Total Pageviews

Monday, October 20, 2014

Pengajaran Termahal

Sebelum kita bercakap, kena awas selalu. Jangan sampai kata-kata kita menjadi batu tajam yang boleh melukai hati orang.

Kalau orang yang kita lawan bercakap itu memang sudah biasa dengan kita, tiada masalah. Dia kenal peribadi kita, kita pun kenal peribadinya.

Tetapi kalau berjumpa pun hanya setakat bertembung di mesin perakam waktu, atau sesekali di acara tertentu; jangan bercakap main lepas dan dengan keangkuhan melulu.

Orang akan menilai peribadi kita yang itu, bukan yang kononnya...”walaupun aku jenis mulut longkang tapi hati aku baik!”

Orang yang mulutnya setaraf longkang, mungkinkah hatinya sewangi kasturi?

Saya terkena dengan seorang yang bercakap dengan nada angkuh dan tidak menghormati orang. Malangnya ialah, saya mempunyai kelemahan iaitu saya akan ingat segala kata-katanya sampai hati saya memaafkan. Saya akan menjadikan dia halimunan, ada atau tiada tidak memberi makna. Paling dahsyat ialah hormat saya seratus peratus hilang lenyap ditelan bumi.

Sebenarnya tidak bagus bersikap seperti saya itu. Tetapi saya sangat terluka. Walaupun puas saya memujuk akan seribu kemungkinan. Barangkali sebab dia dididik dengan kasar, atau sebab dia tiada anak, atau sebab rumahtangganya berantakan, atau gajinya besar, atau dia berasa kepalanya pun besar...

Saya bersalaman dengannya sebagai tanda menghormati yang lebih tua. Saya pun tidak perasan apabila bersalam, saya cenderung meletakkan tangan orang di pipi atau dahi, bukan dikucup. Sebabnya saya pernah terdengar ada orang tidak suka dikucup tangannya ketika bersalaman dengan alasan bimbang ada bakteria dan sebagainya. Jadi, saya memang tidak mengucup tangan orang, kadang-kadang hanya menunduk mendekatkan muka ke tangan orang. Begitu juga memeluk dan mencium pipi. Saya hanya akan melakukan kalau orang lain yang melakukannya terlebih dahulu, sebab ada orang tidak suka begitu.

Orang yang berasa dirinya besar itu menegur, “kenapa kau tidak mencium tangan saya? Kenapa letak di pipi? Saya selalu bercakap dengan budak-budak, kalau tidak mencium tangan, baik tak payah salam. Sepatutnya kau cium tangan untuk ambil berkat...bla bla bla...”

Astagfirullah. Saya terdiam. Saya tidak biasa disergah begitu. Saya pun tidak pernah menyergah orang. Jadi, saya tidak segera menjawab. Saya pun bukan tertib dan lembut sangat. Tetapi saya dididik berbahasa dengan lembut terutama kepada orang yang lebih tua.

Saya boleh sahaja menyergah balik, “ingat kau besar sangat? Berlagak, tua kutuk, tak ingat mati, tua nak mampus!” tetapi itu bukan saya. Kalau saya buat begitu, jawabnya bunga matahari pun layu sepanjang musim. Peribadi saya akan rosak, seburuk peribadi orang itu.

Percaya atau tidak, akibat peristiwa pagi itu, menyebabkan seluruh hari saya muram. Air mata saya mengalir. Selera saya mati. Dia tidak menghormati saya sebagai manusia. Bercakap pula di hadapan beberapa orang yang cuba untuk “memujuk” saya dengan memeluk dan mencium pipi saya. Saya tahu mereka pura-pura tidak dengar demi menjaga air muka saya.

Umur tua bukan lesen untuk menjatuhkan maruah orang. Saya selalu bersama para senior dan mereka sangat baik hati. Malahan daripada merekalah, saya banyak belajar dan menagih nasihat. Ada juga yang bergelar datin dan doktor persuratan, tetapi perilaku mereka sangat bagus dan menghargai orang lain.

Walaupun peristiwa itu sudah lama, tetapi saya masih belum boleh membuang rasa terkilan dan sedih. Akibat daripada itu juga, saya mengelakkan diri bertembung dengan orang ini. Tiada sebab dia mahu menyergah saya hanya kerana hal begitu. Walaupun ada beberapa orang yang mendakwa, dia memang cakap lepas tetapi hatinya baik...maaflah. saya tidak boleh menerima dakwaan sebegini. Orang yang hatinya baik akan bercakap dengan nada yang baik-baik. Saya tidak faham mengapa kita mesti begitu terbuka untuk menerima kata-kata “mulut jahat hati baik”.

Saya akan masuk lima puluh dalam setahun setengah lagi. Saya sudah berusia. Bukan anak-anak kecil yang boleh disergah sesuka hati.

Bergurau itu lain. Saya pun tidak kisah kalau orang bergurau dengan kasar, apa lagi dengan orang yang biasa bergaul dan akrab.

Ini pengajaran untuk saya.

Yang akan saya ingat seada usia.