Total Pageviews

Friday, December 12, 2014

Di Pulau



Malam itu saya tidur lewat. Barangkali jam dua belas setengah begitu baru saya lelap. Jam lima pagi saya terjaga, bangun dan menguruskan bulus-bulus yang akan ditinggalkan.

Saya menyiapkan jadual untuk memudahkan si Era, anak jiran untuk memberikan makanan dua kali sehari. Tepat jam tujuh lima belas saya bergerak meninggalkan rumah menuju ke pulau. Saya ikut jalan Kuala Selangor. Ada tempat-tempatnya, struktur jalan sangat teruk. Alhamdulillah sekitar jam 11.25 pagi saya tiba di Jeti Lumut. Kak Rosmiaty Shaary, Kak Siti Zaleha Hashim, Encik Djazlam Zainal dan keluarga sudah menunggu.

Di Jeti Pulau Pangkor, ada urus setia menanti. Saya ditempatkan di Puteri Bayu, bukan Coral Bay seperti selalu. Aras empat. Tetapi kemudian ada seorang peserta yang kasihankan saya dan memberitahu urus setia supaya memindahkan saya ke aras bawah. Alhamdulillah.

Sidang pertama membicarakan kumpulan puisi Kembali Ke Fitrah karya Kak Rosmiaty Shaary. Saya bertemu Madam Chapouthier. Ketika menyalaminya, beliau memegang tangan saya dan berkata, “Ibu Bunga Matahari! Thank you...” Eh! Rupa-rupanya dia telah google blog saya. Dia suka membacanya dan cam muka saya. Saya pernah menulis tentang Madam Chapouthier. Dia langsung memberitahu bahawa, “e-mail your story to me. Nanti saya hantar ke Pelanduk”. Bersungguh-sungguh dia menulis e-melnya dan meminta saya berjanji untuk menghantar.

Dia MGSian seperti saya juga. Tetapi jauh lebih senior. Sekarang saya tahulah, jika dalam statistik blog yang digoogle dari Perancis, maknanya itu dari Madam Chapouthier!

Malamnya acara baca puisi. Saya pembaca kedua. Saya baca sajak Ketika Menatap Laut yang belum selesai “dicuci” diksinya.

Seorang rakan, Usman Gumanti datang dan memberitahu, “saya baca sajak you minggu lepas. Saya suka dan teruja. Tetapi saya tidak begitu senang dengan perkataan Inggeris yang diMelayukan dalam sajak itu...”

Ya, saya tahu. Perkataan “integriti”.

Memang ada kritikan sosial di situ dan saya sukar mencari perkataan. Hanya itu yang automatik muncul di minda. Saya gembira sebab ada sahabat yang tekun mengikuti karya saya yang tidak seberapa. Terima kasih yang tidak terhingga. Itulah sahabat yang jujur. Menegur untuk sesuatu yang lebih baik.

Ada beberapa acara berjalan dan saya keletihan. Tetapi kesempatan bertemu rakan-rakan tidak mungkin saya biarkan berlalu.

Saya suka sekali berdiskusi dengan Cikgu Chai Loon Guan, Rajeswari Seetharahman, Zulkifli Mat Top, Pak Baharuddin Kahar tentunya...

Novelis tersohor yang sangat simple tetapi memiliki keupayaan intelektual yang tinggi. Pak Baha bercerita tentang novel yang sudah ada dalam kerangka pemikiran, beberapa elemen kecil yang mahu diangkat untuk menjadi besar dan “mendunia”.

Antologi Puisi Pangkor 4 turut mengandungi sajak saya, Hujan Di Pulau. Cantik buku itu.

Festival Puisi dan Lagu Rakyat Pangkor kali ini tidak seramai festival yang lalu. Tetapi saya tabik dengan Pak Malim Ghozali dan pasukannya. Beliau kelihatan begitu uzur, berjalan menggunakan tongkat.

“Doktor tak beri ubat kat aku. Ya la, tahap empat macam ini, kalau dapat sedikit masa lagi pun cukuplah. Masa untuk bertaubat...” katanya kepada saya dengan sedikit tawa di hujung. Beliau juga mengulang harap supaya saya dapat mengumpul cerpen dan menghantarnya untuk penerbitan antologi.

Melihat kegigihan Pak Malim, kita malu sendiri. Dia dengan segala keterbatasan, kudrat dan kesihatan; tetapi masih mampu melangsungkan acara antarabangsa seperti ini.

Hidup ini berkisar tentang perjuangan dan pertarungan untuk menang.

Pak Malim telah membuktikannya!