Total Pageviews

Saturday, March 5, 2016

Perjalanan Akhir Seorang Khaziah (Engkau Tidak Mendengarku Lagi, Sahabat)


Mingguan Malaysia 6 Mac 2016, puisi khas untuk Kak Khaziah yang berpulang pada 2 Mac 2016

“Kak Khaziah nak nombor satu ya,” mintanya berulang kali.

Petang Sabtu itu 27 Februari 2016, kami semua berkumpul di Naam Boutique Lodge. Acara pada sebelah petang hanya tiga. Tiada sukaneka sebab kebanyakan pensyarah sudah tua, jadi hanya dua tiga orang sahaja yang punya anak di sekolah rendah.

Acara pertama ialah melukis wajah rakan sebilik. Si adik awal-awal lagi sudah terkeluar senarai sebab auntie-auntie bising memberi amaran, orang yang “pro” tidak aci kalau masuk bertanding. Tetapi untuk memeriahkan, si adik melakar juga wajah saya dalam bentuk lakaran komik, bukan melukis potret.

Acara kedua merupakan pertandingan mencipta sajak. Saya yang akan menjadi hakim. Maka saya meminta mereka menulis dengan tema laut dan pantai dalam masa dua puluh minit. Acara ketiga pula mereka perlu mendeklamasi sajak tersebut. Saya juga yang menjadi hakim.

Selepas itulah, dia asyik menyebut, “kak mahu nombor satu ya!”. Sebelum solat, selepas tahlil, waktu saya berehat mengacarakan majlis untuk memberi laluan kepada ucapan dan persembahan, dia masih meminta untuk “nombor satu”.

Akhirnya, setelah berbincang dengan Puan Hajah Maniseh, kami bersetuju untuk memberikan tempat ketiga mencipta sajak, tempat itu sepatutnya dimenangi oleh Hajah Maniseh. Dia sangat gembira dan teruja sebelum Hari Keluarga lagi. Kegembiraannya semakin terserlah ketika kami di sana.

Sekarang, saya berasa lega sebab sempat memberikannya sedikit “kegembiraan” sebelum dia kembali ke sisi Tuhan.

Kami kembali ke institut dengan kenangan Hari Keluarga yang meriah. Tetapi Isnin itu dia tidak muncul. Selasa juga tiada. Setiap daripada kami cuba menghubungi tetapi gagal. Kami sudah mula bimbang. Kebimbangan kami akhirnya menjadi nyata apabila sekitar jam delapan, Dr Khairuddin menulis dalam grup Wassap bahawa “Kak Datin masuk ICU”.

Sepanjang malam, kami cuba menenangkan antara satu sama lain. Sepanjang malam juga kami berdoa agar dia kembali pulih. Namun takdir Allah lebih berkuasa. Jam 7, kami dimaklumkan Dr K bahawa “Kak Tin kita sudah tiada”.

Saya benar-benar tidak percaya. Sungguh!. Ulang alik saya ke bilik air. Mencuci muka, ambil baju ini tak kena, ambil tudung itu pun tak kena. Ya Tuhan...

Bergegas saya ke pejabat, tidak terus ke surau seperti kebiasaan. Beberapa orang pensyarah menyapa, “Kak Yang, betulkah?” Saya hanya mengangguk dan segera ke bilik jabatan. Ada beberapa orang rakan yang masing-masing termenung di meja kebingungan.

Kami berkumpul dan berbincang. Akhirnya, kami tahu bahawa dia menghembuskan nafas terakhirnya jam 6.32 pagi Rabu. Pengurusan jenazahnya sangat cepat. Pada mulanya saya tidak mahu melihat wajahnya sebab saya mahu mengenangnya dalam keadaan dia yang asal. Tetapi kemudiannya saya menjenguk juga sekejap, melihat wajah pucat yang terbaring kaku.

MB Negeri Sembilan dan isteri, serta para exco dan Undang juga hadir. Saya tidak ikut ke perkuburan, saya balik ke jabatan dan masih bingung.

Mejanya di sebelah meja saya. kami bertiga pesakit kanser dan duduk sederet. Jika diikutkan, Dr Faiz agak teruk, diikuti saya dan akhirnya dia. Permintaannya untuk mendapat “nombor satu” itu berterbangan dalam minda saya. Adakah bermaksud bahawa antara kami bertiga, dia “nombor satu” yang pergi dahulu?

Kami mengadakan tahlil pada Jumaat pagi itu dengan menjemput ahli keluarganya. Kami juga menyerahkan barang-barang peribadi Datin kepada ahli keluarga. Melihat meja yang biasanya penuh dengan fail sudah menjadi kosong, entahlah...saya sukar mahu menyebut istilah yang tepat.

Saya teringat juga, antara kami bertiga, dia yang paling menjaga pemakanan. Suplimennya juga banyak. Dia orang berduit, dengar sahaja sebarang suplimen yang bagus untuk mengawal penyakit, dia akan beli. Dia pernah berikan saya dan Dr Faiz sebekas biji aprikot, malahan bising-bising ketika melihat kami tidak berpantang.

Kematian itu rahsia Allah. Kita tidak mengetahui saatnya bila kita akan kembali ke pangkuan-Nya. Saya menulis sajak untuknya pagi itu selepas selesai menziarah. Tetapi dia tidak dapat membacanya lagi. Saya sebenarnya mahu memberikan kumpulan puisi kedua saya kepadanya sebaik sahaja diterbitkan nanti, sebab dia satu-satunya sahabat yang begitu bersungguh-sungguh membaca kumpulan puisi saya yang pertama dulu, berbanding sahabat lain yang hanya mempamerkan buku tersebut di rak.

Dia tidak mendengar saya lagi, tidak akan membaca puisi-puisi saya.

Tidak akan.

Dia sudah jauh. Saya tidak akan bertemunya lagi.

Sahabat, Datin Khaziah...istirahatlah. Hati kak lurus. Terlalu!