Total Pageviews

Sunday, September 1, 2013

Hidupkan Semangat

Langit sangat gelap. Seperti sebuah lukisan yang penuh horror. Kilat seperti mahu menyambar orang. Kerap dan dekat. Saya mengaji perlahan-lahan, membaca apa sahaja yang tahu. Biar budak-budak itu tidak takut.

“Bayangkan kalau sudah mahu kiamat. Gambaran yang macam ini pun sudah sangat menakutkan...” kata saya.

Jam di kereta baru menunjukkan hampir angka tiga petang. Kereta bersusun membelah hujan lebat dan angin. Tasik di sebelah seperti sudah banyak menakung air, sedikit melimpah ke jalanan. Mujur kemudian jalan raya itu membukit. Jadi, tidak sempat menjadi banjir.

Memang sangat menyedihkan melihat seluruh langit menjadi begitu gelap dan murung. Suasana kelam dan benar-benar melukakan.

“Matikan telefon bimbit. Jangan pasang radio. Kalau waktu-waktu kilat yang kerap dan dekat macam ini, minimakan benda-benda yang ada frekuensi...”entah betul atau tidak apa yang saya sebut tetapi saya pasti jika menjawab panggilan dalam saat kilat sambar menyambar ini, risikonya sangat besar untuk menjadi rentung.

Dua hari ini memang agak penat. Semalam si bongsu yang memandu keretanya ke puncak. Sudah dapat bilik sewaan tetapi hari ini temu janji dengan tuan rumah. Apartmen yang berpengawal. Baru lepas ribut, maka ada beberapa pokok yang tumbang, atap pecah-pecah bertaburan di parkir, tangga dipenuhi air. Bangunan dicat kelabu. Sedih!

Hari ini rehatkan kereta budak itu di rumah. Saya pula memandu. Dan malam itu saya kesakitan, membawa ke pagi. Ada setompok kesan lebam di sendi tangan kanan. Tetapi jangan harap saya akan mengalah. Saya akan terus memandu sehingga tangan menerima keadaan itu atau menolaknya. Untuk orang yang sudah biasa berdikari dan “kurang yakin” tatkala orang lain memandu, apabila selalu menjadi penumpang sangat tidak menyeronokkan.

Kamar di tingkat empat itu master bedroom tapi bagi saya ukurannya amat kecil. Ada kamar mandi juga. Sebuah katil bujang dan katil bertingkat, untuk tiga orang sekamar. Almari hanya satu. Tidak cukup untuk bertiga. Tingkap tidak bergril. Menjenguk ke bawah, mahu copot jantungku!

“Adik duduklah dulu. Untuk satu semester kalau tidak tahan. Habiskan tahun dua kalau tahan. Tahun ketiga nanti kita cari lain. Cari rumah yang ada tanah. Cuma pakai selipar yang mengcengkam. Ibu risau tangga yang berair itu. Untuk gril, ibu sudah minta mereka pasang minggu ini...”

Dapur masak, peti ais, mesin basuh, TV dan sofa disediakan. Apartmen kecil yang diatur sewaannya untuk tujuh orang. Macam biasa, budak itu tidak banyak sungutan. Saya yang asyik berfikir bagaimana mahu mengangkut barang ke tingkat empat itu!

Beberapa hari ini saya kena buat banyak benda sebelum melakukan lawatan rutin ke hospital. Lupakan Hari Sastera Ke-16 sebab hujung minggu ini saya kena pastikan budak-budak itu safe and sound di kampus masing-masing dengan segala kelengkapan dan wang saku. Selepas itu barulah saya akan memulakan rawatan herba yang menurut kawan, sangat mujarab untuk kanser. Dan sediakan ongkos yang banyak juga! Bocor lagi beg duit nampaknya!

Sejak lepas Ramadan, budak-budak itu asyik ajak saya makan supaya “ada pipi semula”. Hasilnya memang bertambah sedikit berat badan. Walaupun tidak menyentuh daging atau makanan laut, tetapi banyak pantang yang terpaksa dilanggar. Hanya untuk menaikkan sedikit berat badan.

Yang penting ialah semangat yang masih ada. Semangat mahu terus hidup untuk menampal segala kesilapan, menabur bakti dan budi, menghulur tangan untuk membantu mereka yang jatuh, juga mengajak mereka yang pernah bersedih untuk melihat keceriaan bunga matahari.

Saya akan bersiap sedia untuk pulang ke pejabat!