Total Pageviews

Monday, December 12, 2016

Alhamdulillah menang lagi...







Pada 8 Disember 2016 alhamdulillah saya menerima Hadiah Karya Darul Ridzwan V (untuk karya tahun 2014-2015). Saya menang dua kategori iaitu cerpen Kumulonimbus yang disiarkan oleh Dewan Sastera (bulannya saya kurang ingat) dan kategori sajak Benarlah Katamu yang disiarkan di akhbar MM. sajak ini pernah memenangi kategori sajak dalam Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2014.

Mulanya saya fikir Hingyaku yang menang sebab cerpen ini sudah dua kali memenangi hadiah sastera bertaraf nasional.Tetapi tiada rezeki untuk Hingyaku meskipun isu Rohingya sedang hangat diperkatakan oleh massa. Sepanjang yang saya tahu, anugerah sastera di negeri saya itu yang paling tinggi setakat ini. Saya menerima 4 ribu untuk dua kategori tersebut. Itu eceran, kalau yang tinggi-tinggi, pasti lebih bagus lagi hadiahnya. Mungkin kami beruntung sebab MB dan isterinya memang orang sastera. Isterinya itu yang biasa saya panggil Pah (dalam percakapan biasa, bukan di khalayak) lulusan penulisan kreatif dan deskriptif, sekelas dengan saya. Maka pada malam tersebut, MB pun bertanya sama ada saya sahabat isterinya (beliau tidak ingat muka saya yang selalu menemani isterinya tatkala mereka sedang bercinta). Kemudian, bisinglah beliau memberitahu semua orang siapa saya. Seperti selebritilah kononnya ketika lensa kamera semua menghala ke arah kami. Hmmm...saya yang biasanya menyorok dan melarikan diri (bimbang dikata orang mengambil kesempatan), hanya pasrah.

Kali ini PULARA 7 sangat ramai peserta dalam dan luar negara. Sekitar 400 begitu. Jadi, kami duduk merata-rata. Kadang-kadang ada makan, kadang-kadang beli makanan sendiri. Tidak mengapalah. Tak terdaya urus setia untuk memuaskan hati semua orang. Berbanding HSDR lV, pemenang diraikan dalam majlis. Kali ini saya ketinggalan semuanya. Saya tidak dijemput. Terlepas pandang barangkali. Oleh sebab si bongsu yang selalu menemani saya, bekerja...maka saya mempelawa Dr Faiziah menggantikan tempatnya setelah saya menghubungi Pak Malim sendiri.

Kemudian saya jumpa DS November 2016. Saya baca kritikan cerpen saya Gerabak Satu Tiga oleh Dr Ariff. Aduh. Kesal sungguh sebab barangkali khilaf saya atau Dr Arif tidak perasan bahawa cerpen yang terbahagi kepada dua bahagian itu sebenarnya berlaku dalam masa satu hari! Pagi saya naik gerabak satu (untuk ke hospital, HUKM sebenarnya), bahagian dua sebelah petang saya naik gerabak tiga untuk pulang ke stesen Seremban dari terminal BTS. Kejadian dalam gerabak satu itu menyebabkan saya terbabas sehingga ke Stesen Seputih. Dan kalau pembaca yang membaca itu pengidap kanser, mereka mesti tahu yang nama ubat yang saya tulis itu ialah ubat hormon kanser!

Nampaknya untuk cerpen itu, meskipun tulisnya "sangat menyentuh perasaan" tetapi saya tahu ada sesuatu yang saya kena betulkan jika mahu menulis cerpen lagi.

Di PULARA 7, saya seronok dapat jumpa Pak Baharudin Kahar (Senjakala) walaupun hanya sehari sahaja Pak Bahar di Pangkor. Sempat juga berbual dengan kak Salmiah Ismail, Usman Gumanti dan Kak Rosmiaty suami isteri. Perbualan sekitar dunia sastera sangat seronok jika kena dengan kelompoknya.

Apa pun saya gembira sebab niat mahu membawa dan memperkenalkan Dr faiziah kepada dunia saya itu menjadi kenyataan.

Saya beritahunya, dunia apa pun sama sahaja. Ada sisi hitam dan putih. Begitu juga dengan dunia sastera. Lihat, perhatikan dan nilailah sendiri. Yang bobrok, di mana-mana pun ada. Yang penting, dengan siapa kita berada, kelompok yang kesenimanannya tulen atau yang menjadikan dunia sastera sebagai batu loncatan, dengan kepalsuan yang memutih seperti ombak.

Pilih sajalah. Kita yang menentukannya.