Total Pageviews

Thursday, June 23, 2016

Antara Langit dan Bumi

Di media sosial, saya banyak membaca kes penderitaan orang di negara saya ini. Kemudian saya juga melihat ramai orang memuatnaik gambar makanan, atau gambar berbuka puasa di hotel dan restoran mewah.

Saya berasa sangat menderita melihat dua kes yang kontradik ini.

Ketika ada anak-anak sebuah keluarga yang kelaparan sehingga masih tidak berbuka puasa sekitar jam delapan malam, ada seorang lelaki keturunan tionghua membawa mereka ke restoran dan belanja mereka makan sepuas hati. Ada juga nenek yang memelihara enam cucu dalam pondok yang sangat daif, tanpa sebarang bantuan kewangan disebabkan anak-anak itu tiada kad pengenalan. Ada juga ibu tua yang memelihara anak-anaknya yang cacat, tanpa bekalan api dan air, mengharapkan belas ihsan jiran-jiran yang bukan terdiri daripada golongan senang.

Dan mereka berpuasa!

Di laman muka buku khasnya, setiap hari saya melihat orang memuatnaik gambar makanan yang enak. Bukan tidak boleh tetapi berpada-padalah sebab ibadah ini bukan meraikan pesta makanan atau beli belah. Jangan tersasar daripada landasan ajaran sebenar. Puasa itu hakikatnya kenapa? Apa maksud yang tersirat? Allah tidak menyuruh kita makan melebihi apa yang biasa kita makan. Saya melatih anak begitu. Sekali sekala bolehlah kuih tetapi makanlah apa yang biasa kita makan dan minum. Maknailah hikmah sebenar amalan puasa yang disuruh Allah. Rasai nikmat berbuka seperti yang dirasai orang susah.

Kita telah mengelirukan orang bukan Islam. Merosakkan imej kita juga. Lama-lama kawan-kawan kita yang bukan Islam akan mempunyai persepsi yang berbeza dengan apa yang sebenarnya.

Ramadan kareem. Allah hu akram.

No comments: