Total Pageviews

Thursday, August 29, 2013

Semangat Aisyah

Hari raya itu dia berada bersama-sama kami di kampung.

Rasanya sudah beberapa kali idulfitri dia menyambutnya bersama kami.

Wanita itu muda lagi, berkahwin muda dan punya anak empat. Yang sulung barangkali sekitar usia tujuh belas tahun.

Kulitnya putih, kecil molek orangnya. Tetapi di sebalik kecil dan lembut itu, dia pemilik hati yang sangat kental.

Kalau saya menjadi dia, entahlah.

Dia datang ke Malaysia beberapa lama dahulu sebagai pembantu rumah di Kelantan. Mengumpul wang untuk biaya pengajian anak-anak. Kemudian dia pulang ke Indonesia.

Anak-anaknya yang masih sekolah dan biaya yang diperlukan membuatkan dia kembali ke Malaysia. Bekerja membersihkan sarang burung walit.

Di Ipoh, dia mengenali kakak saya. Langsung jika kakak bercuti, kakak membawanya ke kampung. Kami sudah biasa dengan situasi ini sebab bukan dia seorang sahaja rakyat asing yang pernah menjadi sebahagian daripada ahli keluarga kami.

Saya selalu mengintainya dengan kagum. Wanita lemah tetapi ibu gagah, persis yang disebut oleh Daiseku Ikeda. Aisyah melakukan pekerjaan yang diberi dengan kepercayaan majikan. Kejujuran dan kerajinan amat disenangi majikan berketurunan Tionghua itu.

Waktu menemani pulang ke Ipoh, saya bertanyakan tentang anak-anaknya.

Dia bercerita tanpa henti, membayangkan kerinduan yang amat sangat terhadap putera puteri yang sedang membesar tanpa seorang ibu di sisi.

Saya akur bahawa dalam kesyahduan Ramadan dan Syawal, pasti sahaja hati Aisyah jauh terbang ke rumah yang sudah bertukar menjadi banglo hasil titik peluhnya bekerja tanpa mengira waktu.

Aisyah adalah lambang keberanian seorang ibu yang sanggup menempuh risiko demi memastikan kelangsungan hidup anak-anak yang tega ditinggalkan di desa yang terpencil.

Saya selalu melihatnya makan sayur. Aisyah memberitahu bahawa itulah makanan ruji mereka di desa.

“Anak selalu cakap, nanti wang mak habis kalau beli ayam...”

Banyak hal yang saya tahu tentang semangat Aisyah dan perjuangannya mencari nafkah untuk keluarga. Kepayahan hidup telah jauh ditinggalkan. Aisyah sudah mampu membeli motosikal dan basikal yang bagus buat anak-anak ke sekolah.

Namun, menurut Aisyah, kesenangan material harus seimbang dengan kemewahan rohani. Mujur puteranya yang sulung, mengambil peranan mengawasi adik-adik. Saya terfikir, kalau di Malaysia ini, anak yang seusia putera sulung Aisyah barangkali sedang sibuk bersukaria di kelab-kelab atau pawagam, atau sedang terkinja-kinja menari bersama kekasih hati.

Semangat Aisyah sebenarnya wujud di mana-mana.

Apabila hidup memaksa, semangat itu akan datang dengan sendirinya.

Saya melihat Aisyah dan perjuangannya dalam diri tok, mak, kakak-kakak dan barangkali...dalam diri saya juga.

Seribu Aisyah muncul setiap hari demi mencari sesuap nasi.

Di manakah lelaki?