahir si sulung, saya tiba-tiba berasa sakit di belakang sebelah kiri, sakit yang tidak tertahan, langsung menyebabkan saya tidak boleh bercakap kerana nafas yang tersekat. Ketika bangun untuk ke kereta, sekali lagi saya tergamam. Darah meluncur laju dan bertompokan di simen. Tangan dan kaki saya dipenuhi darah. Tuhan memberikan saya kekuatan untuk memandu pulang, membatalkan sambutan hari lahir si sulung. Saya kata, “jangan bimbang, jika tidak boleh, ibu akan berhenti di tepi jalan dan kakak ambil alih memandu”. Dia meminta untuk memandu tetapi saya kasihankan Kayyisa. Sampai di rumah, saya membersihkan diri, menukar pakaian dan menghantar mereka ke Kajang.

Dua hari saya berehat. Tidak berbuat apa-apa. Dua hari itu sangat menyiksakan. Saya tidak biasa terbaring. Simba, dengan kelaziman setianya haiwan, menemani saya. Mengurut, mencium-cium dan baring di sisi. Yang empat ekor lagi hanya sesekali menjenguk tetapi jantan manja ini tidak berganjak kecuali jika mahu ke tandas dan makan.

Begitulah. Haiwan juga tahu erti membalas budi. Mengerti akan makna kasih sayang. Berasa pelik dengan keluarbiasaan ibu manusianya ini. Bulus oren dengan mata kemerah-merahan yang diwarisinya daripada sang bapa, adalah bukti bahawa haiwan juga memiliki perasaan dan belas kasihan.

Penat. Tiada rehat. Memaksa keterbatasan kudrat. Lupa ada penyakit serius. Stres.

Baiklah. Itu antara teorinya.

Sebab utamanya hanya Tuhan dan saya sahaja yang tahu!