Total Pageviews

Tuesday, March 29, 2016

Sudah Tua

Semalam saya ke HUKM, ke Klinik Onkologi. Hanya untuk rawatan rutin. Ketika ditanya usia anak bongsu saya, saya memberitahu doktor, usianya sudah dua puluh empat. Doktor muda yang sedang menekan-nekan tubuh saya itu berhenti sejenak, memandang muka saya dan berkata, "biar betul, puan. Tak nampak macam orang ada anak setua itu..."

Saya pun berkata dengan hidung yang sedikit kembang, "saya sudah lima puluh...sebulan lagi akan ada cucu".

Doktor itu masih tidak percaya. Melihat-lihat rekod saya.

Sebenarnya, mudah sahaja. Saya macam perempuan marhaen pergi ke hospital. Dengan selipar warna merah, seluar panjang, blaus labuh, tudung yang agak labuh, menyandang beg hadiah si bongsu yang dipenuhi gambar lakaran kucing. Saya tidak bersolek, polos begitu. Saya juga sibuk membaca buku Haruki Murakami yang dipenuhi kisah menarik tetapi keterlaluan jujurnya.

Kalau saya bergaya-gayaan, mesti nampak tua renta.

Tetapi doktor itu tidak patut sebab dia kata, "tak nampak macam orang ada anak setua itu..." kah kah kah! Anak bongsu saya sudah "setua itu".

20 Mac yang lalu saya menjadi tua. Kakak angkat dan kakak saya tersilap tarikh, awal sehari. Jadi mereka membeli kek dan hadiah untuk memeranjatkan saya. Tetapi akhirnya mereka yang terperanjat. Tahun ini saya mendapat hadiah yang banyak. Pelik juga. Kalau sudah lima puluh ertinya baki umur sudah tinggal sedikit. Takut juga saya. Bagasi masih banyak yang kosong.

Usia lima puluh, saya seronok juga. Bila sudah tua, orang hormat kita. Cuma masalahnya ada orang yang macam doktor itu tidak nampak ada kedut di muka saya. Bila nampak muda, orang kurang hormat. Malahan, memanggil kita dengan panggilan nama. Hilang mood saya kalau orang buat begitu, sebab saya rasa terhina. Mood untuk bersembanglah, mood untuk makan sentiasa ada hehehe...

Bila sampai di rumah, ada masalah juga sebab tidak disangka tua oleh doktor tersebut.

Saya jenuh membetulkan semula hidung saya yang mengembang itu!

Monday, March 28, 2016

Orang Yang Seperti Tanah

Kadang-kadang ada orang menjadi tanah, dilemparkan pelbagai kotoran, dipijak dan diperlakukan sesuka hati tetapi masih membalasnya dengan yang baik-baik. Tanah itu tetap menumbuhkan pokok dengan bunga yang cantik berwarna-warni, buah yang pelbagai rasa, sayur-sayuran yang berkhasiat.

Saya kenal dengan orang yang seperti tanah ini. Saya tidak mungkin sebaiknya. Barangkali orang akan tertipu dengan luaran saya yang kelihatan lembut tetapi jika mereka melihat hati saya, mesti jauh berbeza dengan orang yang seperti tanah itu. Dia kelihatan gagah, bersifat pelindung dan nampak tegas, namun di sebalik semuanya ini, hatinya cepat lembut dipenuhi cairan belas kasihan.

Sementara saya, adalah sebaliknya. Barangkali peribadi saya itu tercorak daripada pengalaman hidup yang memaksa hati saya menjadi keras. Jika tidak, saya mungkin sudah berada di sebalik tirai besi bersama orang-orang yang menyanyi dan ketawa sendirian.

Itulah keadilan Tuhan. Dia mencipta dengan sebaik-baik imbangan.

Saya sebenarnya tahu orang yang seperti tanah itu sedang sangat menderita, kecewa, putus asa, terluka atau...entah perkataan apa lagi yang dapat saya katakan. Maki hamun yang diterima, sangkaan-sangkaan buruk, sumpah seranah, segala-galanya...

Setelah mengorbankan kehidupan untuk membahagiakan seseorang yang sangat dikaguminya, akhirnya dia menerima lemparan-lemparan kotoran. Maafkan saya jika saya berburuk sangka. Saya pasti, atau hampir pasti ada iblis yang berupa manusia, menghasut dan menjadikan keadaan semakin buruk. 

Saya bukan tahu membaca manusia, tetapi setelah lima puluh tahun berjumpa dan terlibat dengan orang-orang berhati jahat, saya sangat yakin akan teori iblis menyamar manusia ini. Percayalah, bahawa suatu hari nanti, akan ada topeng-topeng yang terbuka oleh tiupan angin kencang.

Selalunya demikianlah. Meskipun setelah bertahun-tahun, setelah manusia lupa...Allah tidak akan lupa. Macam yang saya dengar berita, ada orang yang sangat berkuasa di sebuah kolej, melakukan penyelewengan bertahun-tahun, akhirnya apabila buku bertemu ruas, dia pun terjatuh ke dalam lubang yang digalinya sendiri.

Belum lagi masuk ke dalam lubang yang digali orang enam kaki ke dalam!

Kalau saya yang hati jahat ini menjadi yang seperti tanah itu, pasti saya membawa diri jauh-jauh. Saya tidak akan pulang. Saya akan menghentikan bantuan. Saya akan tidak peduli. Saya akan menukar nombor telefon, menutup FB, membina tembok yang tinggi sehingga saya tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tembok itu.

Itu kalau saya menjadi dia.

Tapi orang yang seperti tanah itu bukan saya.

Dia lembut hati sehingga saya pun berasa mahu menyimen hatinya.

Saya marah sebab dia begitu. Yang ramai-ramai melempar kotoran itu tidak akan insaf selagi tanah masih menumbuhkan pohon.

Monday, March 14, 2016

Deus Ex Machina


Mingguan Malaysia 13 Mac 2016

Tuhan mahu saya gembira. Sehari selepas saya keluar wad, Dia memberikan kegembiraan dengan tersiarnya cerpen ini, yang pertama untuk tahun 2016. Alhamdulillah setakat tarikh 13 Mac, sudah 3 buah sajak dan 1 cerpen tersiar di media. KPI saya ialah sebuah karya untuk sebulan dan nampaknya sudah melepasi sasaran.

Saya sedang menunggu kemunculan kumpulan puisi kedua yang Insha-Allah sekitar bulan buku berpesta!

Allah, Engkau memang Tuhan Yang Maha Baik. Engkau gantikan kesukaran dengan kegembiraan. Terima kasih wahai Pencipta manusia dan segala isi alam.

Sunday, March 13, 2016

Ke Unit Kecemasan

Saya sudah bersiap-siap. Makanan kucing sudah saya isi separa penuh dalam bekas makanan separa automatik. Air minuman mereka juga. Kotoran mereka saya bersihkan. Segala keperluan saya letakkan dalam beg. Apa-apa sahaja boleh terjadi dalam beberapa jam ini.

Malam itu saya ada masalah kronik. Jam 12.45 pagi terjaga dan saya berulang alik ke bilik air. Kebiasannya akan pulih meskipun mengambil masa tetapi kali ini saya berasa sedikit gusar. Sudah dua tiga jam berlalu tetapi masih sukar. Terfikir mahu memandu ke unit kecemasan malam itu juga tetapi saya menangguhkan cadangan.

Esoknya saya masih terus ke sekolah untuk menyelia dua guru pelatih. Allah sahaja yang tahu bagaimana saya menahan rasa sakit dan tidak selesa. Badan saya berpeluh. Kepala sedikit pusing. Jam 11 pagi saya memandu pulang ke pejabat. Memikirkan kebarangkalian saya akan ditahan di wad, saya menghantar fail penyeliaan di atas meja. Kalau berlaku apa-apa kepada saya, semua dokumen tersebut mudah dicari oleh rakan-rakan.

Jam 12 saya bergerak pulang sebab komputer saya tertinggal di rumah. Sampai di rumah, saya masih berusaha memulihkan keadaan. Peluh menghujan. Ya, saya tidak mampu bertahan lagi. Akhirnya suara Dr Faiz saya dengar di corong telefon, “kak, Datin Mas dan Azim dalam perjalanan ke rumah kak. Mereka akan hantar kak ke Unit Kecemasan”.

Sampai di Unit Kecemasan, saya dapati pesakit sangat ramai dan bilangan petugas tidak mencukupi. Saya dibiarkan lama terbaring di katil sehingga tidak mampu bertahan lagi. Saya panggil jururawat dan menyatakan bahawa tolong lakukan sesuatu untuk meredakan kesakitan. Barulah ada yang bertindak. Tiub dimasukkan dan urin memenuhi beg. Sampel diambil. Urin saya ok. Bersih dan warnanya menunjukkan kandungannya sihat. Memang saya banyak minum air. Dia sampai ke sisi katil. Beberapa rakan juga membolosi pintu yang dikawal pengawal keselamatan demi menjenguk dan melaporkan kepada rakan-rakan lain melalui grup wasap jabatan. Dua kali saya di”scan” dan di X-ray semasa berada di unit itu. Bayangkan saja saya terbaring di situ dari jam 3 petang sehingga jam 8.30 malam, barulah saya dimasukkan ke wad.

Itu kali pertama saya ke unit kecemasan hospital awam. Masya-Allah, kebarangkalian untuk menemui ajal disebabkan tindakan yang lewat (ekoran kekurangan petugas), memang boleh berlaku. Mujur wad bagus meskipun bukan kelas pertama (juga tidak beroperasi sebab kekurangan petugas). Wad berada di bangunan baharu, mungkin lebih baik kondisinya daripada di HUKM. Saya sedikit kagum. Nampaknya hospital awam juga sudah mula menjadi semakin baik.

Saya di”scan” lagi. Kemudian pada jam 12.30 malam, saya melalui prosedur seperti yang pernah saya lalui di HUKM. Mereka mahu mengambil sampel di rahim. Dimasukkan teropong dan sebagainya dan saya menahan sakit. Sebenarnya saya paling tidak suka prosedur ini sebab mereka sudah maklum akan kedudukan uterus saya yang agak berbeza daripada kebanyakan wanita. Jam 2 pagi barulah selesai dan tiub saya diikat untuk membiasakan saya tidak bergantung kepada tiub tersebut. Jam 4 saya terjaga dan tidak boleh tidur sebab kesakitan di ari-ari. Saya menekan butang dan jururawat datang untuk melepaskan ikatan.

Keesokannya sekali lagi saya di”scan” dengan dapatan-dapatan yang berbeza. Saya mula hilang keyakinan sedikit. Apalagi ketika berhadapan dengan pakar yang kurang ilmu komunikasi, sedikit angkuh ketika bicara dengan pesakit. Jauh sekali bezanya dengan apa yang telah saya lalui beberapa kali di HUKM, KPJ atau di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

Tiub dibuang pada jam 11 pagi. Saya terus ke kamar mandi dan mandi serta mengambil wuduk. Empat waktu saya tidak solat. Dengan tiub kencing yang tergantung, dengan beg yang terpaksa saya pegang, semuanya tidak memungkinkan saya untuk solat.

Mereka benarkan saya pulang sekitar jam enam petang. Bagus. Tetapi saya tidak terlepas daripada “cengkaman” mereka sebab bersama saya ialah jadual dan ubat-ubatan serta mereka mahu saya datang untuk temu janji, juga sama ada saya mesti menjalani pembedahan atau tidak. Yang menyeronokkan saya di situ hanyalah kondisi wad serta jururawatnya yang bagus.

Saya pulang dengan tidur yang tidak lena. Tahun ini sesungguhnya amat penting kepada saya.

Terlalu penting.

Maka, tuhan...dengarkanlah rayuan saya. Cabutlah segala penyakit yang ada dalam tubuh saya. Berikan saya kekuatan, ibu saya kekuatan. Kami sangat memerlukannya!

Saturday, March 5, 2016

Perjalanan Akhir Seorang Khaziah (Engkau Tidak Mendengarku Lagi, Sahabat)


Mingguan Malaysia 6 Mac 2016, puisi khas untuk Kak Khaziah yang berpulang pada 2 Mac 2016

“Kak Khaziah nak nombor satu ya,” mintanya berulang kali.

Petang Sabtu itu 27 Februari 2016, kami semua berkumpul di Naam Boutique Lodge. Acara pada sebelah petang hanya tiga. Tiada sukaneka sebab kebanyakan pensyarah sudah tua, jadi hanya dua tiga orang sahaja yang punya anak di sekolah rendah.

Acara pertama ialah melukis wajah rakan sebilik. Si adik awal-awal lagi sudah terkeluar senarai sebab auntie-auntie bising memberi amaran, orang yang “pro” tidak aci kalau masuk bertanding. Tetapi untuk memeriahkan, si adik melakar juga wajah saya dalam bentuk lakaran komik, bukan melukis potret.

Acara kedua merupakan pertandingan mencipta sajak. Saya yang akan menjadi hakim. Maka saya meminta mereka menulis dengan tema laut dan pantai dalam masa dua puluh minit. Acara ketiga pula mereka perlu mendeklamasi sajak tersebut. Saya juga yang menjadi hakim.

Selepas itulah, dia asyik menyebut, “kak mahu nombor satu ya!”. Sebelum solat, selepas tahlil, waktu saya berehat mengacarakan majlis untuk memberi laluan kepada ucapan dan persembahan, dia masih meminta untuk “nombor satu”.

Akhirnya, setelah berbincang dengan Puan Hajah Maniseh, kami bersetuju untuk memberikan tempat ketiga mencipta sajak, tempat itu sepatutnya dimenangi oleh Hajah Maniseh. Dia sangat gembira dan teruja sebelum Hari Keluarga lagi. Kegembiraannya semakin terserlah ketika kami di sana.

Sekarang, saya berasa lega sebab sempat memberikannya sedikit “kegembiraan” sebelum dia kembali ke sisi Tuhan.

Kami kembali ke institut dengan kenangan Hari Keluarga yang meriah. Tetapi Isnin itu dia tidak muncul. Selasa juga tiada. Setiap daripada kami cuba menghubungi tetapi gagal. Kami sudah mula bimbang. Kebimbangan kami akhirnya menjadi nyata apabila sekitar jam delapan, Dr Khairuddin menulis dalam grup Wassap bahawa “Kak Datin masuk ICU”.

Sepanjang malam, kami cuba menenangkan antara satu sama lain. Sepanjang malam juga kami berdoa agar dia kembali pulih. Namun takdir Allah lebih berkuasa. Jam 7, kami dimaklumkan Dr K bahawa “Kak Tin kita sudah tiada”.

Saya benar-benar tidak percaya. Sungguh!. Ulang alik saya ke bilik air. Mencuci muka, ambil baju ini tak kena, ambil tudung itu pun tak kena. Ya Tuhan...

Bergegas saya ke pejabat, tidak terus ke surau seperti kebiasaan. Beberapa orang pensyarah menyapa, “Kak Yang, betulkah?” Saya hanya mengangguk dan segera ke bilik jabatan. Ada beberapa orang rakan yang masing-masing termenung di meja kebingungan.

Kami berkumpul dan berbincang. Akhirnya, kami tahu bahawa dia menghembuskan nafas terakhirnya jam 6.32 pagi Rabu. Pengurusan jenazahnya sangat cepat. Pada mulanya saya tidak mahu melihat wajahnya sebab saya mahu mengenangnya dalam keadaan dia yang asal. Tetapi kemudiannya saya menjenguk juga sekejap, melihat wajah pucat yang terbaring kaku.

MB Negeri Sembilan dan isteri, serta para exco dan Undang juga hadir. Saya tidak ikut ke perkuburan, saya balik ke jabatan dan masih bingung.

Mejanya di sebelah meja saya. kami bertiga pesakit kanser dan duduk sederet. Jika diikutkan, Dr Faiz agak teruk, diikuti saya dan akhirnya dia. Permintaannya untuk mendapat “nombor satu” itu berterbangan dalam minda saya. Adakah bermaksud bahawa antara kami bertiga, dia “nombor satu” yang pergi dahulu?

Kami mengadakan tahlil pada Jumaat pagi itu dengan menjemput ahli keluarganya. Kami juga menyerahkan barang-barang peribadi Datin kepada ahli keluarga. Melihat meja yang biasanya penuh dengan fail sudah menjadi kosong, entahlah...saya sukar mahu menyebut istilah yang tepat.

Saya teringat juga, antara kami bertiga, dia yang paling menjaga pemakanan. Suplimennya juga banyak. Dia orang berduit, dengar sahaja sebarang suplimen yang bagus untuk mengawal penyakit, dia akan beli. Dia pernah berikan saya dan Dr Faiz sebekas biji aprikot, malahan bising-bising ketika melihat kami tidak berpantang.

Kematian itu rahsia Allah. Kita tidak mengetahui saatnya bila kita akan kembali ke pangkuan-Nya. Saya menulis sajak untuknya pagi itu selepas selesai menziarah. Tetapi dia tidak dapat membacanya lagi. Saya sebenarnya mahu memberikan kumpulan puisi kedua saya kepadanya sebaik sahaja diterbitkan nanti, sebab dia satu-satunya sahabat yang begitu bersungguh-sungguh membaca kumpulan puisi saya yang pertama dulu, berbanding sahabat lain yang hanya mempamerkan buku tersebut di rak.

Dia tidak mendengar saya lagi, tidak akan membaca puisi-puisi saya.

Tidak akan.

Dia sudah jauh. Saya tidak akan bertemunya lagi.

Sahabat, Datin Khaziah...istirahatlah. Hati kak lurus. Terlalu!