Total Pageviews

Wednesday, November 27, 2013

Tidak Sempat Bermimpi

Kami menunggu pesawat yang akan berlepas jam dua belas setengah pagi.

Dalam kantuk dan lelah, menuju ke Kota Peking @ Beijing dengan pesawat MH 0370 dan tiba jam enam setengah pagi di Beijing Capital International Airport.

Bulan November hingga Januari adalah musim dingin di Beijing.

Kami disambut Anita, ibu kepada seorang anak perempuan. Usianya tiga puluh tahun. Beliau fasih berbahasa Melayu Indonesia. Sama sahaja dengan kebanyakan orang yang kami temui di beberapa lokasi. Bahasa Melayu Indonesia lebih mudah dipelajari berbanding bahasa Melayu Malaysia yang terlalu banyak “hukum”, fikir saya.

Dengan penanda patung panda hijau, kami bergerak mengikut Anita.

Kota Beijing memang dingin dan berangin. Tetapi kulit saya masih boleh menerima untuk hari pertama. Di Dataran Tian An Men, foto Pengerusi Mao Tse Tung seperti tajam memerhati. Di sini beberapa tahun lalu menyaksikan kematian berdarah para pelajar yang bangun memberontak. Kumpulan pelajar itu gagal tetapi semangat mereka terus mengalir dalam udara Beijing. Dataran ini merupakan dataran terbesar di dunia.

Sudah resamnya orang Cina sangat rajin berusaha dan itulah kelebihan mereka. Kekurangan mereka juga ada. Saya sangat alergi dengan tabiat meludah mereka. Di mana-mana terjumpa air ludahan menyebabkan saya berjalan dengan berhati-hati. Tandas awam dan di restoran berbau hancing sebab tandas tiada air paip. Dari jauh sudah berbau, lagi teruk atau hampir sama dengan tandas di negara kita. Kami sudah membawa botol kosong di dalam beg. Mudah untuk mengisi air di sinki. Juga membawa banyak tisu basah.

Penjual yang menawarkan pelbagai barangan murah sangat banyak di mana-mana. Tetapi Anita sudah berkali-kali mengingatkan supaya kami berhati-hati. Pertamanya, kemungkinan penjaja akan menukarkan wang palsu. Kedua, mereka juga panjang tangan dan bijak menipu.

Di Kota Larangan, orang semakin banyak. Saya asyik membayangkan bagaimana pembinaan Forbidden City ini dilakukan. Adakah pernah tercetus dalam fikiran maharaja bahawa satu hari nanti kotanya itu mampu membantu membangunkan ekonomi negara China. Daripada apa yang saya baca, terdapat 999 buah kamar dalam kota ini. Dan jika seorang putera tidur dalam sebuah kamar setiap malam, tatkala usianya dua puluh tujuh barulah selesai dia tidur di kamar yang sedemikian banyak.

“Jika maharaja mangkat, nanti akan ada orang yang temankan untuk mati. Kalau maharaja itu baik hati, dia akan beritahu awal-awal supaya jangan ada orang yang ikut dia mati. Tapi kalau maharaja itu zalim, dia akan maklumkan berapa ramai orang yang dia mahu mati bersama-sama. Kadang-kadang tidak ramai, kadang-kadang sampai ratusan orang. Orang-orang itu akan diberi makan besar dahulu sebelum mereka ikut maharaja untuk mati...” terang Anita.

Saya perhatikan kosa kata Anita sangat banyak. Saya fikir Cina yang tanah airnya memang di Malaysia pun tidak mempunyai kosa kata sebanyak yang dimiliki Anita. Dia juga sangat prihatin dengan keperluan solat. Waktu solatnya dia hafal.

Musim dingin menjadikan siangnya pendek. Jam empat setengah sudah mulai gelap.

Di jalan-jalan Kota Beijing, banyak sekali kereta Audi. Menurut Anita, ada orang kaya yang memiliki sepuluh kereta dan semuanya Audi.

Oleh sebab polusi di kota itu berada pada tahap bahaya, bumbung kereta dipenuhi habuk tebal. Saya memang membawa bekalan topeng muka . Kadang-kadang waktu mengambil foto, bukan main lebarnya senyuman sedangkan saya memakai topeng muka. Sia-sia sahaja tersenyum lebar!

Kami makan tengah hari di restoran Muslim di Niu-jie. Lucunya apabila masing-masing bingung bagaimana mahu makan atas piring yang sekecil piring cawan. Ada juga yang telah sompek. Menurut Anita, itu memang hal biasa sebab pemilik restoran beranggapan akan rugi jika membuang piring yang sompek.

Barulah saya tahu mengapa masyarakat Cina sihat-sihat. Mereka makan banyak lauk dan sayur tetapi kurang minum air. Airnya diletakkan dalam teko yang sangat kecil. Kalau kita di Malaysia teko sekecil itu hanya untuk dua orang minum.

Kami menunaikan solat di Masjid Niu-jie dan ada juga yang membeli barang keperluan di sebuah pasar raya yang menjual barangan Muslim.

Oleh sebab negara itu mewajibkan agensi pelancongan untuk pergi ke lapan tempat, kami terpaksa ikut ke pusat urutan kaki. Saya dapat melihat strategi mereka dalam berniaga. Strategi paksa! Seorang doktor dari Tibet memeriksa tangan saya. Ada penterjemah yang boleh bicara dalam bahasa Inggeris. Mereka memaksa saya membeli ubat untuk menghilangkan masalah “buah pinggang” seperti yang didakwa doktor berkenaan. Harganya dalam 300 Yuan. Apabila saya menolak, doktor lelaki itu menghempaskan tangan saya dengan marahnya!

Malamnya kami menonton pertunjukan akrobatik. Hebat sekali. Saya selalu menonton rancangan dari Taiwan dan China. Tetapi melihatnya di depan mata sangat menakjubkan. Apa lagi lagak ngeri itu turut disertai gadis jelita.

Kaki sangat sakit. Udara juga dingin. Minda dan tubuh keletihan sebab dari lapangan terbang kami terus melakukan siri lawatan. Jam delapan setengah, kami mendaftar masuk ke Hotel Holiday Inn Beijing. Saya dan anak-anak sekamar di lantai delapan.

Tidur yang tidak sempat pun bermimpi.

Hanya lena selena-lenanya.