Total Pageviews

Friday, July 15, 2016

Mencari Cicak

Ramadan kali ini saya sedikit bersyukur. Untuk pertama kali selepas setahun, mak bangun dan memasak sendiri hidangan berbuka puasa. Meskipun ala kadar, bagi saya itu kejayaan hebat. Mak tidak begitu nampak dan khabarnya ada makanan yang hangus dan terpaksa dimasak semula. Namun, kejayaan tetap kejayaan dan wajib disyukuri.

Ramadan ini juga menyaksikan kesibukan saya yang berganda, atau barangkali boleh dikatakan berlipat ganda. Ada cucu sangat menggembirakan terutama melihat perkembangannya dari semasa ke semasa. Ada dalam kalangan rakan yang mengusik saya atas kehilangan saya di dada akhbar selepas memperoleh cucu. Saya tidak sempat untuk menyusun aksara. Tahun ini memang sedikit mencabar. Ada perkara-perkara yang akan berlaku nanti dengan izin Allah.



Kami pulang sehari sebelum hari raya. Tiba di halaman emak sudah melepasi jam sepuluh malam. Kayyisa disambut meriah. Berbanding adik-beradik (kecuali kakak sulung), saya sudah menjadi nenek. Abang sulung, kakak dan adik melihat saya dengan lucu.

Balik ke Negeri Sembilan selepas hari raya juga mencabar. Kesesakan maha dahsyat, menyebabkan kami membuat keputusan menggunakan jalan alternatif yang jauh. Pun tetap lambat sampai sebab saya menyuruh menantu berhenti dan tidur. Agak bahaya melihat dia asyik menguap. Yang dibawanya adalah bayi.

Kembali bertugas, saya dikejutkan dengan satu berita. "kak, Cicak dah tak ada".

Baik. Cicak, kucing remaja yang hamil sudah lama menetap di Balai Islam. Dia kami berikan makanan. Rupa-rupanya dia tidak berhak menghuni di tempat-tempat seperti itu, seolah-olah dunia ini hanya milik makhluk bernama manusia. Atas alasan kebersihan, Cicak dan kawanan kucing dan anjing perlu ditiadakan sebaik sahaja semua warga bergegas balik ke kampung.

Peraturan adalah peraturan. Saya faham. Kalau nanti Cicak bersalin, sudah pasti menimbulkan satu lagi masalah. Khabarnya lagi, makanan yang kami beri kepadanya menarik kucing-kucing lain untuk datang. Cicak difitnah oleh isteri penyelia syarikat pembersihan,membuang najis di balai itu. Apabila ditanyakan kepada petugas yang menjaga balai, katanya Cicak tidak pernah berbuat demikian. Yang disangkakan najis itu adalah kulit kayu dan daun kering.

Orang yang tidak suka akan mencipta sejuta alasan.

2 Julai, Cicak dimasukkan ke dalam beg plastik hitam dan dibuang di tepi hutan jabatan veteriner. Saya kira sangat mudah mengambil Cicak sebab dia manja dan sedang mabuk, tidak larat dan hanya terbaring pada awal kehamilan. Selama tiga ke empat hari, kami mencari Cicak selepas jam lima. Dr Faiziah memanggilnya di tepi hutan di belakang vet tersebut. Beberapa ekor kucing yang turut dibuang, ikut sama mencari.

Saya bertemu sendiri dengan penyelia yang membuang Cicak. Namanya Rashidi. Isterinya juga bekerja di syarikat sama. Saya memberitahunya, lebih baik dia berterus terang. Jangan sesekali menipu lagi. Akhirnya dia mengakui bahawa memang dia membuang Cicak. Katanya, atas arahan orang atasan. Kata saya, saya faham. Tetapi membuang haiwan lemah yang sedang hamil di tempat yang seperti itu, bagaimana dia mahu melangsungkan kehidupan? Oh...puan, ada orang yang memberikan makanan kepada kucing-kucing ini, katanya. Kalaulah saya tidak diajar oleh emak dan ayah, bahawa mencarut dan memaki hamun itu satu dosa, memang saya carutkan saja lelaki itu!

Kami sudah bertanyakan pengawal di tempat tersebut, vet ini hanya untuk rawatan. Bukan tempat pembuangan. Kata guard itu...puan, saya yang bergaji ciput ini yang membeli makanan dan bahagi sedikit-sedikit kepada kucing-kucing. Saya kasihankan mereka. Mengapa Rashidi itu suka sangat membuang kucing di sini?

Nah, kalaulah mencarut itu sesuatu yang dibenarkan, maka saya akan mencarut Rashidi dan isterinya sepanjang hari.

No comments: