Total Pageviews

Friday, December 13, 2013

Hujan Pasti Berhenti

Banyak yang perlu dibuat hari ini. Sepatutnya saya sudah berada di kampung. Kakak sulung kenduri berkhatan dua cucunya. Sudah janji mahu pergi tapi ada aral pula.

Menjadi adiwirawati seperti Supermom memang banyak kerja. Nasib baik anak hanya dua. Kalau dua puluh, Supermom pun sama taraf dengan papan sekeping. Kurus kering lari ke sana sini.

Patutlah mak tidak penat walaupun seharian mengerjakan itu ini untuk anak-anak. Mak seakan terlupa wujudnya perkataan “penat” dalam kosa katanya.

Rumah hari ini seperti punya anak kecil yang ramai.

Buku di sana sini. Helaian kertas pun begitu. Dapur? Uh...

Mesti melakukan mengikut senarai keutamaan. Maka saya cepat ke pejabat Ilham Jitu menyerahkan dokumen insurans kereta anak. Berbual sekadar memberi hormat dan balik untuk memasak.

Masak lemak pisang, kemudian tumbuk sambal belacan. Kena makan juga. Tidak boleh ikutkan hati sebab saya jenis boleh lupa makan kalau sudah fokus dengan kerja.

Hari ini tiba-tiba mahu berpaling daripada kepantangan. Kalau pantang sangat-sangat pun, mahu mati, mati juga. Itu gurau gemulah ayah yang sakit kencing manis. Beliau meninggal bukan sebab penyakit itu. Mudah sahaja cara kepulangannya ke sisi Dia.

Ya ayah. Hari ini puterimu mahu makan makanan kesukaan ayah. Masak lemak kuning pisang campur ikan kering.

Ayah...rindunya!

Sejak akhir-akhir ini memang selalu terjaga dan mengenang bagaimana “rasanya” kematian. Dan selalu hati berbisik, “ayah sudah rasa. Kami entah bila...”

Usai makan, kena lakukan sesuatu secara atas talian. Sukar sekali sebab talian internet di kejiranan ini ada masalah. Rasa mahu patah pinggang duduk menunggu.

Si sulung pula meminta bantuan mentafsir teks klasik surat-surat raja kepada si penjajah Francis Light.

Ada tujuh belas volum. Berpinar biji mata. Apalah payah benar orang dulu-dulu buat ayat macam naik gunung turun belukar. Patutlah bangsa kita agak lambat dalam bidang apa pun. Berliku-liku ayatnya. Sengaja mahu menyeksa anak cucu hahaha...

Dalam waktu-waktu itu tiba-tiba ada panggilan.

“Assalamualaikum...kenal tak siapa ni?” Eh, suara garau loghat Negeri Sembilan yang pekat.

Saya ketawa. “Saddam Hussin!” kata saya menyebut nama panggilan Baha. Terbayang misai “Saddam Hussin” yang sudah puluhan tahun tidak berjumpa.

“Golak ekau pun masih samo cam dulu.  Nangis den. Oghang heboh kato den dah mati. ”

Aduhai, speaking Nismilan la pula. Saya memang sudah tiga belas tahun tinggal menumpang di Negeri Sembilan. Saya faham kalau penuturnya bicara agak lambat. Kalau laju, alamatnya kena ulang dua tiga kali.

Sehingga malam kerja saya belum selesai.

Masih ingat pesanan bekas pengarah saya dahulu, Tuan Haji Fahmi. Pesanan yang sama oleh mak.

“Pastikan dapur sudah dikemasi sebelum masuk tidur”.

Mandatori. Kecuali jika benar-benar uzur.

Maka sekejap lagi, akan ada bunyi kelentung kelentang sepanjang malam yang sunyi.

Kehidupan bukan semestinya bermula pada waktu pagi tetapi bergantung kepada kita untuk memulakannya pada saat bila.

Saya mahu memulakannya tengah malam ini, kala orang lain sedang menenun benang mimpi.

Gembiralah dengan peluang menikmati hidup. Siapa lagi yang semurah hati Allah, Dia memberikan kita peluang sebegini hebat!

Nikmatilah! Ayuh, jangan bersedih!

Hujan pasti berhenti juga apabila tiba di hujung musim!