Total Pageviews

Wednesday, September 30, 2015

Musim Kelabu Yang Sayu

Lama benar saya meninggalkan rumah ibu bunga matahari ini. Barangkali ada sedikit sawang yang bergantungan di lelangit rumah. Atau ada sarang lelabah yang berayun dibuai angin musim kelabu.

Musim-musim yang kelabu itu datang lagi. Begitulah kita menerimanya saban tahun. Masih begitu-begitu juga. Nampaknya macam kita pasrah menghidu partikel-partikel halus seperti iblis yang merayap-rayap masuk ke rongga. Saya melihat dengan jelas benda-benda halus itu berjatuhan dari langit, menimpa bumbung kereta yang diparkir di laman emak.

Kasihan daerah kelahiran saya yang manis dan segar udara. Daerah manis itu turut menjadi mangsa. Apabila pulang ke kota tempat saya menumpang duduk, situasi semakin teruk. Sekolah di hadapan rumah saya setakat ini telah dua hari ditutup. Angin membawa debu-debu, menyebabkan tekak perit dan mata pedih.

Matahari seperti bola merah yang bulat di dada langit. Ada lingkaran-lingkaran berwarna sayu di sekeliling bulatan itu. Cahayanya pudar. Cahayanya dikaburkan oleh musim kelabu.

Alangkah sedihnya musim ini. Sayu dan kelabu. Kabur di mana-mana. Orang sakit banyak di klinik. Petugas kesihatan semakin bertambah kerja.

Saya menyapa polis yang mengawal lalu lintas. “Tidak pakai topeng muka? Cuaca teruk sangat ni...” Dia hanya tersengih. “Tak ada, cik!” katanya.

Orang-orang menjadi lelaki dan perempuan yang pemalu. Menutup mulut dan hidung. Tersenyum di sebalik topeng muka berwarna putih biru.

Kita tidak disantuni jiran. Saban tahun kita duduk menunggu datangnya musim kelabu. Kita batuk, menahan sakit di dada, seakan menunggu maut yang datang perlahan-lahan.

Begitulah.