Total Pageviews

Wednesday, June 24, 2015

Mencari Sempurna

Pagi ini saya mahu memberi tazkirah kepada hati sendiri. Walaupun sudah tua dan telah melalui serba serbi jalan hidup, hampir terjatuh ke dalam gaung, atau hampir lemas ditelan gelora...atau pernah berada di silara segala, kadang-kadang sebagai manusia (alasan klise), hati saya mahu ditakluki awan hitam dengan guruh sabung menyabung.

Saya tertarik dengan cerita ini. Tentang mencari kesempurnaan. Kisah seorang murid ini bertanyakan gurunya bagaimana mahu mencari sesuatu yang cantik dalam kehidupan. Pesan gurunya, “Kau pergi ke taman bunga itu, berjalan lurus dan carilah bunga tercantik. Jangan berundur kembali ke belakang”.

Baik. Murid ini pun berjalan lurus melalui taman yang dihuni pelbagai bunga itu. Tetapi ketika sampai di hujung jalan, gurunya mendapati dia kembali dengan tangan kosong.

“Mana bungamu?”

Si murid mengeluh. “Saya sudah nampak bunga yang cantik tetapi hati saya berkata barangkali di depan sana ada lagi bunga tercantik. Begitulah seterusnya sehingga akhirnya saya dapati saya sudah tiba di hujung jalan. Saya tidak boleh berpatah balik ke belakang walaupun saya menyedari bahawa saya sudah menemui banyak bunga yang cantik...”

Seperti kitalah. Tergila-gilakan kesempurnaan. Sehingga kadangkala menjadikan kita manusia yang kurang bersyukur. Mencari yang sempurna itu bagus tetapi sempurnakanlah diri kita dahulu. Jika kita pun kurang atau langsung tidak sempurna, mengapa kita meletakkan orang lain dalam standard yang maha sempurna?

Untuk mudah fahamnya, beginilah. Saya dididik oleh emak, sebelum tidur mesti mengemas dapur, kecuali kalau benar-benar tidak larat atau sakit supaya apabila kita bangun pagi, hati kita berasa lapang melihat dapur yang tidak comot. Atau selepas makan di mana sahaja, mesti menyorong semula kerusi dengan kemas. Sebenarnya ini menggambarkan peribadi kita.

Kita kena buat dahulu. “Sempurnakan” dapur kita sebelum tidur dan “sempurnakan” kerusi kita selepas makan. Selepas itu barulah kita boleh menuntut “kesempurnaan” orang lain. Ada anak yang dididik dengan kaedah yang sama. Ada yang mahu ikut, ada juga yang menganggapnya sebagai sesuatu yang remeh.

Pokoknya, memang kalau boleh kita mahu semuanya serba sempurna.

Namun jangan sampai kegilaan kita mencari yang sempurna itu menyebabkan kita rabun sehingga tidak nampak sesuatu yang telah sedia menghampiri sempurna. Lalu kita jadi manusia yang gagal bersyukur.

Mari kita mengemas dapur selepas sahur, menyapu segala habuk di lantai dengan rasa syukur sebab lantai dan dapur kita masih sempurna.

Bayangkan dapur dan lantai di Ranau selepas gempa bumi yang lepas.