Total Pageviews

Saturday, January 11, 2014

Cerpen Pembuka Jendela 2014



Nota: Ini adalah karya pembuka tirai 2014 yang terbit di akhbar pada minggu pertama 2014. Sebagai memenuhi permintaan beberapa orang, saya masukkan cerpen tanpa editan editor ini ke laman kebun ibu bunga matahari untuk dibaca. Seperti biasa, cerpen-cerpen saya tidak pernah lari daripada tema feminisme dan kekeluargaan, tema yang saya garapi sejak usia belasan tahun dahulu. Isi ceritanya mudah. Bahasanya pun mudah. Tidak mencabar seperti cerpen-cerpen penulis hebat. Cerpen ini terhasil daripada sebuah berita kecil yang biasanya tidak dipedulikan orang dalam sebuah akhbar. Berita kecil di sudut akhbar yang tidak sepenting berita pembangunan ekonomi negara. Tetapi bagi saya, negara yang hebat terhasil daripada keluarga yang hebat. Keluarga yang hebat didukungi oleh anak-anak yang sihat mindanya. Semua itu saling bersimbiosis membentuk lingkaran kehidupan.


HUJAN SUDAH BERHENTI

Ratna Laila Shahidin





“Bagaimana?”

“Entahlah Taubi. Aku bingung sekali. Kasihan Tura”

Taubi menghirup kopinya yang sudah sejuk. Diletakkan cangkir putih bercorak biru cair itu di meja dengan penuh hati-hati.

“Tapi Far, engkau juga kasihan. Bukan Tura sahaja...”

Sudah satu jam kami di kopitiam itu. Mencari jalan penyelesaian bukanlah semudah kata-kata. Kami menghabiskan waktu sementara menunggu anakku tamat sekolah. Taubi banyak membantu aku setelah pemergian Badru. Dia sangat dipercayai Badru.

“Aku tak fikir Tura betah tinggal bersama Aliyah. Sudah tujuh tahun, Far...”

Ya, sudah tujuh tahun. Tetapi aku bersama Tura sekitar enam tahun. Taubi yang sudah kami; aku dan Badru anggap adik bukanlah orang asing juga kepada suamiku itu. Taubi anak susuan gemulah ibu Badru, ertinya saudara susuan suamiku. Saudara suamiku, saudaraku juga.

Aliyah mahu memfailkan tuntutan hak jagaan terhadap Tura. Betapa pun aku mengasihi Tura, tetapi Aliyah lebih berhak. Aliyah ibu kandung Tura.

“Aku hanyalah ibu tirinya, Taubi”. Taubi memandangku penuh simpati. Entah berapa banyak sudah air mataku tumpah di hadapannya. Aku tidak punya saudara lain selain Taubi. Ibu bapaku sudah lama tiada, begitu juga dengan ibu bapa Badru. Kami masing-masing ditakdirkan lahir sebagai anak tunggal. Badru pergi meninggalkan aku dan Tura setelah setahun setengah menderita kanser otak tahap empat.

Sejak kepulangan Aliyah ke tanah air, memang dunia seakan mendung tanpa sinaran matahari. Kerjaku di pejabat banyak terganggu. Beberapa kali aku tersilap jalan balik ke rumah. Makan minum pun asyik terlupa.

“Kau kena makan juga, Far. Jangan sampai nanti kau sakit. Engkau mesti kuat untuk Tura. Yakinlah, mesti ada juga pertimbangan-pertimbangan lain yang mungkin menyebelahi engkau. Kita berdoa banyak-banyak. Buat solat hajat. Mudah-mudahan kau dan Tura tidak akan terpisah!”

Memang apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Jika selalunya aku tidur lena sampai ke pagi, tetapi sejak akhir-akhir ini aku sering bangun bermunajat di sepertiga malam.

Jangan pisahkan kami, ya Rabb. Kasihanilah aku. Kasihanilah anakku. Kami telah bersama-sama selama enam tahun ini. Dia anakku. Dia anakku.

Saban malam air mataku mengalir seperti sungai. Apalah lagi yang aku ada jika Tura pun mahu dirampas daripada pelukan. Kehilangan Badru terlalu menyakitkan jiwa, aku tidak tahu bagaimana mahu mendepani satu lagi kehilangan dalam hidupku ini!

“Puan Far, ada orang mahu jumpa. Saya rasa dia Puan Liyah. Ibu anak puan”.

Mendengarkan itu, jantungku terasa seperti dipantak tajam. Minggu lepas dia sudah dua kali menghubungi melalui telefon. Dan minggu ini pula, dia sampai tega ke pejabat untuk bertemu. Tuhan, bantulah aku.

“Assalamualaikum Far...”

Aku mendengar suara itu. Suara yang tujuh tahun lalu pergi meninggalkan tanah air sebaik sahaja tamat tempoh pantang 44 hari. Suara itulah yang dirindui Badru sehingga lelaki itu sakit-sakitan. Suara yang tidak pernah didengari oleh Tura sepanjang tujuh tahun ini.

“Far...ini aku, Liyah. Aku Aliyah, sahabatmu. Sahabat Badru...”

Huh! Tiba-tiba aku terasa mahu marah. Aku ingin memekik sekuat-kuat hati. Sahabat? Inikah sahabat? Tujuh tahun menghilang tanpa khabar berita, itu yang dikatakan sahabat?

Tetapi ketika kuangkat muka dan tatkala mataku bertembung dengan matanya, tiba-tiba api amarah terpadam. Pekikan itu terbenam jauh di dasar nyali. Ruang kamar pejabat yang dingin berjaya memadamkan api. Wajah Aliyah masih seperti dahulu. Renungan matanya yang lembut. Garitan senyuman yang manis. Siapa yang tidak akan jatuh kasih kepada wajah selunak Aliyah?

Itulah juga yang dimiliki Tura. Senyuman, ketawa, renungan mata, semuanya. Sebab itulah aku tidak jadi untuk marah. Di wajah Aliyah ada Tura. Mana mungkin aku naik angin menatap wajah kesayangan permata hati bonda!

“Far, aku tahu kau tentu marah. Aku minta maaf. Cuma aku minta berikanlah aku peluang untuk menebus segala kesilapan yang pernah aku buat dulu...”

Itu kata-katanya. Sama seperti dialog drama Melayu di televisyen. Sudah buat silap dan sekarang merayu-rayu untuk diberikan peluang menebus dosa silam.

“Engkau tidak sepatutnya balik, Liyah. Aku sudah bersama Tura enam tahun. Aku bukan mahu mengungkit tapi engkau tidak mengenal dia sebaik aku mengenal dia. Dia anakku, Liyah!” Kataku separuh merayu. Kolam mataku sudah mula bergenang air. Biasanya aku kuat tetapi apabila hal berkaitan Tura, aku selalu akan kalah.

“Dan dia juga anakku, Far. Engkau jangan lupakan hakikat itu!” kata perempuan di hadapanku dengan nada yang lembut tetapi memanggang hati seorang ibu seperti aku.

Aliyah meninggalkan aku sendirian di kamar pejabat. Aku terperosok di kerusi dan menangis semahu-mahunya. Kali akhir aku menangis ialah pada saat kematian Badru. Itu pun setelah tidak tertahan melihat esak tangis Tura.

Aku tahu hakikat bahawa Tura bukan anak yang lahir daripada kantung rahimku. Tura bukan bayi yang sihat. Setahun lamanya Badru membujang dan membesarkan Tura sendirian. Kerjanya menjadi kelam kabut. Dia hampir diberhentikan kerja. Sebagai jiran, aku memang selalu membantu Badru menjaga Tura khususnya apabila Tura kerap keluar masuk wad.

Taubi yang mencadangkan agar kami berkahwin. Aku tahu Badru masih merindui Aliyah. Masih mencintai perempuan itu. Dia menikahiku kerana Tura. Aku sendiri bukan lagi gadis muda. Aku setahun tua daripada Badru. Selebihnya aku sangat mengasihani Tura. Tura tidak berdosa. Bayi kecil yang comel tetapi sering sakit-sakitan itu akhirnya menjadi semakin sihat setelah mempunyai ibu baharu.

Aku tidak begitu tahu mengapa Aliyah nekad meninggalkan Badru dan anak kecilnya itu. Sepanjang enam tahun menjadi isteri Badru, sekali pun aku tidak melontar tanya akan sebab musababnya. Aku tidak mahu Badru bersedih. Memang aneh, tetapi sungguh! Aku tidak pernah sekali pun bertanya. Cuma Taubi pernah memberitahu, Aliyah mendapat tawaran lumayan di kota Paris sebagai seorang model. Satu peluang yang sangat sukar untuk diperoleh. Perempuan secantik Aliyah mana mungkin duduk terperuk di dapur, bergelumang dengan percikan minyak di dapur dan melayan rengek tangis bayi.

Aku pula berhenti kerja sebagai pegawai pemasaran demi menjaga Tura. Tura tidak boleh diletakkan di bawah jagaan orang sebab dia perlukan pemerhatian dan rawatan. Tidak tahu apa penyakit sebenar Tura. Tetapi dia kerap menangis. Dia juga mudah diserang demam.

Cuma setelah Badru meninggal dunia dan sejak dua bulan ini, aku kembali bekerja. Tura sudah bersekolah. Aku pula jadi tidak tentu arah bersendirian di rumah. Maka aku kembali ke syarikat lama tetapi dengan jawatan yang baharu.

Mahu terus berperang dengan Aliyah di mahkamah? Aku tidak memiliki wang sebanyak Aliyah. Aku tidak mempunyai alasan sekukuh Aliyah. Yang aku miliki hanyalah perasaan keibuan yang mendalam terhadap gadis kecil itu.

“Mak, tadi ada seorang mak cik yang cantik datang jumpa Tura. Mukanya macam Tura. Dia tanya kalau Tura mahu duduk dengan dia di...di...eh, Tura tidak ingat di mana. Tapi mak cik itu baik sangat dengan Tura. Dia berikan Tura duit tetapi Tura ingat pesanan mak. Tura tak ambil duit tu...”

Aliyah! Kalaulah engkau dapat melihat wajah sahabatmu yang sepucat mayat ini! Kalaulah kau tahu betapa hancurnya kepingan hati seorang ibu yang dibayangi kehilangan seorang anak!

Tura yang keletah itu semakin ghairah bercerita. Dia tidak tahu amukan badai yang sedang mengganas dalam kalbu si ibu!

“Mak, mak cik tu ajak Tura duduk dengan dia. Tapi Tura tak mahu. Tura nak duduk dengan mak. Tura nak duduk dengan mak sampai bila-bila. Mengapa mesti Tura duduk dengan orang yang Tura tak kenal. Mak cik tu tak ada anakkah mak?”

Aku tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan kepada anakku itu apa yang sebenarnya berlaku. Dia masih kecil. Kalaulah dia tahu hal yang terjadi tujuh tahun lalu, tentu hatinya akan sedih dan terluka. Bagi Tura, aku adalah ibunya. Bau yang dia kenal semasa bayinya adalah bauku. Memang aku tidak mampu memberikan kemewahan kepada Tura. Gajiku kecil. Simpanan kami habis untuk membiayai kos rawatan Badru yang sangat mahal. Aku hanya mempunyai sebuah motosikal yang digunakan untuk menghantar dan mengambil Tura dari sekolah. Kereta Badru telah dijual demi menampung kos rawatan setelah wang simpanan kami habis.

Jika dibuat perbandingan, aku dengan Aliyah ibarat langit lazuardi dan kerak bumi. Aliyah yang bergaya tampak muda jelita dan mewah. Aku pula meskipun hanya tua dua tahun daripadanya, sudah kelihatan setua Mak Cik Cah, tukang bancuh kopi di pejabat. Aku berjimat cermat demi Tura sehingga lupa mengemasi diriku sendiri. Sekurang-kurangnya, dengan usaha jimat cermat itu, Tura masih boleh membeli buku-buku kegemarannya di toko buku atau sesekali menikmati ayam goreng di restoran segera.

Kasihan anak itu. Dia berhak untuk merasai kesenangan seperti kanak-kanak yang lain.

“Semalam Liyah datang jumpa aku. Dia macam nekad mahu bawa kes ke mahkamah. Kau bagaimana Far? Kau rasa kau bersedia untuk bertarung dengan Liyah?”

Aku memandang Taubi dengan pandangan kosong. Dengan senjata apa aku mampu bertarung dengan perempuan kaya itu?

Aku teringat aduan Tura selang beberapa hari selepas Aliyah menemuinya di sekolah.

“Mesti seronok kalau kita dapat main salji, kan mak? Naik kapal terbang, pergi Disneyland...” Di mata Tura terpancar sinar seronok. Dia dapat melihatnya dengan jelas.

“Mana Tura tahu semua ini?”

“Mak cik yang hari itu datang lagi jumpa cikgu Tura. Kemudian dia berbual dengan Tura di kantin. Mak cik itu yang beritahu Tura. Dia belikan boneka tetapi Tura tetap tidak mahu ambil. Tura takut mak marah. Tapi kalau lain kali mak cik itu belikan boneka, boleh tak Tura ambil, mak?”

Nampaknya Aliyah memang nekad. Dia sudah mula memainkan peranan dalam memikat hati Tura. Sepanjang hari Tura asyik membayangkan keseronokan bermain salji, menaiki pesawat yang tinggi di awan dan melawat ke Disneyland. Tura tidak menyedari bahawa impian-impian itu yang akan memisahkannya daripada si ibu.

“Aku tidak mampu, Taubi. Engkau pun tahu, bukan? Aku tidak punya wang. Aku bukan ibu kandung Tura. Semua itu sudah cukup untuk mengambil Tura daripada aku...”

“Tapi Far, faktor tujuh tahun dulu...”

“Taubi, mahkamah akan memberi peluang kepada orang yang mahu menebus kesilapan. Mahkamah akan memberi peluang juga kepada Tura untuk menikmati kesenangan hidup. Memang aku yang jaga Tura. Memang aku yang bersengkang mata untuk Tura. Tetapi kita tidak boleh melupakan hakikat. Jika Tura terus bersama aku, apa yang aku dapat beri untuknya?”

Tangisanku pecah. Kata orang, the only way to keep your child is to let her go. Mungkin itulah jalan terbaik buat Tura. Aku tidak mahu berperang dengan Aliyah di mahkamah. Aku benar-benar tidak mampu. Biarlah Aliyah kembali menjadi ibu kepada gadis kecil itu.

Dan itulah yang aku lakukan meskipun terpaksa menelan pahit dengan sejuta payah!

“Far, dengar khabar mereka akan terbang ke Paris dua hari lagi. Maaf, aku sepatutnya tidak memberitahu. Tapi mana tahu kau mahu jumpa Tura sebelum mereka berangkat...” suara Taubi di gagang kedengaran lemah.

“Far, kasihani Tura. Pergilah...” Taubi terus memujuk. Aku hanya diam. Sejak Tura pergi, aku sudah kehilangan suara. Semangatku terbang jauh entah ke mana. Dua hari sekali aku akan ke pusara Badru. Duduk membaca Yassin dan mengadu akan kesedihan hatiku.

Aku tidak boleh bertemu Tura meskipun kalbu menjerit-jerit merinduinya. Semua itu akan lebih mendera perasaan hatiku. Aku yakin Tura sedang berbahagia dengan kehidupan baharu. Aliyah pasti mampu menjadi ibu yang baik. Aku kembali menjadi diriku sebelum enam tahun yang lalu. Pergi kerja dan balik kerja. Kadang-kadang selepas habis kerja, aku akan ke masjid sehingga melepasi Isyak. Aku enggan berlama-lama di rumah. Wajah Tura bersilih ganti dengan wajah Badru sentiasa bermain-main di mataku, dengan kenangan yang begitu mengusik hiba.

Baju yang ditinggalkan Tura itulah menjadi pengubat rindu. Kubawa baju itu ke mana sahaja aku pergi. Tidurku pun bertemankan baju itu. Aku sudah kehilangan tawa. Untuk tersenyum pun, aku seakan sudah lupa.

Pagi Jumaat itu, sengaja aku memohon cuti. Aku mahu ke pusara Badru dan kemudian mahu mengikut Mak Cik Cah pulang ke kampungnya di utara. Mak Cik Cah terlalu risaukan keadaan kesihatanku. Katanya, mukaku sudah cengkung dan pucat. Dia beria-ia mengajakku mengikutnya ke kampung untuk menghilangkan segala kesedihan. Entah apa yang merasuk minda, aku terus sahaja bersetuju dan memohon cuti. Majikan yang bersimpati dengan mudah sahaja meluluskan permohonan cutiku itu.

Di pusara Badru, aku menangis lagi. Aku menangis sepuas-puasnya. Aku mahu mengakhiri kepedihanku pada hari ini. Biarlah selepas ini, kesedihan hanya terbenam di dalam dada. Aku tidak mahu menangis lagi selepas hari ini. Aku mengasihi Tura dan mahukan yang terbaik untuknya. Maka, aku perlu melepaskan dia daripada ikatan hati.

“Jika kasih, lepaskanlah...” itu kataku sewaktu Badru menangis enam tahun lalu di hadapanku. Selagi kita tidak melepaskannya, selagi itulah kita akan merana. Dan hari ini, kata-kata itu bersipongan di telinga.

“Pergilah. Mak lepaskan Tura. Mak tidak akan lupa mendoakan Tura, nak. Tura tetap anak mak dunia akhirat...”

kukesat air mata yang berjuraian di pipi. Tetapi sewaktu aku berpaling untuk menemui Mak Cik Cah di stesen bas, sebatang tubuh kecil meluru memelukku. Dakapannya sangat erat. Terpaannya menyebabkan aku terdorong sedikit ke belakang.

Tura! Engkaukah itu, nak?

“Far, terima kasih sebab izinkan Tura bersama aku. Aku tahu aku berlaku tidak adil terhadap kau. Aku sedar betapa aku menzalimi perasaan kau, sama seperti aku mengkhianati Badrushah dan Mastura. Aku tidak akan mampu menebus kesilapan dengan menambah satu lagi kesilapan. Maafkan aku, Faridah. Maafkan aku!”

Aneh, aku tidak menangis. Tangisanku sudah mengalir ke dalam hati. Tura masih memeluk kakiku. Dengan rengekan hiba.

“Mengapa mak tak datang ambil Tura. Mak tak sayangkan Tura...”

Aku duduk dan membalas pelukan Tura. Kucium pipinya bertalu-talu. Maafkan mak, Tura.

“Aku kembalikan Tura kepada kau, Far. Hanya kau yang layak menjadi ibunya...” Aliya menghampiri dan menyalamiku. Dia memeluk Tura dengan tangisan yang bertali-temali. Aliya yang cantik rupawan telah dijentik perasaan keibuannya terhadap anak kandungnya itu.

Aliya bergerak ke kereta. Tangisannya masih kedengaran dengan jelas di cuping telinga. Langkah Aliya longlai. Hampir-hampir sahaja dia mahu rebah ke tanah. Aku memandang wajah Tura. Ya, ada wajah Aliyah pada wajah anakku itu.

“Liyah!” Aku melaung. Kuat dan bersungguh-sungguh.

Aku berlari ke arahnya. Tura mengekori dari belakang.

“Liyah, aku tidak tamak untuk menjadi ibu kepada Tura. Engkau emak yang lahirkan dia. Mari kita sama-sama besarkan Tura. Kita didik dia menjadi manusia solehah. Aku tidak sampai hati memisahkan kau dengan Tura. Kau mahu berubah, siapa aku untuk menghakimi engkau!”

Langkah Aliyah terhenti. Tangisannya semakin menjadi-jadi. Dia memelukku dan Tura. Erat sekali seperti enggan melepaskan meskipun untuk seketika.

Ya, siapalah aku untuk memisahkan dua insan yang mempunyai pertalian darah itu. Tura telah kehilangan kasih seorang ayah tetapi kini dia boleh berbahagia dengan kasih sayang daripada dua orang ibu. Setiap manusia memiliki kisah hitam pada masa lalu. Aliyah mahu meninggalkan hitam dan memilih putih. Biarlah aku dan Tura membantu Aliyah untuk kekal memilih yang putih.

Hujan telah berhenti. Selamanya aku tahu, hujan pasti berhenti tatkala tiba di hujung musim!

2 comments:

Azimah abdul ghani said...

Assalamualaikum ibu bunga matahari!!! saya suka menjengah ke blog ni... selalu saja saya dapat perbendaharaan kata yang baru!!..

Saya harap, suatu hari nanti saya mampu menulis sebagus ibu bunga matahari :-)

Kerana saya percaya kepada satu pepatah : "mata pena lebih tajam dari mata pedang".

IBU BUNGA MATAHARI said...

Terima kasih. Kembalikan segala pujian itu kepada Allah. Saya menulis untuk terapi di blog ini. Tegurlah saya jika ada kekhilafan ya. Terima kasih atas sokongan anda.