Total Pageviews

Wednesday, November 20, 2013

Sebenarnya Dia Kucing Siapa?

“Kenapa bising-bising tu, mak?” Saya mendengar di corong telefon suara anak saudara yang kecil kedengaran begitu cemas.

Saya dimaklumkan seekor kucing dewasa yang dibuang di halaman emak telah menggigit si Mone. Sekarang Mone entah di mana. Entah lari masuk ke hutan atau bersembunyi di alang. Sibuklah masing-masing mahu mencari Mone.

Hari sudah di awal Isyak. Kalau mahu cari pun hanyalah sekitar rumah. Tidak boleh mengambil risiko masuk ke kawasan semak dalam gelap malam.

Anak kucing itu sebenarnya tidak ketahuan asal usulnya.

Dia muncul pada jam 2 pagi di alang rumah.

Sebelum tidur, mak menyatakan hasrat mahu memelihara kucing. Kakak yang pulang sebentar ke rumah mak kurang bersetuju atas faktor kebersihan. Tetapi kata mak, mak mahu memelihara anak, bukan yang sudah dewasa. Jadi, mudahlah untuk mak melatihnya ke tandas. Kakak akhirnya setuju.

Waktu mak bangun untuk solat malam, ada bunyi kucing menangis di alang. Suaranya halus. Kakak menadah sofa untuk memudahkan kucing itu turun.

“Mungkin ini Si Cicak yang hilang tiga bulan lalu...” kata kakak merujuk kepada anak kucing anaknya yang dibawa pulang Idulfitri lalu. Kemudian kucing itu hilang tanpa kesan.

Tapi yang musykilnya di mana Cicak @ Mone tinggal selama tiga bulan itu?

Mak berkeliling kampung menanyakan jika ada sesiapa yang kehilangan anak kucing. Tidak ada siapa pun yang kehilangan.

Kata orang, mungkin selama ini dia tinggal di kandang kambing tengah sawah terbiar.

“Baiklah,” kata saya, “tapi siapa yang mengajarnya buang air di tandas?”

Ya. Kucing itu sangat tertib. Pagi-pagi dia akan bangun bersama mak untuk Subuh. Terus ke bilik air dan membuang najis betul-betul di tepi lubang. Kemudian pergi ke tempat lain di sisi lubang dan buang air kecil. Kakinya dikesat-kesat di alas depan bilik air.

Dia akan menemani mak solat. Sangat mendengar kata. Tidak boleh pijak sejadah. Hanya duduk di tepi menunggu hingga mak selesai solat dan mengaji. Menemani mak ketika mak di dapur, mencuci baju, menebas atau membuat kerja di halaman.

Tidak pandai mengiau. Jika orang sedang makan, dia tidak seperti resamnya kucing yang sibuk meminta dan meninjau. Dia hanya duduk diam. Tidak bimbang langsung jika tiba-tiba dia naik ke meja dan menggonggong ikan goreng.

Jika dikatakan “alim-alim kucing”, memang kucing ini spesis yang alim.

Mak memandikannya setiap hari. Diam sahaja tatkala dimandikan. Kemudian mak bungkus dengan kain. Pun dia hanya diam.

“Dia bisu atau pekak ke mak?” musykil saya.

Mustahil. Sebab dia jenis yang mendengar arahan dan faham bahasa Melayu loghat Lenggong. Saya pernah dengar suaranya. Halus tidak seperti kucing jantan.

Pondan?

Mana ada kucing pondan! Ganas saja melompat-lompat!

"Mungkin dia dibuang orang" kata saya berteori.

Mustahil, kata mak. Kucing itu bukan jahat sampai kerasnya hati orang untuk membuangnya di halaman emak.

Satu hal lagi ialah waktu saya balik sekejap ke kampung, dia duduk di ribaan saya. Tiba-tiba dia beraksi seakan bayi kucing yang menyusu. Dia menyusu di lengan saya! Berbunyi-bunyi sehingga akhirnya terlena.

Mak tidak percaya. Tetapi waktu mahu tidur, sekali lagi dia menyusu sampai lena. Esoknya bangun tidur, lagi sekali.

Kasihannya budak kucing itu. Dia bukanlah bayi sangat. Kalau manusia, mungkin berusia sekitar tiga empat tahun. Yang peliknya, dia tidak melakukannya kepada orang lain. Hanya menyusu di lengan saya. Jika ada pun, dia gemar menjilat seperti anjing. Habis muka orang kena jilat kalau dibiarkan.

Saya teringat kata-kata kakak.

“Sekarang mak dah ada kawan. Mana-mana mak pergi pun dia ikut. Tapi kalau mak ke pekan, dia naik ke alang. Kucing jahat selalu buli dia...”

Memang gembira tengok kucing yang melompat-lompat main bola seekor diri. Habislah tikar getah mak compang-camping sebab dia suka mencari cicak yang bersembunyi di situ. Cicak pun sudah berkurangan.

Mak pernah mengujinya dengan ikan hidup. Apabila disuakan ikan, Mone lari jauh-jauh. Kucing apa macam itu? Bukankah kucing tidak boleh nampak ikan?

Apabila ditanyakan nama kucing itu kepada anak saudara yang kecil, dia menjawab, “namanya Kucing”.

Akhirnya semua orang memanggil dengan nama yang masing-masing suka. Mula-mula saya memanggilnya Beckham, mengenang anak monyet saya yang khabarnya sudah jadi bapa monyet yang garang sekarang ini.

Mak memanggilnya Mone. Itu nama biasa bagi kucing-kucing yang pernah tinggal bersama kami.

Adik barangkali akan memanggilnya Kerumba sempena nama kucing kesayangan waktu dia masih kecil.

Kakak memanggilnya Cicak, nama asal yang diberikan anaknya.

Apa pun, ada satu teori yang tidak masuk akal akan keberadaan Mone sepanjang tempoh tiga bulan itu dan siapa yang mendidiknya sehingga menjadi begitu berdisiplin.

“Mungkin bunian yang bela dia...” dakwa orang yang datang.

Hahahaha...banyaklah buniannya...

Di hujung kampung, di belakang sawah terbiar itu ada beberapa tingkat lata. Kononnya memang ada perkampungan yang tidak kelihatan di situ.

Jangan jadi kes di Villa Nabila sudahlah!

Percaya sangat dengan benda-benda tidak kelihatan sampai sanggup ke sana tengah-tengah malam. Benda-benda yang “kelihatan” macam surau dan masjid, tidak mahu pula pergi beramai-ramai!

Akhirnya seperti agakan saya, budak itu bukan disorok hantu.

Tapi dia yang jadi hantu!

Memalukan sungguh!

Menelefon mak kemudiannya, abang yang menyambut. Saya tanyakan sama ada Mone sudah dijumpai atau belum.

“Tu tengah makan nasi...” kata abang.

Mujur, kucing itu sudah ditemui.

Tetapi sebenarnya dia milik siapa?

Nihil jawapan. Titik.