Total Pageviews

Sunday, June 21, 2015

Hari Bapa Yang Biasa

Ahad semalam ada sambutan Hari Bapa.

Saya tiada ayah. Almarhum ayah sudah pergi meninggalkan kami sejak lima belas tahun lalu. Memang kesedihan-kesedihan itu sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Ayah saya pendiam. Dia ada peribadi seorang bapa. Sudah pastinya dia bapa yang bukan “bapa moden” seperti bapa-bapa sekarang.

Ayah dan kami, ada batasan yang mesti dijaga. Kami diajar menghormati ayah dengan cara didikan tersendiri. Tabik saya kepada mak dan ayah yang tiada pendidikan formal seperti kami, tetapi berjaya mewujudkan kasih sayang antara ahli keluarga, dengan kesantunan dan adab yang barangkali sangat jarang lagi diamalkan oleh keluarga “moden”.

Ayah tidak begitu pandai mempamerkan kasih sayang. Dia keseganan kalau terserempak anak perempuan berkemban. Kami menjaga aurat dan kelakuan jika mendengar batuk atau dehem ayah meskipun saat itu kami sudah bergelar ibu. Saya tidak pernah mencium pipi atau memeluk ayah pada saat kedewasaan saya meskipun saya antara anak kesayangan ayah disebabkan kondisi saya yang selalu kurang sihat sejak kecil.

Ironinya, saya mengucup dahi ayah, memeluk dan baring di sisinya tatkala dia sudah bergelar jenazah!

Ya. Saya akui bahawa saya sangat menyesal sebab tidak memeluk ayah semasa hayatnya. Pasti ayah sangat teringin anak-anak perempuan memeluknya seperti saat kami masih kecil.

Anak-anak saya juga tiada ayah dalam konteks yang tersiratnya meskipun ayah mereka masih hidup dan sedang menanti kelahiran anak kecil daripada isterinya yang ketiga.

Mereka juga tidak kisah memeluk dan mencium ayah kandungnya meskipun ada “jarak” yang jauh antara mereka. Pada saat melihat anak-anak yang ditinggalkan berdiri sebagai manusia dewasa dengan corak pemikiran tersendiri, saya tahu hati ayahnya sarat dengan sesalan. Namun masa tidak lagi boleh dikembalikan meskipun kita mahu menukarkannya dengan sebanjaran emas permata.

Anak tetap anak dan ayah tetap ayah yang mesti dihormati. Hanya peringatan saya kepada lelaki-lelaki di luar sana, juga untuk yang wanitanya. Kita tidak sentiasa muda. Anak-anak itu juga tidak akan selamanya kecil. Mereka akan membesar dan belajar mentafsir kehidupan. Kita akan menjadi tua, dengan penyakit di sana-sini, dengan kudrat yang sudah meminggir. Suatu saat segala kemasyhuran akan pergi juga. Pada ketika itu, tiada yang lebih berharga daripada anak-anak yang sentiasa mengambil berat dan mengasihi.

Biasanya bola yang dilontar ke dinding akan melantun semula ke arah yang melontar, meskipun sesekali tersasar arah. Jangan berasa aneh jika tiada bola yang melantun semula ke arah kita sebab kita yang tidak pernah melontarnya ke dinding.

Jika sudah takdirnya mempunyai rumah lain, jangan abaikan yang sudah sedia ada. Jangan lari daripada tanggungjawab sehingga agama kita dipandang hina oleh mereka yang tidak faham. Ajaran agama kita bukan begitu. Jangan menjadi penyumbang kebobrokan umat. Islam telah menggariskan segala aturan yang maha sempurna. Sangat sukar kehidupan bagi seorang ibu sendirian membesar dan mendidik anak-anak tanpa bantuan kewangan dan sokongan.Pakailah "kasut" mereka dan rasakan sempit yang menggigit!

Itulah Hari Bapa. Hanya Ahad yang biasa-biasa.